Selamat Tahun Baru 2016, Tahun Untuk Fokus

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Nasi Goreng Bajet

Masak nasi goreng dengan ikan goreng lebihan lauk tengahari tadi untuk makan malam.
Seisi rumah kurang sihat, demam selsema.
Menu ringkas macam ni dah cukup sedap waktu tak sihat.

Teringatkan zaman susah dulu.
Mak tak pernah membazir.
Ikan dibuat kari pun jika ada lebih akan dibasuhnya untuk digoreng semula esok.
Priceless moment, ilmu survival halus dari mak.

Target 2016 hanya 1 perkara iaitu saya mahu benar-benar FOKUS dengan apa yang telah dirancang untuk misi 2016 nanti.

Tahun 2015 banyak juga perancangan tergelincir dari landasan akibat longgarnya DISPLIN DIRI dan juga peringatan kecil dariNYA. Antaranya kami sekeluarga hampir lemas dalam kereta sewaktu banjir kuning yang lalu ketika mahu berpindah di waktu malam. Alhamdulillah anak-anak lasak dan tahu apa yang perlu dibuat, dengan pantas dibukanya tingkap kereta ketika air mula masuk dan kami semua keluar melalui tingkap kereta dan naik ke atas bumbung, kemudiannya perlahan-lahan ke tempat yang lebih selamat dengan bantuan orang kampung. Bagaikan diberi peluang hidup yang kedua. AllahuAkbar!

31hb Disember 2015, genaplah 2 tahun saya bermastautin di Kelantan dan bekerja sepenuh masa dari rumah di sudut kecil bilik ini. Alhamdulillah. 2015 merupakan tahun yang padat dan penuh manfaat.

1). Kelahiran naskah fizikal Bekerja & Berniaga : Panduan Kejayaan Untuk Suri pada bulan Januari 2015 dan cetakan kedua pada bulan April 2015. Tidak banyak tetapi sudah cukup untuk menyuntik semangat dalam meneruskan misi berkarya.

2). 11 artikel tulisan saya tentang pelbagai topik diterbitkan di dalam Majalah tempatan seperti Majalah NUR, Wanita, Era Muslimah.

3). 5 artikel temuramah @ kemunculan di media berkenaan buku, pengalaman sebagai ibu kepada anak OKU dan pengurusan kewangan.

4). Berpindah ke pondok comel kami sekarang pada bulan Jun 2015 yang dibina tanpa hutang dengan pihak bank. MasyaAllah. Hanya Allah yang tahu perasaannya. Pondok ini lebih kecil dari rumah dahulu yang telah kami jual. Tiada kabinet dapur mahal, tiada apa yang boleh dibanggakan untuk tatapan umum. Tapi hati kami besar dan berbunga-bunga di sini. Syukur padamu ya Allah.

5). Alhamdulillah, diberikan peluang untuk mempunyai kolum sendiri di Majalah Era Muslimah pada bulan Julai 2015 iaitu ‘Kembali Ke Fikrah’, begitu halusnya peluang dakwah dan belajar yang Allah swt beri ada saya. Juga 2 lagi kolum yang saya tulis secara bergilir dengan editornya iaitu ruangan ‘Kami Prihatin” dan ‘Bersama NGO’.

6). Masih diberi peluang menjadi posmen kepada dermawan budiman bersama NGO Wargakilang yang sudah berusia 12 tahun. Alhamdulillah.

7). Pelancaran dan perlaksanaan 3 sesi BENGKEL BLOGGER CILIK MALAYSIA di musim cuti sekolah dan insyaAllah akan diteruskan pada musim cuti sekolah 2016.

Selamat Tahun Baru 2016 kepada semua.

Just be who you are, don’t worry about others (think).
We do our best, Allah swt will do the rest for us.

Finally, thank you very much Abe Hadzrami Mohdfor all your support. Juga untuk anak-anak ibu Irfan HadzramiNur Irdina Mohd HadzramiMuhammad Irsyad Mohd HadzramiIsyraf Hadzrami kerana amat memahami rutin ibu bekerja dari rumah. Sayang semua.

#newyear2016
#azuraabdullah

Istiqomah Sang Myanmar
Nota:
Gambar ialah rumah kongsi pekerja binaan pondok kecil kami, warga Mynmar. Salah seorang darinya (boleh nampak berkopiah putih di muka pintu pada gambar) setiap petang tanpa jemu akan mengaji Quran hingga waktu Maghrib. Allahu. Memang malu sungguh dengan istiqomah beliau, dalam kepayahan mencari rezeki dan tempat tinggal yang maha dhoif. Dalam masa yang sama rasa tenang dan senang dengan persekitaran sebegini yang melingkari pembinaan pondok kecil kami. Alhamdulillah, sesungguhnya nikmat Allah swt dalam berbagai rupa.