Pelukis Sutera

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

                               

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Hari ini coretan saya adalah coretan kekecewaan. Coretan kekecewaan kerana mereka yang kononnya dewasa berlagak seolah-olah anak kecil tak punya hati dan perasaan. Bertambah sayu hati bila melihat sahabat blogger saya, Puan Ashikin yang juga pemilik taska dan penulis panel Majalah Era Muslimah begitu sepenuh hati membuat persiapan bagi Majlis Graduasi & Penyampaian Hadiah Akhir Tahun untuk anak didiknya. Besarnya pahala Puan Ashikin, menggembirakan pemilik hati sesuci sutera putih.

Anak bongsu saya baru-baru ini setelah tamat peperiksaan akhir tahun bersemangat sekali bercerita dengan abang-abang dan kakaknya tentang majlis graduasi. Bersemangat untuk abang-abang dan kakaknya hadir melihat si adik membuat persembahan, menerima hadiah dan menerima skrol tamat tadika. Tetapi alangkah terkejutnya saya apabila menerima surat pemberitahuan dari pihak pengurusan tadika yang majlis graduasi dan penyampaian hadiah diganti dengan lawatan ke Taman Burung Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Anak saya ada memberi tahu tentang lawatan tersebut tetapi sangka saya ianya salah satu aktiviti tahunan sepertimana tahun-tahun sebelumnya. Rupanya meleset belaka. Ianya sekadar program gantian. Program gantian yang tidak sama nilainya dengan Majlis Graduasi Anak-Anak Kecil yang penuh dengan harapan, senyuman, rasa bangga, keyakinan diri dan banyak lagi.

Apa yang berlaku ini sebenarnya cermin dan refleksi untuk kita renung. Renungan yang berhubung kait dengan kehidupan personal dan professional kita. Semuanya bukan tentang wang sahaja. Ianya tentang “nilai” atau ” harga” sesuatu perkara.

Apa yang berlaku ini cerminan orang dewasa terlalu memandang remeh “nilai” dan “harga” sesuatu perkara pada anak kecil. Ianya ibarat perjanjian tanpa hitam putih ibubapa kepada anak-anak untuk bersama-sama meluangkan masa berkualiti bersama tetapi sering tak ditepati kerana ada lagi perkara lain yang lebih prioriti. Sedihnya menjadi anak kecil, sering menjadi prioriti akhir. Hebatnya si dewasa…sering di prioriti pertama. Walhal hidup si dewasa hanya bersaki baki usia. Si anak kecil baru mengintai dunia. Tetapi sutera putih mahal si anak kecil dilukis oleh pelukis malas yang kering hatinya. 

Maaf atas coretan ini. Saya bukan pelukis malas yang kering hati.  Akan saya cuci sutera itu. Akan saya adakan baju graduasi si kecil Isyraf.  Akan saya bawa si kecil Isyraf bergambar di universiti saya tamat pengajian.

Wassalam.