Selesai Sudah Jalan-Jalan Masuk Kampung Kuala Krai Jan’2014

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

image

Alhamdulillah. Sempat juga mencuri masa bersama  NGO Wargakilang menyantuni 30 keluarga kurang bernasib baik di daerah Kuala Krai harì ini dicelah kesibukan rutin anak2 bersekolah dan kelas agama. Alhamdulillah juga kerana hubungan dengan rakan2 NGO Wargakilang yang banyak memberi sokongan tidak terputus walaupun saya sekeluarga telah berhijrah ke Kelantan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan yang terus memberi sokongan moral, wang ringgit dan barangan keperluan kepada tim NGO Wargakilang yang tak jemu berfungsi sebagai posmen menyampaikan amanat rakan2 kepada keluarga2 tersebut.

image

Jelas keceriaan terpancar di wajah keluarga penerima sumbangan. Tambahan lagi rata-rata mereka bergantung hidup dengan menoreh getah dan kebanyakan dari mereka juga berkeluarga besar antara 7 hingga 12 orang anak. Cuaca di Kelantan sekarang pula tidak menentu, sekejap panas sekejap hujan.

image

image

image

image

image

Gambar-gambar rumah sebegini adalah senario biasa yang selalu kami tempuhi di sepanjang pelbagai edisi Jalan2 Masuk Kampung anjuran NGO Wargakilang. Tiba masanya untuk kita sama-sama mengurangkan pemandangan sebegini dengan meningkatkan lagi semangat kejiranan, pandang2lah sekeliling kita dan berkongsilah sedikit dari apa yang kita ada. Juga sudah tiba masanya para pemimpin rakyat dan badan-badan bertanggungjawab untuk tidak sekadar menyantuni keperluan rakyat hanya di dinding media sosial dan pejabat berhawa dingin. Pakcik, makcik, kakak dan abang penoreh getah ini tidak ada Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya untuk meluah rasa. Nak ke jalan besar pun bukan main jauhnya.

image

image

Cubalah jenguk di laman kita dan bandingkan gazebo dan pergola taman kita bersantai. 10 kali cantik dan selesa dari rumah-rumah keluarga2 ini yang dindingnya berlubang, lantainya reput, di situlah ruang tamu, di situlah dapur, di situlah ruang makan dan di situlah bilik tidur dengan kapasiti 7 hingga 12 orang anak. Saya hanya mampu kagum memikirkan bagaimana mereka menjalani kehidupan seharian.

image

Menjadi rutin juga bagi saya dan rakan-rakan membawa anak-anak turun padang jika ada kelapangan atau kena tarikh cuti sekolah. Biar anak-anak melihat sendiri realiti hidup dan betapa bertuahnya kita tak diuji sebegini.

Aktiviti hari ini juga menemukan saya dengan sepupu sebelah suami iaitu Kak Ros antara otai NGO Wargakilang Kelantan. Alhamdulillah. Banyak sungguh kebaikan yang dikutip dari jemaah ini.

Itulah saja catatan ringkas saya untuk edisi kali ini. Kata2 Tuan YDP Sdr Monier setiap kali menyerahkan sumbangan memohon doa dari makcik, pakcik, abang dan kakak agar mendoakan kami dapat teruskan aktiviti menyantuni masyarakat serta doakan kesejahteraan keluarga NGO Wargakilang amat mengesankan. Saya percaya doa ikhlas dari mereka2 yang pernah NGO Wargakilang sentuh hatinya inilah yang membawa kami ke serata pelosok tanahair saban tahun. Doa2 ikhlas mereka inilah yang membantu memudahkan perjalanan hidup keluarga NGO Wargakilang dan rakan2 seangkatan.

Sekianlah sahaja. Wassalam.

Nota:
Segala coretan di sini adalah pendapat peribadi saya dan tidak mewakili NGO Wargakilang secara rasmi.

Posted from WordPress for Android