Ujian Itu Besar Hikmahnya

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Pagi tadi tulisan Ustaz Ebit Lew perihal ujian dan rahmat melintas di newsfeed saya.

Saya juga ingin berkongsi serba sedikit apa yang saya lalui.

Sewaktu dikurniakan cahaya mata pertama yang tangan kirinyanya hanya pada paras siku terlintas juga di fikiran saya, “Ujian apakah ini Tuhan? Anak pertama. Aku ibu muda yang tidak tahu apa-apa, lemah dan kurang pengalaman. Bagaimana aku bakal hadapi semua ini Tuhan? Hukuman apakah ini Tuhan, aku hadiahkan suamiku anak yang tidak sempurna fizikalnya?. Bagaimana tanggapan kaum keluarga, tanggapan staff-staff aku di pejabat?”

Selama sebulan dalam pantang saya menangis memikirkan perkara yang bukan-bukan, perkara yang belum wujud, risaukan anakanda saya nanti bagaimana apabila saya dan suami sudah menutup mata.

Dalam masa yang sama saya tekadkan hati dan pasakkan dalam minda bahawa Allah swt mahu beri ilmu besar pada saya dan suami dengan ujian ini. Pasti ada sesuatu yang besar hadiah dariNya. Tidak ada yang percuma.

Saya juga pernah ditipu rakan sewaktu proses jual beli kereta. Allahurobbi! Apa lagi ini ya Allah? Saya anak sulong dari keluarga sederhana, baru sahaja hendak merasa hasil titik peluh bekerja.
Kemudian ketika suami baru bertukar kerja, suami saya kemalangan jalan raya pula sewaktu menunggang motosikal berkuasa tinggi. 3 kali operation untuk betulkan ke semua jari tangan kiri kerana tulang-tulang jari hancur diseret motorsikal.

Setelah selesa buat beberapa lama suami diuji dengan penyakit stroke pula selama 2 tahun, hilang upaya percakapan. Waktu ini memang perit dari segi fizikal dan mental. Alhamdulillah selepas berusaha selama 2 tahun suami pulih seperti sediakala.

Antara ujian yang kami hadapi.

Walaubagaimanapun, MasyaAllah rahmat di sebalik ujian-ujian tersebut sangat besar.

Anakanda kelainan upaya kami mengajar pelbagai ilmu hidup, ilmu hati budi dan ilmu cekal serta tidak mengenal perkataan mustahil. Saya, suami dan 3 orang adik Irfan banyak belajar melalui beliau. Kekuatan EQ dan IQ beliau di luar jangkaan kami sekeluarga.

Ujian-ujian itulah titik tolak kami suami isteri menyusun atur semula hidup dan menyusun atur kewangan. Saya dan suami menyemak semula nilai hidup kami berdua, Apa akhirnya kami di dunia ini? Mahu bekerja di kilang hingga usia pencen atau bagaimana? Sejak itu kami mula meletakkan sasaran untuk bersara dari kerja bermajikan sebelum umur 40 tahun. Biarlah tidak kaya, boleh hidup sederhana dan dapat membesarkan anak-anak sendiri di depan mata, itu sudah nikmat besar buat kami berdua setelah pelbagai liku-liku yang kami lalui.

Ujian-ujian itu juga titik tolak saya dan suami mula berniaga kecil-kecilan sambil bekerja, buka butik, berniaga online dan jika balik Kelantan sahaja penuh bonet beli barang pesanan kawan-kawan. Kerana kita tidak tahu untung sabut atau batu kita ini dalam kerjaya bermajikan kita.

Saya juga menetapkan sasaran setiap 4 tahun saya bertukar jabatan kerana mahu menimba sebanyak mungkin pengalaman. Penulis modalnya pengalaman. Minat saya menulis saya manfaatkan sepenuhnya sewaktu bekerja walau berbagai bunyi di belakang, saya tidak peduli kerana saya ada sasaran saya apabila saya berhenti kerja nanti. Saya suka menulis dan saya mahu menulis hingga akhir usia saya. Semoga tulisan saya menjadi jambatan bekalan buat saya sekeluarga di sana nanti.

Saya pastikan saya libatkan diri dalam kerja-kerja penulisan walaupun core role saya sebagai minah kilang, saya cari jalan. Sayalah tukang compile report jabatan, tukang buat presentation slides untuk bos-bos saya, tukang buat skrip ucapan untuk bos-bos saya dan vvip yang datang, tukang buat artikel jabatan dalam majalah online syarikat, tukang buat report dan presenter untuk badan kerajaan bagi pihak syarikat. Saya ambil semua peluang itu walau perit dengan masa dan sampai satu tahap ada yang melabel saya kaki kipas. Saya jalan terus sahaja, kerana saya ada sasaran saya.

Semenjak dari tahun 2003 itu juga kami berdua tidak lagi menggunakan kad kredit, hanya berbelanja secara tunai dan menyusun atur kembali hutang yang ada. Zaman awal berkerjaya dahulu terikut-ikut juga dengan rentak orang lain, berbelanja secara tidak terkawal, bertukar kereta dan ikut hati sungguh dengan hal kemahuan.

Kini cukuplah semuanya secara sederhana. Jika tidak kerana segala ujian-ujian yang kami lalui itu tidak mungkin saya dan suami serta anak-anak berada di kampung halaman suami sekarang. Saya berhenti kerja pada umur 37 tahun dan suami 41 tahun. Kami kini tinggal di sebuah rumah kecil yang kami bina secara tunai dengan duit jualan rumah lama. Hidup secara sederhana dan tenang. Tiada lagi hari Ahad yang mengerikan, saya berjaga hingga awal pagi mengumpul data dari kilang, buat slides kerana jam 9 pagi keesokan harinya (Isnin) ada mesyuarat dan saya mewakili jabatan siap sedia untuk ditembak oleh bos-bos besar jabatan lain. Belum lagi meeting berlainan time zone dengan rakan sejawat di luar negara, kadang awal pagi, kadang lewat malam. Tak sanggup dah rasanya hendak berpatah balik walau berapa pun $$ yang ditawarkan. Saya pun dah bongkok tiga. Hehehe.

Kami sekeluarga bersyukur dan gembira dengan kehidupan kami kini seadanya. Walaubagaimanapun meter bahagia setiap orang tidak sama. Terpulang.

Yang penting, setiap ujian yang datang kita tangani dengan berhemah. Kalau kita tidak ada kawan-kawan dan saudara mara di waktu susah, jangan bimbang, kita ada Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Walau kita solat macam burung belatuk pun Allah swt masih sayangkan kita dan beri berbagai nikmat, apatah lagi jika kita benar-benar dekat dan berserah padanya.

Percayalah, jika ditanya saya bilakah waktunya saya rasa saya paling dekat dengan Allah swt?
Jawapan saya ialah ketika saya menghadapi segala ujian-ujian tadi.
Sebenarnya tempoh senang lenanglah ujian yang paling besar yang amat saya takut, takut saya leka dan tersasar dariNya.

Didoakan ada manfaatnya buat kalian khasnya para isteri dan kaum ibu.

Azura Abdullah
Surirumah Sahaja

#catatanmekzurots
#telegramdarilangit