Tetapkan Matlamat

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

                

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah. Sedang memulakan langkah kecil sebelum benar-benar memegang posisi WAHM. Pada sahabat suri di luar sana jika punyai destinasi yang sama, susun langkah anda seawal mungkin. Mana mungkin segalanya datang sekelip mata.  Rancang dan rancang. Langkah kecil demi langkah kecil.

Pada adik-adik suri yang masih di awal fasa pekerjaan dan perkahwinan, tetapkan matlamat pada umur berapa anda mahu tinggalkan pekerjaan makan gaji. Dari situ mulakan perancangan secara mengundur ke belakang (reverse planning). Cara begini memudahkan anda membuat perancangan kewangan. Situasi paling manis ialah jika anda bergelar Working At Home Mom di kala hutang kosong. Hutang terbeban yang sangat normal bagi kita kini ialah rumah dan kereta-kereta. Hutang normal ini akan menjadikan kita kurang normal di kala kerjaya Working At Home Mom berada di fasa runcing. Oleh itu sangat penting membuat perancangan mengambil kira situasi paling runcing (worst case scenario). Bila mana tiada komitmen besar seperti hutang rumah dan kereta-kereta, risiko untuk kita berada di situasi kurang normal dan impak negatif amat kurang dan mungkin hampir tiada.

Juga antara cabaran untuk memastikan perancangan terlaksana ialah apa yang dikatakan “peer pressure” atau tekanan dari rakan sebaya samada dalam keadaan kita sedar atau tidak. Ramai dari kita berlumba-lumba untuk memuaskan hati orang lain dan cakap-cakap orang lain. Akhirnya kita terjebak dalam kancah hutang yang tak perlu seperti hutang kereta yang mahal tak selaras dengan poket, hutang pinjaman biaya semula rumah yang kita hanya sekadar mahukan tunai yang akhirnya kita habiskan ke jalan yang entah apa-apa. Semua ini akhirnya melambatkan perancangan kita. Hati mesti keras. Jika tidak semuanya terlepas.

Perancangan amat penting. Sekali lagi saya tekankan tiada yang datang sekelip mata. Ini antara jawapan kepada soalan-soalan yang saya terima kenapa saya begitu berani berdestinasikan kerjaya Working At Home Mom dalam masa kurang 2 bulan lagi. Jawapan yang lain di perkongsian berikutnya. InsyaAllah.

Wassalam.