Tangan Harapan

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah dan The Vocket

image

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Tidak henti-henti Allah swt utuskan rezeki berupa mereka yang murni hatinya kepada kami sekeluarga.

Selepas saya membaca artikel tentang Paksu di The Vocket hasil buah tangan tim Tuan Mohd Fazreen Jasni, terus saya tinggalkan mesej kepada Paksu.

http://thevocket.com/kisah-eksklusif-lelaki-yang-mencipta-tangan-adik-ainaa-amanda/

Tidak saya sangka sama sekali akan menerima panggilan dari Paksu bertanyakan perihal keperluan tangan palsu untuk Irfan anakanda sulong saya yang kini telah berusia 15 tahun.

Baru-baru ini ketika di Pesta Animasi Besut saya sekeluarga mengambil peluang untuk berjumpa Paksu, sahabat beliau Tuan Ridzuan Rdz serta beberapa orang lagi insan hebat dari tim MyVista dan Dream Edge syarikat milik anak tempatan yang tidak jemu membantu merealisasikan impian insan istimewa seperti anakanda Irfan.
MyVista diketuai Paksu sendiri membekalkan mesin pencetak 3D, manakala Dream Edge pula merupakan sebuah syarikat yang menawarkan kepelbagaian solusi ICT seperti CAD dan banyak lagi kepada bidang industri, hospitaliti serta keperluan harian.

Paksu dan sahabat-sahabatnya tidak mengenakan bayaran walau sesen pun kepada penerima.
Mereka sendiri mencari dana.
Ya, mungkin ada yang akan berkata ini strategi pemasaran semata-mata.
Tetapi mereka juga perlukan bajet dan semua ini melibatkan kos yang besar.

Untuk Irfan, Paksu akan berkoloborasi dengan tim Dream Edge bagi menghasilkan tangan palsu semi bionik.
Hasil perbincangan awal, pihak Dream Edge akan cuba menghasilkan aplikasi yang boleh dikawal samada secara bluetooth melalui handphone ataupun lain-lain gajet yang mudah diselia seperti jam tangan pintar.

Di dalam gambar ini Irfan sedang mendemonstrasikan kepada Paksu tangan palsu bermotor yang berharga RM35,000.00 yang kami sekeluarga beli melalui vendor Jabatan Kebajikan Masyarakat 3 tahun dahulu.
Sebagai seorang ibu, walaupun kurang berkemampuan ketika itu, saya cuba usahakan juga kerana mahu memberi yang terbaik kepada anakanda yang dikasihi.
Surat memohon sokongan dana saya hantarkan ke 60 badan kerajaan dan swasta, hanya beberapa surat jawapan diterima.
Untuk tangan ini sahaja kami keluarkan simpanan sebanyak RM15,000.00 dan bakinya alhamdulillah Irfan mendapat sumbangan dari Bernas, Intel dan juga SJKC Hwa Min.

Kami sekeluarga doakan semoga Paksu dan timnya dipermudahkan urusan oleh Allah swt.
Sekarang ini terdapat ramai di dalam waitlist Paksu untuk tangan palsu seperti yang dipakai adik Aina (gambar pertama, atas kiri).
Bukan itu sahaja, Paksu juga sedang gigih membantu anak-anak kecil mangsa peperangan dan bom di Timur Tengah melalui pelajar-pelajar kita di sana.

Bukan semua orang yang punya prasarana bersesuaian dikurniakan kemampuan untuk membantu seperti Paksu dan rakan-rakan.
Syarikat saya bekerja dahulunya juga punya mesin cetak 3D dan saya sendiri yang melakukan safety buy-off untuk mesin cetak ini, tetapi tidak terjangkau dek akal saya yang mesin cetak ini mampu menghasilkan ciptaan luar biasa sepertimana Paksu dan tim lakukan.

Apa yang mahu saya katakan di sini ialah marilah kita bantu Paksu serba sedikit untuk meringankan beban beliau dan rakan-rakan dalam mendapatkan dana.
Paksu serta rakan-rakan juga seperti kita, perlu mencari rezeki dan ada keluarga perlu ditanggung.
Sampai satu tahap Paksu melelong jamnya untuk dana.
Saya tidak boleh berdiam diri sahaja jika sehingga begini pengorbanan Paksu untuk anak-anak syurga yang bukan pun darah dagingnya.
Mulia sungguh hati Paksu dan rakan-rakan.

Anda boleh hubungi saya sendiri atau terus kepada Paksu Delta (akaun facebook) untuk sumbangan kepada Dana Tangan Harapan.

Hanya Allah swt yang dapat membalas budi baik rakan-rakan budiman sekelian.

Jika tidak keberatan mohon share ya kepada rakan-rakan lain. Terima kasih.