Si Musafir

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Star City Hotel

 

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, usai menghantar anak-anak ke sekolah awal pagi tadi terus suami bergegas menghantar saya ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa. Bersyukur adanya perkhidmatan kapal terbang tambang murah seperti Firefly kini yang mana harganya lebih kurang harga tambang bas sahaja. Saya jenis tak tahan duduk lama-lama tanpa henti. Selepas 1 jam saya selamat sampai di Lapangan Terbang Subang Skypark pada jam 10.05 pagi. Terus saya ambil teksi untuk bergegas ke Yayasan Pembangunan Vokasional Wanita yang bertindak sebagai badan pengelola Yayasan Cherie Blair di Malaysia. 1 jam berpusing-pusing menjamu mata si pemandu teksi tidak begitu mahir dengan jalan, akhirnya saya pinjamkan telefon berGPS saya kepadanya ;) . Sampai juga akhirnya.

Oh..sebelum saya terus berkongsi cerita mahu saya titipkan ucapan terima kasih tak terhingga buat suami teman suka duka saya, walaupun saya tidak lagi bergelar jurutera tetapi sokongan beliau tetap seperti sewaktu saya bekerja dulunya, jika saya ada tugasan luar samada di dalam atau luar negara beliaulah yang mengambil aih sepenuhnya, tak perlu pun saya import bonda saya sepertimana kebiasaan orang lain. Terima kasih atas keizinan dan kesudian menjaga 4 permata hati di samping rutin menjaga ayahanda mertua yang amat uzur di Kelantan.

P/s: Abe – ada kad di bawah bantal :)

Thank you Abe

Menarik sekali hari ini. Bertuah saya terpilih untuk mengikuti program tajaan Yayasan Cherie Blair ini selama setahun. Program yang dinamakan “Mentoring Women in Business Programme” ini bertujuan memberi aspirasi kepada wanita-wanita terutamanya surirumah untuk berniaga dengan galakan dan dorongan dari mereka yang profesional dalam bidang masing-masing. Bertambah menarik program ini adalah program antarabangsa di mana Mentor dan Mentee datang dari seluruh pelusuk dunia. Mentor dan Mentee ini akan dipasangkan mengikut kesesuaian bidang masing-masing dan setiap 2 minggu dengan bantuan teknologi kedua-duanya perlu mengadakan mesyuarat secara video atau audio untuk memastikan matlamat program mengikut trek asal. Mentee dari Malaysia tidak semestinya mendapat Mentor juga dari Malaysia, kebiasaannya akan mendapat Mentee dari luar negara. Kebolehan bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris adalah antara syarat program. Ada yang bertanya adakah Cherie Blair ini ada kena mengena dengan Tony Blair? Ya, beliau merupakan isteri kepada Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan juga Pengasas Yayasan Cherie Blair. Hari pertama yang menceriakan, bertemu dengan berbagai latarbelakang dunia niaga…kebanyakannya suri berbisnes sepenuh masa. Perunding Imej kepada Mizz Nina antara rakan program.

Jam 4 petang tamat sesi hari pertama terus sahaja saya ke bilik hotel. Hanya beberapa minit berjalan dari Yayasan Pembangunan Vokasional Wanita. Selepas solat asar jamak takhir terus saya terlelap akibat keletihan. Apabila terjaga, kelaparan lah pula. Terus saya menyambar tudung mahu ke stesen minyak berdekatan mahu membeli apa-apa dibuat alas perut. Tiba-tiba hujan lebatlah pula…mulalah bermain di hati, “kalaulah ada makanan pedas-pedas waktu hujan ni dicampur teh panas mesti best”.  Telefon berdering, suara halus staff  Yayasan Pembangunan Vokasional Wanita di hujung corong telefon, “Puan, saya dah tinggalkan nasi dan teh tarik di kaunter hotel untuk Puan”. AllahuAkbar. Saya baru berangan kosong, sekelip mata doa si musafir ini dimakbulkanNya. Allahu…malunya saya pada Pemberi Rezeki Allah SWT Yang Maha Pemurah. Solat pun selalu lewat. Terus teringat gurauan rakan program tadinya tentang mahukan saya doakan beliau sebab saya si musafir dari Kelantan, yang lainnya peserta dari Kuala Lumpur.

Lepas solat maghrib masuk pula mesej mahukan saya menulis artikel motivasi untuk majalah baru yang bakal diterbitkan untuk pelajar. Ya Allah. Kerdilnya saya. Apa lagi yang saya mahu.

offer

 

Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Ada tiga doa yang diterima oleh Allah SWT secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya.” (Hadis Riwayat Turmudzi, Ahmad dan Abu Daud)

Cukup dahulu. Mahu tidur. Kumpul tenaga untuk hari esok. Hari ke 2 saya bermusafir.

Wassalam.