Alhamdulillah! Impian Jadi Nyata – Bekerja & Berniaga: Panduan Kejayaan Untuk Suri

Teks: Azura Abdullah
Foto: Jootawan Books Sdn.Bhd

Bekerja Berniaga Panduan Kejayaan Untuk Suri

Bekerja & Berniaga: Panduan Kejayaan Untuk Suri
Harga: RM39.90
Tempahan boleh dibuat melalui: http://bit.ly/suribekerjaberniaga atau Whatsapp ke 019-5761251.
Boleh dibeli di kedai buku pada Februari 2015 (tarikh sebenar akan dimaklumkan)

Versi digital boleh didapati di Google Play pada harga RM15.75.
Sampel percuma sebanyak 18 mukasurat juga boleh dibaca di sini.

 

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

SYUKUR & TERIMA KASIH

Bismillah. Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah SWT di atas kelahiran naskah pertama saya ini. Terima kasih kepada semua yang banyak memberi sokongan dan inspirasi kepada saya. Anda tahu siapa anda.

Saya ingin mengimbas sedikit liku-liku terhasilnya buku ini. Pastinya penghargaan buat Master Sifu Penulisan Tuan Zamri Mohamad yang banyak membuka jalan. Semua ini tidak akan berlaku tanpa Konvensyen Penulisan 2014. Saya memberanikan diri hadir ke Konvensyen Penulisan 2014. Hanya berseorangan dari Kota Bharu. Saya tidak punya network besar dalam arena penulisan. Saya ini bekas minah kilang, si Jurutera yang baru beberapa bulan meninggalkan kerjaya. Saya redah sahaja berbekalkan semangat. Sampai di lapangan terbang awal tetapi berjodoh pula dengan pakcik pemandu teksi baru. Sayalah bidan terjun menjadi penunjuk jalan menggunakan aplikasi GPS melalui handphone saya. Sampai ke destinasi konvensyen lewat beberapa jam. Saya sudah agak kecewa waktu itu. Saya amat tidak gemar memulakan hari dengan kesilapan.

MANUSKRIP BEKERJA & BERNIAGA: PANDUAN KEJAYAAN UNTUK SURI

Sewaktu sesi bertemu penerbit saya singgah ke beberapa meja bertanya itu ini. Tetapi empat kali saya singgah ke meja Jootawan. Dua kali saya berpeluang bersembang pendek dengan Tuan Shah Othman, Editor Jootawan Books Sdn Bhd. “Boleh ni, boleh ni”, kata Tuan Shah merujuk kepada manuskrip yang saya siap cetak sebagai bekal. Jodoh saya panjang dengan Jootawan Books. Alhamdulillah manuskrip cadangan saya di terima. Jutaan terima kasih tidak terhingga kepada pihak pengurusan Jootawan Group Sdn. Bhd. khasnya Tuan Ammar Zahar dan Tuan Shah Othman atas kepercayaan penuh yang diberikan kepada saya untuk menerbitkan naskah sulung ini. Jika tidak, idea, ilmu dan pengalaman yang saya kutip selama ini tidak akan dapat memberi manfaat kepada pembaca sekelian khasnya golongan wanita. Sesungguhnya ilmu yang baik ialah ilmu yang memberi manfaatkepada diri sendiri dan juga masyarakat

Google Play

PENGENALAN BUKU 

Lahirnya naskah ini adalah atas rasa tanggungjawab saya untuk memanjangkan ilmu dan pengalaman yang saya kutip sepanjang bekerja sebagai seorang Jurutera di sebuah syarikat multinasional di utara tanahair dalam masa yang sama saya mengusahakan perniagaan kecil secara online dan offline (butik). Saya ambil ini sebagai satu tanggungjawab sosial saya untuk memberi kesedaran kepada pembaca khasnya golongan wanita tentang pentingnya bermula ketika masih selesa.

Saya bukanlah seorang jutawan atau ahli perniagaan hebat. Pendapatan perniagaan kecil saya hanya menggantikan Pendapatan di kala saya bermajikan dulunya. Saya juga tidak menjanjikan apa-apa magis di dalam buku ini. Ia sekadar perkongsian tulus ikhlas daripada saya atas pengalaman yang saya kutip sendiri dengan benar-benar terjun dalam dunia perniagaan kecil ketika saya masih bekerja bermajikan. Jika anda boleh belajar daripada pengalaman orang lain, kenapa anda perlu lalui pengalaman jatuh gaung? Sekali lagi saya tekankan buku ini bukan tentang teori magis untuk kaya jika itu yang anda harapkan.

Melalui pengalaman diuji dengan kesihatan suami yang kritikal menguatkan lagi azam dan rasa tanggungjawab saya untuk berkongsi pengalaman berharga ini. Langit tidak selalunya cerah dan panas belum tentu hingga ke petang. Tidak menentu sebagaimana fenomena cuaca dunia kini. Sumber pendapatan kedua daripada perniagaan kecil-kecilan yang dimulakan atas rasa minat dulunya itulah yang telah menyelamatkan saya sekeluarga bilamana suami saya sakit kritikal diserang penyakit angin ahmar.

Hilang satu sumber punca pendapatan keluarga. Komitmen yang perlu dilunaskan setiap hujung bulan tetap sama, tetap berdasarkan pendapatan dua orang. Ia ujian yang besar bagi saya sekeluarga dari segi fizikal dan mental. Walaubagaimanapun saya kurang merasa impak dari segi kewangan kerana sumber pendapatan perniagaan kecil yang saya usahakan sambil bekerja ketika itu telah banyak membantu. Ia benar-benar memayungi saya sekeluarga ketika hujan dengan izin Allah SWT.

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah SWT, tanggal 2hb.Januari 2014 saya telah melangkah setapak lagi dengan kembali ke fitrah menjadi isteri dan ibu sepenuh masa yang bekerja di rumah (WAHM – Working at Home Mom). Terima kasih kepada perniagaan kecil yang diusahakan ketika masih bekerja dahulunya yang kini telah memberi peluang saya bersara awal dari dunia bermajikan. Terima kasih kerana telah memberi saya peluang kembali ke fitrah dan menjana pendapatan hanya dari rumah sambil melihat anak-anak membesar di depan mata. Terima kasih kerana kini masa itu milik mutlak saya sendiri. Saya tidak terikat dengan sesiapa lagi.

Saya doakan para pembaca buku saya ini khasnya para ibu yang menaruh impian kembali ke fitrah menjana pendapatan dari rumah agar menyusul saya nantinya. Tiada yang mustahil. Angan-angan disusuli tindakan jarang sekali mengecewakan.

OBJEKTIF BUKU

Objektif buku ini adalah untuk memberi garis panduan serta motivasi kepada pembaca khasnya golongan wanita yang bekerja untuk memulakan langkah niaga dikala masih selesa dengan kos minima dan panduan menguruskannya. Memanfaatkan sepenuhnya minat dalam perniagaan dan kemahiran yang ada untuk menjana pendapatan. Perkongsian tips dan pengalaman bagaimana bekerja sambil berniaga tanpa rasa tertekan, memikul tanggungjawab pelbagai sebagai isteri, ibu, anak, pekerja dan peniaga. Juga bagaimana bekerja dan berniaga tanpa mencuri waktu kerja pejabat majikan untuk melakukan kerja-kerja bisnes.

Buku ini juga menggunakan bahasa yang ringkas dan mudah difahami oleh semua golongan masyarakat.

Semoga maklumat ini sedikit sebanyak membantu anda sebelum ia menjadi milik anda.

Tempahan boleh dibuat melalui: http://bit.ly/suribekerjaberniaga atau Whatsapp ke 019-5761251.

Wassalam.