Selamat Tinggal 2013

Teks: Azura Abdullah
Foto: Akademi Bekerja Di Rumah

IMG_33299311180144

Selamat Tahun Baru kepada pembaca budiman sekelian. Esok juga merupakan hari pertama persekolahan bagi negeri Kelantan. Saya doakan semua suri dipermudahkan urusan. Bagaimana dengan pencapaian tahun 2013 anda? Sudahkah bersedia dengan misi dan visi untuk tahun 2014. Bagi saya alhamdulillah perancangan saya berjalan lancar dengan izinNya. Hari ini genap 4 hari saya bergelar Working At Home Mom dan telah selamat berhijrah ke Tanah Serambi Mekah.

Saya terkenang di tahun 2003 di mana kegilaan saya membuat barang kemas dari kristal dan mutiara untuk satu-satunya puteri saya MekNa. Setiap hasil kerjatangan akan saya paparkan di blog. Tak sangka pula ada yang mengintai dan berminat. Itulah titik mula bisnes online saya. Bekerja sambil berniaga.

Bila facebook meledak di Malaysia saya berjinak-jinak menjual telekung kanak-kanak pula. Makin seronok bila setiap kali barang jualan laku keras. Lain perasaannya mendapat duit dari hasil titik peluh sendiri. Dalam masa yang sama saya terus menulis di blog peribadi saya. Berkenalan dengan rakan-rakan blogger yang kebanyakannya menjadi pelanggan saya.

Kemudiannya saya berjinak-jinak berbelanja tunai sepenuhnya. Saya berhenti menggunakan kad kredit sepenuhnya pada tahun 2004. Mulanya rasa seperti misi mustahil. Tambahan pula majikan saya juga ada berikan tugasan di luar negara. Alhamdulillah saya berjaya mengharunginya. Tiada masalah pun ke luar negara dengan hanya berbekalkan “debit card”. Saya sudah jimat banyak di sini. Ini juga sebenarnya salah satu teknik mengawal nafsu. Saya masih ingat pesan hartawan muda Tuan Fazreen, katanya ” orang yang berjaya ialah orang yang berjaya mengawal nafsu”. Beliau tidak punya barangan mewah tapi aset hartanah dan duit berkepuk-kepuk.

Waktu mula kawin pula,  setiap kali pulang ke Kelantan saya akan beri seratus dua untuk mertua simpankan untuk saya. Cukup saja bajet mek akan belikan barang kemas untuk saya. Semua itu aset kata mek. Saya bukan jenis pakai barang kemas sangat. Lagipun kerja saya yang banyak bermain dengan perkara-perkara teknikal dan perlu turun padang tak mengizinkan saya untuk melaram. Kini saya menikmati hasilnya.

Terpengaruh dengan gaya mek yang pandai pusing duit buat duit, saya memborong tudung, kain pasang dan telekung yang kemudiannya saya berikan pada pengasuh anak-anak saya untuk mereka berkongsi bersama kawan-kawan. Saya ada 2 pengasuh. Mereka berdua channel hebat saya. Mereka aktif berpersatuan. Saya buat teknik kutu, maknanya mereka bayar bulan dan barang-barang jualan saya pasti jalan dan ada pelanggan. Saya suka begini sebab setiap bulan saya pasti ada duit masuk. Saya anggap pelaburan permulaan beli stok sebagai simpanan, setiap bulan saya dapat kembali dengan sedikit keuntungan. Seronok. Lain perasaannya pegang duit ini dari duit cucuk dinding hasil makan gaji.

Jika rakan-rakan dan adik-adik bercita-cita untuk bersama keluarga dan masih menjana wang dari rumah, makanya perlulah bermula dengan langkah yang kecil. Kita tak perlu modal besar untuk bermula. Saya tinggalkan kerjaya saya bukan kerana saya mendapat imbuhan pakej berhenti sukarela. Saya berhenti tanpa apa-apa imbuhan. Tapi saya berhenti hikmah dari langkah kecil saya semenjak 2003 dan dengan izin Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Walaupun tak kaya raya dengan bisnes kecil saya tetapi sekurang-kurangnya mampu mengganti pendapatan bermajikan dulunya. Saya pasti ramai suri di luar sana berimpian untuk kembali ke fitrah sebagai isteri, ibu dan anak bersama suami dan anak-anak di depan mata sambil menjana wang di rumah dan anda punya kuasa mengawal masa. Jadinya perkongsian saya tadinya ialah sebagai sedikit panduan agar suri di luar sana tidak segan silu untuk memulakan langkah, tidak segan silu untuk melabur seratus dua untuk bermula. Letak tepi sekejap bajet shopping anda untuk bermula. Juga pesan saya cuba elakkan berhutang pada perkara yang tak perlu. Perkongsian kad kredit tadinya adalah salah satu contoh paling ringkas mengurus kewangan. Dulunya saya tidak rasa manisnya tetapi sekarang bila saya menjawat jawatan surirumah bekerja di rumah tanpa sebarang hutang ianya sangat manis sekali.

Sekianlah sahaja. Banyak sekali yang saya ingin berkongsi. Lain hari ya.

Sekali lagi pesan saya, usah pandang rendah pada diri sendiri kerana anda belum tahu sejauh mana sebenarnya anda boleh pergi.

Wassalam.

 

Terkenang di