Sasar Berhenti Kerja & Bebas Hutang Sebelum Usia 40

Teks: Khairun Nisa
Sumber teks: Ruangan Berani Berubah, Majalah MIDI Edisi Julai 2014
Foto: Majalah MIDI dari Koleksi Peribadi Azura Abdullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Atas permintaan pembaca-pembaca blog ini yang ketinggalan dan terlepas peluang membeli Majalah MIDI Edisi Julai 2014 serta memohon saya kongsikan isi kandungan artikel di atas kerana mereka tidak dapat membacanya dengan jelas melalui gambar yang dilampirkan. Saya kongsikan artikel tersebut di bawah.

Midi 2014

Mengambil keputusan bekerja dari rumah setelah selesa dengan jawatan terakhir sebagai Jurutera Senior di sebuah syarikat multinasional pengeluar cip terkemuka dunia berpengkalan di Kulim Hi-Tech dan Pulau Pinang nyata satu keputusan berisiko tinggi.

Namun, setelah berfikir semasaknya, Nor Azura Abdullah, anak kelahiran Kulim, Kedah ini nekad untuk berhenti kerja kerana mahu mempunyai masa yang lebih fleksibel di samping dapat meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Bukan mudah untuk membuat keputusan sebegitu memandangkan sebelum berhenti kerja, Nor Azura atau lebih mesra dengan panggilan Azura ini sudahpun memiliki pengalaman bekerja selama 17 tahun di syarikat tersebut dengan beberapa potfolio sebagai Jurutera Senior bagi jabatan EHS (Environmental, Health & Safety Senior Engineer), Eksekutif Senior Jabatan Keselamatan dan Eksekutif Senior Jabatan Pembangunan & Latihan Staf Teknikal.

Jika tidak dengan sokongan padu daripada suami tercinta, Mohd Hadzrami Abdullah, Azura mengakui sukar untuk meneruskan hasratnya. “Alhamdulillah, suami amat memahami malah memberi pandangan serta nasihatnya. Justeru, setelah melihat setiap persediaan dan perancangan teliti yang saya lakukan sebelum berhenti kerja, suami memberikan sokongan sepenuhnya,” katanya yang mengusahakan pemasaran dan pembekalan serunding asli yang terkenal dari Kampung Laut, Tumpat, Kelantan dan beroperasi melalui syarikatnya Mizura Enterprise. Kini Azura telah mempunyai seramai 20 orang ejen dari seluruh Malaysia.

AKTIF MENULIS BLOG

Di samping itu juga, Azura mengambil peluang kemahiran berblog dengan mengajar wanita berkerjaya atau suri rumah untuk membuat dan menulis blog dengan betul, seterusnya membina jenama dan jaringan perniagaan menerusi laman webnya www.azuraabdullah.com.

Bercerita lebih lanjut, Azura berkata dia meletakkan sasaran berhenti kerja dan bebas hutang sebelum umurnya mencecah 40 tahun. Alhamdulillah sasarannya tercapai malah 2 tahun lebih awal daripada perancangan awalnya.

“Walaupun saya tidaklah mewah harta tetapi saya kini kaya dengan masa dan tidak lagi pening kepala dengan komitmen besar seperti rumah atau kereta. Perihal kad kredit, syukur setakat ini saya dan suami masih dengan prinsip tidak mahu berhutang dengan menggunakan kad kredit. Segala perbelanjaan kami sekeluarga berasaskan tunai ataupun kad debit sahaja.”

“Sebenarnya, untuk merelisasikan hasrat bekerja dari rumah ini, saya telahpun memulakan bisnes dalam talian sejak tahun 2009 lagi. Ia sebagai persediaan pertama bagi menjana pendapatan ke dua. Bermula sebagai hobi dalam kraf barangan perhiasan kristal yang dikongsikan menerusi blog, akhirnya saya semakin serius dalam perniagaan tersebut.”

“Bukan itu sahaja, saya juga cuba melangkah setapak ke hadapan lagi dengan membuka sebuah butik pakaian muslimah di Kulim, kedah. Namun, dalam masa yang sama saya tetap aktif menulis di blog memandangkan trafik pembaca blog yang semakin menggalakkan. Bagi saya, ia merupakan medan terbaik untuk membina jaringan perniagaan,” ujar Azura.

Berkongsi pengalaman bekerja dan berniaga di dalam buku digital berjudul ‘Bekerja & Berniaga: Panduan Untuk Suri’ menerusi blog jualannya www.bekerjaberniaga.blogspot.com, Azura berkata dia amat berharap suatu hari nanti karya digitalnya ini dapat hadir dalam versi fizikal.

JANGAN CURI DUIT BISNES 

Ketika ditanya bagaimana Azura mengukur pencapaian dirinya setelah bekerjaya dari rumah, kata Azura dia percaya tiga perkara penting yang perlu ada iaitu Senarai Perkara Yang Perlu Dilakukan (Things To Do List), Akaun Bisnes dan Jangan Curi Duit Bisnes. Ketiga-tiga perkara ini wajib diamalkan agar perniagaan yang dijalankan berjalan lancar dan dapat diatur dengan efisien.

“Saya seorang yang cepat bosan dan sentiasa mahukan sesuatu yang boleh memberikan cabaran bagi menghidupkan suasana hari-hari saya. Itu juga sebabnya saya pastikan ketika bekerja dahulu sayabertukar-tukar potfolio setiap empat tahun bagi menimba pengalaman. Ketika bekerja dulu saya telah biasa membuat perancangan mencipta kejayaan untuk 5, 2, 1 tahun dan semasa.

” Hal ini amat membantu kita kekal di trek. Setiap minggu saya akan melakukan analisa status Things To Do List saya. Senarai perkara yang perlu dilakukan ini mesti ada setiap hari.”

“Keduanya, saya perlu mewujudkan satu akaun bisnes yang teratur. Walaupun bisnes yang dijalankan hanyalah bisnes kecil, adalah kritikal untuk suri rumah bekerja dari rumah untuk memiliki kewangan yang teratur. Ii antara kayu pengukur penting kejayaan bisnes dari rumah. Jika tidak, wang modal, untung dan sebagainya tidak tahu ke mana.”

“Akhir sekali adalah amat penting untuk kita tidak ‘mencuri’ duit bisnes kita sendiri. Saya mengasingkan duit bisnes dan duit peribadi serta membayar gaji pada diri sendiri setiap hujung bulan seperti ketika saya bekerja dahulu. Ini antara salah satu cara untuk mendapatkan kepuasan nikmat bekerja dari rumah,” jelasnya tersenyum lebar.

“Saya tidak biarkan jawatan suri rumah menenggelamkan jawatan saya bekerjaya dari rumah. Tepat pukul 8.00 pagi setelah anak-anak ke sekolah saya terus ke meja kerja saya dengan secawan kopi cukup dengan sekeping roti.”

“Saya akan bermaraton sehingga pukul 12.00 tengahari, bekerja sebagaimana pekerja di pejabat. bezanya dalam keadaan lebih santai di rumah. Kemudian, saya akan berhenti seketika untuk memasak sementara menanti anak-anak pulang dari sekolah. Waktu petang pula, jadual anak-anak penuh dengan aktiviti kelas agama dan kokurikulum. Kesempatan yang ada itu, saya kembali ke meja SOHO (small office home office) saya tepat jam 3.00 hingga 5.00 petang.

KELUARGA

“Saya tida masa untuk bermain-main atau tidur siang seperti kebanyakan persepsi orang lain terhadap suri rumah. Rutin sebagai suri rumah seperti membasuh, mengemas dan sebagainya telah saya selesaikan seawal Subuh. Jadi tiada masalah untuk saya menumpukan perhatian pada kerja-kerja SOHO saya.”

“Bagi kerja-kerja pengeposan produk serunding lazimnya saya lakukan pada hari Isnin dan Khamis sahaja. Pembungkusan dilakukan oleh pembekal mengikut spesifikasi yang saya tetapkan. Semuanya disusun secara rutin dan saya ikut setiap jadual yang saya rencanakan. Saya tidak mahu akhirnya nanti keluarga pula terabai,” akhirinya sambil menegaskan sekali lagi bahawa displin diri amat penting lebih-lebih lagi jika mahu bekerjaya dari rumah sepertinya.