The Voice 2013 Grand Finale

Teks: Azura Abdullah
Foto: Carian Google

TheVoice2013_big

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Saya baru sahaja menonton The Voice Season 2013 Grand Finale sekejap tadi yang dimenangi Tesanne Chin yang berketurunan China, English dan Afrika, berasal dari Jamaica. Saya ingin menggunakan siri kesukaan ramai ini sebagai analogi. Soalan saya kenapa perlu barisan artis hebat dan telah punya nama seperti Adam, Usher, Blake serta Shakira ini bersusah payah meluangkan masa dan tenaga untuk menjadi juri bagi program kegilaan ramai ini? Selain dibayar untuk menjadi juri bagi program ini mereka sebenarnya mampu menjana lebih daripada apa yang dibayar oleh The Voice melalui siri konsert dan juga iklan. Kenapa?

Shakira juga merupakan Duta kepada UNICEF. Kenapa?

Semua ini sebenarnya berkait rapat dengan “Personal Branding” (penjenamaan diri), “Self Positioning” (posisi diri) dan “Reputation Management” (pengurusan reputasi). Ianya tentang membina modal sosial mereka untuk jangka panjang. Ianya tentang membina kepercayaan audien terhadap mereka. Ianya tentang hubungan dan komunikasi tersirat di antara artis tersebut dan juga peminat yang merupakan sumber poket mereka. Berbakat sahaja tidak cukup untuk meletakkan mereka kekal lama di persada seni.

Secara ringkasnya begitulah juga dengan kita para suri yang menjalankan bisnes kecil atau besar samada secara sambilan atau sepenuh masa. Ilmu niaga, modal, tenaga dan jenama produk (product branding) sahaja tidak cukup untuk meletakkan bisnes kita kekal lama di arena niaga dan pasaran.  Sebagai pemilik bisnes atau peniaga kita perlu ada skil penjenamaan diri, posisi diri dan pengurusan reputasi. Saya teringat satu kes pemilik butik tudung yang dengan gah menjawab yang beliau menjual tudung untuk duit bukan untuk berdakwah setelah menerima maklum balas pengunjung butik tersebut tentang tudung yang dihasilkan semuanya pendek dan tidak menepati syariat, tiada pilihan untuk yang mahukan tudung patuh syariat. Ya betul, berniaga matlamat akhirnya ialah duit tetapi cara beliau telah menurunkan nilai baik reputasi, jenama dan posisi diri beliau seterusnya memberi impak negatif kepada syarikat beliau.

Bagi kita para suri yang tidak punya modal besar untuk mengukuhkan penjenamaan diri, posisi diri dan menguruskan reputasi seharusnya kita perlu pandai menggunakan segala sumber percuma yang ada di depan mata. Media sosial adalah medan percuma penjenamaan diri, memposisi diri dan menguruskan reputasi yang sangat mudah untuk kita ambil peluang. Berkongsi perkara-perkara yang positif dan memberi nilai tambah kepada pembaca melalui Blog, Facebook, Twitter dan lain-lain bukan sahaja elemen membina hubungan yang baik dengan pembaca tetapi juga elemen pahala serta saham akhirat kepada kita. Selagi ianya dibaca selagi itulah saham kita di sana terjana. Pembaca-pembaca kita ini seterusnya telah diserap dengan hubungan sosial yang membina kepercayaan kepada kita dan apa sahaja yang berkaitan dengan kita seperti bisnes dan sebagainya.

Ini antara jawapan penting kepada mereka-mereka yang merasakan menulis blog dan sebagainya sebagai membuang masa.

Didoakan coretan pendek ini ada manfaatnya.

 

Salam kasih sayang dari saya!

Wassalam.