Program Mentoring Women in Bussiness

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

YPVM

YPVM

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah. Saya kini berada di Pantai Air Tawar, Kuala Besut. Keluar seawal pagi asalnya untuk mengikuti Pertandingan Lumba Kuda Padi di Kampung Gong Kubur, Paser Puteh, Kelantan dengan nasi lemak, keropok dan minuman sebagai bekalan tetapi mendapat maklumat sewaktu kami sudah di dalam perjalanan dari Machang bahawa pertandingan dibatalkan. Mujurlah suami jenis yang sentiasa bersedia dengan joran dalam bonet kereta. Makanya plan B kami terus mencari pantai untuk bersantai seharian mengambil peluang untuk memancing.  Selalunya setiap hujung minggu masa kami dihabiskan di Alysha Farm, Pengkalan Chepa. Anak-anak tidak ada latihan kuda pada minggu ini kerana jurulatih punya urusan yang tak dapat dielakkan.

Tenang-tenang di tepian Pantai Air Tawar, Kuala Besut ini tiba-tiba teringat pula keriuhan dan kemeriahan pada 3 minggu yang lalu bersama rakan-rakan peniagawati hebat selama 5 hari berturut-turut, 8 jam sehari menghadiri kursus keusahawanan. Saya dan rakan-rakan amat bertuah kerana terpilih untuk mengikuti Program Mentoring Women in Bussiness di bawah tajaan Cherie Blair Foundation For Women dengan kerjasama Yayasan Pendidikan & Vokasional Wanita (YPVM). Cherie Blair merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan menubuhkan Yayasan Cherie Blair untuk membantu wanita di seluruh dunia dalam meningkatkan ekonomi rumahtangga melalui program mentoring yang dianjurkan. Begitu juga halnya Yayasan Pendidikan & Vokasional Wanita (YPVM), sebuah NGO yang menumpukan dalam aspek pembangunan modal sosial melalui pelbagai kursus di bawah kelolalaan mereka.

Sepanjang 5 hari berkursus sebagai pengenalan kepada program mentoring ini para peserta didedahkan kepada matlamat program oleh Puan Aziaty, asas bisnes seperti aspek komunikasi melalui modul Bussiness English oleh Puan Dr.Fatimah dari Universiti Malaya, The Winning Bussines Planning oleh Puan Dr.Borazlin dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan juga trend ICT terkini oleh Usahawan Super, Jutawan Muda Umar Taib.

Saya anggarkan kursus sebegini yang mengambil masa 5 hari, sekurang-kurang saya perlu membayar RM2,000.00 jika dianjurkan oleh badan swasta. Para peserta juga diberi tablet jenama tempatan untuk digunakan sepanjang tempoh setahun program mentoring ini. Bertuah sungguh para peserta! Oh…semuanya percuma, makan minum, tempat tinggal semua ditanggung yayasan. Bagi peserta di luar Selangor hanya perlu menanggung kos pengangkutan masing-masing sahaja. Terima kasih Cherie Blair International Foundation dan Yayasan Pendidikan & Vokasional Wanita (YPVM) khususnya Puan Aziaty yang sangat lemah lembut dan sabar orangnya.

 

YPVM1

geng kalut

Walaupun kebanyakan topik-topik yang dibentangkan adalah biasa bagi saya kerana 17 tahun di syarikat multinasional telah berbagai jenis latihan dan bengkel telah saya lalui, namun ianya tidak menjadi halangan untuk saya kosongkan gelas kosongkan minda saya untuk menyerap ilmu dan pengalaman orang lain yang takkan sama dengan kita. Saya sangat hargai peluang ini. Rakan-rakan sekursus yang datang dari berbagai latar belakang juga membuat program ini lebih menarik. Para peserta menjadi rapat dan berkongsi ilmu serta pengalaman tanpa berkira. Ada pemilik bakeri, pemilik butik, jurusolek artis, pereka laman web, pembekal produk kosmetik kesihatan, pemborong kacang premium, pembekal sabun tanpa bahan kimia, pereka kek yang saya gelar beliau The Cake Boss dan perunding imej kepada artis yang baru berhijrah Mizz Nina iaitu Puan Emi Edura pun turut bersama kami sebagai peserta. Ukhuwah para peserta tidak tamat di situ sahaja, terus bertukar-tukar ilmu, berita niaga melalui media Whatsapp pula. Hebat sungguh penangan “gam” yang dilekatkan kepada kami oleh Yayasan Pendidikan & Vokasional Wanita ini. Terima kasih sekali lagi Puan Aziaty!

Tenaga pengajar juga tak lokek berkongsi ilmu. Kelas Bussiness English oleh Puan Dr.Fatimah sangat menarik, penuh dengan gelak ketawa. Beliau bukan sahaja memberi tunjuk ajar tentang komunikasi bisnes tetapi dengan skil yang beliau ada berjaya dikoreknya potensi sebenar para peserta melalui pelbagai aktiviti yang beliau kendalikan. Diri saya sendiri sebagai contoh, Puan Dr.Fatimah tafsirkan saya sebagai seorang yang analatikal (analytical) dan berstruktur (structured). Melalui input yang diberikan oleh Puan Dr.Fatimah sedikit sebanyak dapat membantu saya menyusun kembali prioriti bisnes saya. Menarik sekali.

Puan Dr.Norazlin pula sangat petah dengan perkongsian slot The Winning Biz Plan nya. Ternyata pengalaman beliau sebagai seorang pegawai bank terkemuka tanahair memberi posisi berbeza berbanding tenaga akademik lain. Beliau bercakap dari sudut teori dan praktikal di mana beliau sendiri pernah mengharungi dunia perbankan. Saya suka!

Jutawan Muda Usahawan Super, Tuan Umar Taib pula berkongsi berbagai sisi nakal jatuh bangun beliau dalam bisnes seawal zaman universiti. Konsep beliau sangat mudah dan praktikal. Memang ini yang dicari peniagawati terutamanya yang bekerja dari rumah. Beliau juga berkongsi tools terkini yang sesuai diguna pakai bagi bisnes online. Sangat berbaloi sessi bersama beliau.

Berakhirnya kursus induksi 5 hari tersebut bermakna akan bermulalah program mentoring para peserta bersama Mentor dari luar negara dan dalam negara. Setiap Mentee akan dipasangkan dengan Mentor yang boleh membantu menambah baik bisnes serta perancangan Mentee yang sedia ada atau dalam perancangan. Setiap 2 minggu Mentor dan Mentee perlu mengadakan mesyuarat samada melalui audio atau video untuk masing-masing berbincang pencapaian dan langkah seterusnya ataupun aspek pertolongan yang diperlukan Mentee dari Mentor.

Bagi yang berminat untuk terlibat dalam program ini boleh lah memohon melalui:

Yayasan Pendidikan & Vokasional Wanita (YPVM)
Tel: 03-79541244/79551244
email: info@ypvwm.org.my / ypvwm@unifi.my

Manakala bagi yang ingin mengetahui tentang Yayasan Cherie Blair, boleh layari laman web ini:

http://www.cherieblairfoundation.org/

CCherie Blair

Semoga perkongsian ini ada manfaatnya.

Wassalam.