Usah Berkira Untuk Gembira

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Hari ini saya seharian berulang alik di dua lokasi banjir. Baru sahaja sampai rumah jam 11.30mlm tadi. Rumah mak saya yang hanya 15 minit dari kediaman saya Alhamdulillah tidak di tenggelami air. Hanya jalan raya menuju ke rumah mak sahaja yang tenggelam tetapi masih boleh dilalui kenderaan ringan.
Manakala rumah nenek saya yang lebih kurang 30 minit dari kediaman saya ditenggelami air agak teruk hingga ke dalam rumah.  Mujurlah rumah lama nenek 2 tingkat.  Jadi barang-barang letrik dan perabot diangkut naik ke tingkat atas.
Yang paling gembira pastinya anak-anak saya. Kegembiraan mereka hari ini mungkin takkan wujud jika saya tidak benarkan mereka bersukaria bermandi banjir hari ini. Kegemaran mereka hari ini mungkin takkan terpancar dengan hilai tawa anak-anak bergurau senda sesama mereka jika saya sendiri malas untuk mengawasi mereka mandi. Kegembiraan mereka hari ini mungkin tiada jika saya sebagai seorang ibu malas nak mencuci baju basah dan kotor nantinya.  Kegembiraan anak-anak hari ini mungkin tiada jika saya malas melayan kerenah anak-anak yang selang satu jam kelaparan akibat kesejukan.
Takkan wujud seinci kegembiraan pun dalam keluarga kita jika kita sebagai ibu dan bapa berkira masa dan tenaga untuk membuat atau memberi peluang kepada anak-anak untuk gembira. Sesetengah dari kita alpa dengan gajet. Sudahlah kita sendiri maha sibuk dengan gajet, anak-anak juga kita lambakkan dengan gajet dan tv, janji duduk diam tak mengganggu kita dengan berbagai kerenah. Malangnya anak-anak yang bernasib sebegini kerana sedar-sedar sahaja zaman kanak-kanak mereka telah berlalu pergi.
Jika mahal harga masa dan tenaga kita untuk anak-anak pada hari ini, nantikanlah harinya waktu kita sudah bongkok tiga, kita pula menagih masa dan tenaga mereka. Nauzubillah.
Wassalam.