Sabar Itu Tidak Pernah Mengecewakan

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

image

Pondok kecil kami di tengah sawah tinggal.

Beberapa minggu lepas ada orang datang melihat tanah di sebelah rumah.
Kemudiannya mereka mula membersihkan semak samun di tanah tersebut dengan kaedah pembakaran terbuka.
2 minggu jugalah kami bermandikan asap. Cuaca pula kering dan berangin kuat.
Baju-baju yang bersidai di ampaian memang tak usah cakap, kena basuh semula.
Irfan, Irsyad dan Isyraf dah batuk-batuk macam nak lelah. Bergilir-gilir ke klinik. MekNa sahaja yang steady.
Saya bakal dapat jiran, sekarang tak ada jiran, rumah di tengah padang.

Terdetik juga di hati mahu beritahu supaya jangan dibakar. Bukan sahaja masalah kesihatan kepada yang menghidunya secara terus tetapi kepada alam sekitar juga. Almaklumlah saya kan bekas jurutera EHS (environmental, health & safety. Prihatin gitu. Chewah!

Walaubagaimanapun saya dan suami memilih untuk diamkan sahaja. Kami pun masih baru di sini, saya pula orang luar (bukan asal Kelantan). Jambatan ukhuwah yang sudah comey dibina dengan mereka takkanlah hendak dimusnahkan dengan kes asap sahaja.
Hari tu sempat bersembang dan berkenalan dengan mereka, saya hadiahkan sayur dari laman.
Baik orangnya, si isteri meluah rasa kepada saya yang beliau pening kepala dengan ayahnya yang nak juga bakar semak samun tersebut.
Tanah yang nak ditambun pula bukannya sedikit sebelum rumah dibina nanti, dalam 2-3 kaki tebal juga, jika diikutkan tidak perlu bakar atau clearkan rumput sampai licin pun. Terus tambun tanah pun boleh.
Saya sengih sahaja mengiyakan luahan rasa beliau.

Ditakdirkan Allah swt, pada satu hari Irfan dah semput/lelah. Lewat petangnya kami keluar ke klinik dan saya terlupa kutip baju dari ampaian. Sudah keluar baru teringat.
Selepas maghrib kami kembali ke rumah. Sudah gelap gelita.

“Eh! Mana semua baju di penyidai ni? Tanah pula habis basah. Macam baru. Bau asap pun kuat benar. Macam berkabus. Hmmm…,” saya bercakap sendiri dan kemudiannya memberitahu suami.

15 minit kemudian ada kereta masuk ke laman rumah, kami menerima kunjungan tetamu. Rupanya bakal jiran kami datang dengan ayah dan ibunya.  Mereka kami jemput masuk ke dalam rumah.

“Kuat dih bau asap dale rumoh. Mitok maaf bbanyok sebab dok bakar. Kesian puak demo dok hidu asap. Keluar makan ko?”

“Gi klinik tadi Mokcik. Baru sampai. Anok lelah.”

“Allah…sebab asap ko?”

“Dak eh Mokcik. Meme ado lelah Irfan tu.”

“Sebab asap sekali bekali tu. Kito mari ni nok royat (beritahu), tadi masa dok bakar dekat tanah tu api tiba-tiba jadi besar sampai tepi rumoh demo. Puok kito pakat lompat pagar rumoh demo, guno air. Kain kito letak atas wokaf buluh tu. Mitok maaf bbanyok la jadi gini.”

Saya dan suami cakap tak mengapa, bukan sengaja pun. Kami berbual panjang, berkenalan dengan lebih dekat dengan penuh suasana ukhuwah. Alhamdulillah.

Apabila mereka pulang suami berkata kepada saya bersabar dan bertolak ansur tidak pernah rugi.
Allah swt sendiri pula tu yang lorongkan untuk mereka masuk ke rumah kita dan rasai sendiri bau asap di dalam rumah tanpa perlu kita beritahu.
Tanpa ada mana-mana hati yang terguris.
Tanpa ada jambatan yang runtuh.

Ilmuwan Agama Tersohor, Almarhum Buya Hamka sendiri banyak mengungkap tentang adab di dalam beberapa karyanya.
Antaranya ialah:

• “Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada pakaiannya.”
• “Orang yang beradab pasti menghormati keyakinan orang lain walaupun beliau sendiri tidak sesuai dengan keyakinan itu.”
• “Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.”

Begitulah juga apa yang saya nampak tentang manisnya kini isu Dr.Zakir Naik.
Beliau sendiri tidak melatah, sebaliknya tenang sahaja dan mengucapkan terima kasih kepada individu yang memanggilnya ‘s*tan’ kerana secara tidak langsung beliau mendapat publisiti percuma.
Masyarakat tidak kira agama dan bangsa juga berlumba-lumba membuat serba sedikit kajian siapa itu Dr.Zakir Naik sebenarnya.
Jumlah ‘view’ ceramah dan dialog tokoh ini di YouTube pula meningkat secara mendadak.

Saya sendiri rasa terpukul setelah menelaah video-video beliau. Sebelum ini saya sekadar tahu begitu-begitu sahaja siapakah tokoh hebat ini.
Tetapi setelah kemelut ini berlaku saya sendiri mengambil inisiatif untuk mengetahui dan SubhanaAllah! Masih jauh lagi saya dengan Al-Quran, dalam mendalami Al-Quran. Walaupun saya ini bekas pelajar sekolah agama, ianya tidak menjamin apa-apa.
Ilmu tanpa amal tidak ke mana. Saya juga berpeluang mengenal agama lain dengan lebih dekat.

Menurut Dr.Zakir Naik di dalam salah satu sesi soal jawabnya, “Jika mahu mengenal  agama Islam baca dan fahami Al-Quran, bukan dilihat pada orang Muslim sahaja. “

Saya mendapat perkhabaran dari kekanda saya orang kuat media Kelantan yang Kerajaan Negeri Kelantan sedang berusaha mengatur kedatangan Dr.Zakir Naik ke Negeri Serambi Mekah ini.
Doakan ianya menjadi kenyataan dan bakal menjadi berita gembira buat rakyat Kelantan terutamanya bagi mereka yang tidak dapat hadir ke sesi di Terengganu.

Azura Abdullah
Tak Kenal Maka Tak Cinta

#telegramdarilangit
#catatanmekzurots