Salam Maal Hijrah – Cintai Diri

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah


Penulis, 2 dari kiri bersama insan hebat, Ras Adiba Radzi.


Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera,

Diharapkan tidak terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Kalendar Hijrah kepada para suri di luar sana. Kalendar Hijrah yang memperingati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah.  Didoakan tahun ini bakal membawa kita kepada jejak-jejak yang lebih baik dari tahun yang lepas. 

Sedikit coretan dari saya setelah menghadiri majlis ilmu bersama Ras Adiba Radzi pada tahun lalu. Hadirin kagum sekali dengan semangat yang ada pada Ras Adiba Radzi, termasuk saya. Sebagai seorang ibu kepada anak istimewa, saya amat memahami perit jerih mengharungi kehidupan sebagai insan istimewa. Apatah lagi bagi mereka yang dilahirkan sempurna dan menikmati kehidupan penuh aktif sepanjang hari, tiba-tiba Yang Maha Kuasa menarik balik pinjaman itu. Alangkah sukarnya hendak bermula kembali. Sukar yang sangat sukar. Itu pasti.  Saya sendiri pernah melihat bagaimana anak istimewa saya di usia kecil pernah menangis kerana tidak dapat bermain dengan betul akibat tidak dapat memegang mainan dengan hanya sebelah tangan. Saya turut menangis. Apatah lagi dengan keadaan yang dihadapi oleh Ras Adiba Radzi.

Para jemputan menitiskan airmata bilamana Ras berkongsi suka duka beliau bangun dari kekalutan. Berperang dengan emosi untuk bangkit. Sahabat handai menjauh. Ras terlibat dengan kemalangan jalan raya pada tahun 1996 semasa pulang dari membuat liputan pertandingan bola sepak Piala Malaysia. Akibat dari kemalangan itu beliau terpaksa menjalani pembedahan memasukkan 24 keping implan bagi menyokong tulang belakangnya. Pada tahun 2002 beliau disahkan lumpuh separuh badan.

Ras dulunya merupakan seorang yang aktif dengan motosikal berkuasa tinggi. Kini dalam keadaan istimewa beliau lebih aktif dengan sukan badminton, bolajaring, renang, menembak, bisnes dan lain-lain lagi. Hebat bukan! Rahsia Ras ialah dengan mencintai diri sendiri, sayangi diri sendiri. Bila kita mencintai diri sendiri, kita akan menjaga diri kita sebaiknya dengan melibatkan diri kepada perkara-perkara yang positif juga dekatkan diri denganNya. Seterusnya barulah kita dapat memberi aura positif kepada orang lain.


Penulis bersama permata hati semangat Ras Adiba Radzi, Umar.

Moralnya di sini, sayangi lah diri kita supaya kita bukan saja mendapat manfaat, tetapi juga insan yang kita sayang seterusnya masyarakat sekeliling. Tiada perkataan “terlalu lewat untuk bermula” patut wujud dalam kamus hidup kita. Lihat bagaimana Ras Adiba Radzi bertatih dan bermula kembali di kala orang lain memasuki zon selesa. Tidak terlalu lewat jika kita mahu luahkan rasa sayang pada insan yang dekat di hati kita, tidak terlalu lewat untuk kita merancang dan membuat keputusan yang membolehkan kita dekat dengan insan tersayang, tidak terlalu lewat untuk kita meluangkan masa melakukan apa yang kita suka seperti menulis dan sebagainya. Tidak terlalu lewat untuk bermula! 


Didoakan semangat istimewa Ras Adiba Radzi menyerap di minda anda!

Wassalam.