Selamat Hari Lahir ke 9 Cad! – Bukan Hanya Di Kala Susah Dan Rebah

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Cad2013

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Hari ini di kala saya menulis tanggal 13 Disember, 2013 adalah hari lahir anakanda saya yang ke-3, Muhammad Irsyad. Dah 9 tahun Irsyad anak ibu yang manja. Irsyad sangat mudah dijaga. Walau mudah melenting tapi pandai mengambil hati. Tak pernah lupa cium ibu dan ucap kata maaf serta salam sebelum tidur. Irsyad juga mudah menitis air mata. Lembut jiwanya. Untuk hari lahir kali ni saya ada bertanya Irsyad inginkan apa beberapa minggu yang lepas. “Tak kisah lah Bu. Batang pancing murah-murah pun dah ok”. Tapi saya tahu, Irsyad teringin sangat nakkan “tool box” yang sebenar. Tool box orang dewasa. Saya ada terdengar perbualan Irsyad dengan adiknya Isyraf yang punya “tool box” mainan. “Kalau abang dapat tool box betui punya macam adik best la adik. Abang buleh repair basikal dengan mesin pancing adik”. Hari ni Irsyad suka sekali dapat barang yang diimpikan. Alhamdulillah. Anak-anak ibu sangat sederhana. Bagaimana maktok dan tokayah latih ibu untuk bersederhana, begitulah ibu turunkan kepada anak-anak.

Cad2013_toolbox

Setiap kali hari lahir anak-anak, saya pastikan sambutannya di rumah ibubapa saya. Saya nak anak-anak saya tahu keluarga yang pertama dalam hiraki sosial kita. Kalau keluarga yang utama, sambutan hari penting dalam hidup kita juga perlulah kita utamakan keluarga.

Cad2013potongkek

Mak, saya, adik perempuan saya Husna dan anak perempuan saya Mek Na akan sama-sama memasak juadah ringkas untuk dimakan bersama kek hari lahir. Tidak ada parti harijadi mewah. Cukup dengan doa selamat dan gelak ketawa gembira seisi keluarga sambil usik mengusik waktu sesi memberi dan membuka hadiah. Rutin kami sekeluarga juga, anak-anak yang tak menyambut hari lahir, saya dan suami berikan sedikit bajet setiap seorang untuk mereka belikan hadiah pada yang menyambut hari lahir. Seronok melihat mereka berusaha membalut hadiah dan membuat kad sambil bersembunyi dan mencari alasan agar Irsyad tak melihat apa yang mereka buat. Jelas dapat dilihat Irsyad sangat seronok kali ini mendapat hadiah mainan bidaman, bola, beg duit dan jam dari abang, kakak dan adiknya. Seronok melihat mereka saling berpelukan dan ucap terima kasih antara satu sama lain. Ilmu tersirat ini yang saya mahu anak-anak dapat dan diserap dalam diri mereka walaupun mereka belum memahami sepenuhnya. Bukan hanya keseronokan.

Cad2013bukahadiah

 

cadcaf

Saya mahu anak-anak nantinya dewasa benar-benar yakin dengan pepatah susah senang kita bersama keluarga. Bukan hanya di kala susah dan rebah.

Didoakan perkongsian pendek ini memberi manfaat.

Wassalam.