Profil Penulis

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Alhamdulillah & Salam Sejahtera,

65

Bismillah. Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah SWT di atas kelahiran weblog saya ini. Terima kasih yang tidak terhingga di atas sokongan padu suami, Tuan Mohd Hadzrami Abdullah dan anak-anak yang dikasihi, Muhammad Irfan, Nur Irdina, Muhammad Irsyad serta Muhammad Isyraf. Tidak lupa kedua ibubapa saya Ayahanda Tuan Abdullah Hj.Wahab dan Bonda Puan Rokiah Hj.Ismail, kedua ibubapa mertua Ayahanda Tuan Hj.Abdullah Mohamad, Bonda Hjh Salimah dan Bonda Puan Noraini, saudara mara dan juga rakan-rakan yang banyak memberi sokongan. Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Pengasas Akademi Bekerja Di Rumah, Puan Masayu Ahmad yang banyak memberi inspirasi di atas penjenamaan semula weblog saya. Dulunya saya menulis tanpa arah. Tanpa dorongan dan bimbingan beliau, idea, ilmu dan pengalaman yang saya kutip selama ini tidak akan dapat memberi manfaat kepada suri yang lain.

Cinta Hati Saya

Cinta Hati Saya Dunia dan Akhirat

Lahirnya weblog ini adalah atas rasa tanggungjawab saya untuk memanjangkan ilmu dan pengalaman yang saya kutip sepanjang bekerja sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat multinasional di utara tanahair dalam masa yang sama saya mengusahakan perniagaan kecil secara online dan offline. Saya ambil ini sebagai tanggungjawab sosial saya untuk beri kesedaran kepada suri tentang pentingnya menyediakan payung sebelum hujan.

Saya bukanlah seorang jutawan atau ahli perniagaan hebat. Pendapatan perniagaan kecil saya hanya menggantikan pendapatan di kala saya bermajikan dulunya. Saya juga tak janjikan apa-apa magis di dalam perkongsian weblog saya ini. Ianya sekadar perkongsian tulus ikhlas dari saya di atas pengalaman yang saya kutip sendiri dengan benar-benar terjun dalam dunia perniagaan kecil ketika saya masih bekerja bermajikan. Jika kita boleh belajar dari pengalaman orang lain kenapa kita perlu lalui pengalaman jatuh gaung.

Melalui pengalaman diuji dengan kesihatan suami yang kritikal menguatkan lagi azam dan rasa tanggungjawab saya untuk berkongsi pengalaman berharga ini. Langit tak selalunya cerah, panas belum tentu hingga ke petang. Tak menentu sebagaimana fenomena cuaca dunia kini. Sumber pendapatan ke 2 dari perniagaan kecil-kecilan yang dimulakan atas rasa minat dulunya itulah yang telah menyelamatkan kami sekeluarga bilamana suami saya sakit kritikal diserang penyakit angin ahmar. Hilang satu sumber punca pendapatan keluarga. Komitmen yang perlu dilunaskan setiap hujung bulan tetap sama, tetap berdasarkan pendapatan 2 orang. Ianya ujian yang besar bagi saya sekeluarga. Walaubagaimanapun saya kurang merasa impak dari segi kewangan kerana sumber pendapatan perniagaan kecil yang saya usahakan sambil bekerja ketika itu telah banyak membantu. Ianya benar-benar memayungi kami sekeluarga ketika hujan dengan izin Allah SWT.

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah SWT, kini saya telah melangkah setapak lagi dengan kembali ke fitrah menjadi isteri dan ibu sepenuh masa yang bekerja di rumah. Kini saya telah bergelar WAHM (working at home mom). Terima kasih kepada perniagaan kecil yang diusahakan ketika masih bekerja dulunya yang kini telah memberi peluang saya bersara dari dunia bermajikan sebelum umur mencecah 40. Terima kasih kerana telah memberi saya peluang menjana pendapatan hanya dari rumah sambil melihat anak-anak membesar di depan mata. Terima kasih kerana kini masa itu milik mutlak saya sendiri. Saya tidak terikat dengan sesiapa lagi. Alhamdulillah. Saya doakan para suri pembaca weblog saya ini juga bakal menyusul saya nantinya. Tiada yang mustahil.

Terima kasih. Didoakan Allah SWT memberkati kehidupan kalian.

Wassalam.

 



%d bloggers like this: