VSS vs Sewa Premis

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

image

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Ini antara memori sewaktu kami sekeluarga di Kedah dahulu.
Saya dan suami membuka butik pakaian ketika masih bekerja bermajikan.
Dengan kos yang amat minima, semuanya dilakukan sendiri, mengecat, memasang rak dan sebagainya.

Butik hanya kami buka selepas waktu pejabat hingga malam.
Oleh kerana kami berdua bekerja sambil berniaga dan setelah dianalisis jika diambil pekerja menjaga kedai di waktu pejabat, ROI (return of investment) nya adalah tidak berbaloi kerana di waktu pejabat kebanyakannya bekerja dan niche pasaran produk butik kami lebih kepada kaum ibu dan bapa.

Lokasinya kami berdua mengambil kesempatan di atas sebuah pusat tusyen berhampiran (selang beberapa lot kedai) yang terkenal di daerah itu dan sangat ramai pelanggannya.
Subjek sekolah rendah hingga sekolah menengah.
Kereta berderet-deret hingga sesak kawasan tersebut jika ada sesi tusyen.

Mereka juga beroperasi malam sahaja.
Kami pastikan butik dibuka mengikut jadual tusyen mereka.
Rata-rata kaum ibu yang menghantar anak-anak tidak pulang ke rumah, mereka selalunya menunggu di dalam kereta atau menghabiskan masa di butik kami.

Ruang mainan ringkas dengan televisyen, VCD kartun serta cerita kanak-kanak kami sediakan.
Jadinya para ibu berasa amat selesa menjadikan butik kami sebagai transit sementara anak mereka tusyen dalam satu jam atau satu jam setengah.
Tentunya mereka juga membeli sebagai membalas budi baik kami :) .
Stok pula diambil dalam kuantiti sedikit tetapi sentiasa ada stok yang baru kerana pelanggan kami adalah pelanggan setia dan kelompok yang sama, jadinya perlu dipastikan mereka tidak bosan dengan produk-produk yang ada.

Begitulah serba sedikit pengalaman berniaga saya dahulu.

Sebenarnya tujuan saya berkongsi ini adalah atas rasa kerisauan saya kepada banyak mesej yang masuk ke inbox saya.
Rata-ratanya mereka yang baru mendapat VSS dan ada wang tunai di tangan dalam kuantiti yang agak banyak dan mahu membuka premis perniagaan dengan menyewa kedai.

Jika anda mahu menyewa kedai kerana anda ada duit, itu kesilapan besar.
Anda perlu buat homework yang cukup lokasi kedai anda dan adakah apa-apa faktor di situ yang dapat memberi crowd dan menarik crowd ke kedai anda.
Lokasi di tepi jalan tidak memberi jaminan pelanggan masuk ke kedai anda.

Sekarang kita boleh lihat sudah banyak butik vendor yang tumbuh bagai cendawan kini sudah ramai yang mula menutupnya kerana tidak mampu bertahan.

Waktu raya baru-baru ini, rakan saya yang mempunyai butik di Seberang Jaya, di tepi jalan dengan sewa RM2,900 sebulan berkongsi beliau tenat mahu mendapat sales waima untuk lepas sewa.

Jadinya jika anda ada duit VSS di tangan anda mahu menyewa premis perniagaan kerana anda ada duit anda perlu buat homework dengan teliti.

Sedikit kiraan mudah:

Katakan sewa kedai RM3,000 sebulan.
Deposit 2 bulan = RM6,000.
Deposit api, air sebulan sewa = RM3,000.
Renovation busuk-busuk pun untuk kedai comey = RM20,000.
Standby cash untuk sewa 6 bulan akan datang = RM18,000
Jumlah RM47,000

Itu belum masuk kos startup anda untuk stok, utilities dan lain-lain lagi.
Sedar-sedar duit VSS anda habis sekelip mata, hutang utama yang lain seperti rumah dan kereta juga tidak mampu dibayar.

Didoakan ada manfaatnya.
Saya doakan yang baik-baik untuk kalian.

Azura Abdullah
Suri Pernah Buka Butik
www.azuraabdullah.com

#notabisneskecilsuri
#catatanmekzurots