Multitasking : Raikan Perbezaan

Teks: Azura Abdullah
Foto: Puan Nik Fauziah Nik Hussin (Editor Majalah Era Muslimah)

 

kaknik

 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Saya terpanggil untuk menulis tentang bakat ‘multitasking’ yang Allah swt kurniakan kepada kaum wanita sepertimana yang dinyatakan oleh Editor Majalah Era Muslimah, Puan Nik Fauziah Nik Hussin di dinding laman Facebook beliau hari ini.

Ini juga antara topik hangat yang sering diutarakan kepada saya sewaktu saya masih bekerja dan dalam masa yang sama saya juga berniaga. Rata-rata rakan ingin mengetahui apa rahsianya apatah lagi saya punya 4 orang cahaya mata, bekerja pula di kilang yang perlukan komitmen tinggi tetapi saya masih sempat memasak juadah pagi dan malam untuk anak-anak dan suami. Anak-anak saya pula ketika itu bersekolah di sekolah jenis kebangsaan. Bekal adalah wajib untuk mereka.

Baik. Berbalik kepada multitasking tadi, ada antara rakan-rakan juga merasakan mereka tertekan dengan seribu satu perkara yang mereka perlu/mahu lakukan dan langsaikan sedangkan pasangan masing-masing pada persepsi mereka tidak ringan tulang dan tidak mahu membantu. Saya tidak mahu menyentuh tentang tips-tips untuk perenggan pertama tadi (lain entri ya :) ), tetapi saya mahu berkongsi fakta saintifik perihal multitasking ini.

Saya bantu anda menterjemah dan ringkaskan artikel oleh Ben Spencer dari Mail Online UK tentang multitasking ini.

Kajian saintis, Dr Ragini Verma, dari University of Pennsylvania, membuktikan otak lelaki dan wanita berbeza. Kesimpulan dari kajian tersebut ialah:

  • Saintis menggunakan kaedah mbasan MRI untuk mengimbas otak 949 orang pemuda dan pemudi.
  • Otak lelaki lebih kepada ‘single task’
  • Otak wanita pula cenderung kepada ‘multi-task’
  • Wanita juga sangat bagus dalam mengadaptasikan diri dengan suasana yang sibuk dan tegang.
otak multitask

Sumber foto: http://www.dailymail.co.uk/

Kajian saintis menunjukkan wanita mempunyai ‘sel-sel berhubung’ yang lebih baik berbanding lelaki di antara otak kanan dan otak kiri mereka. Otak lelaki menunjukkan aktiviti yang lebih intensif di antara bahagian-bahagian tertentu otak sahaja terutamanya sereblum yang mengawal skil motor manusia. Lelaki juga mempunyai ‘sel-sel berhubung’ yang baik di antara otak hadapan dan belakang yang mana memberi kelebihan kepada mereka dari segi memproses maklumat dan menyelesaikan masalah yang kompleks. Ini bermakna lelaki lebih baik dari segi belajar berenang, meletak kereta dan sebagainya. Manakala wanita pula lebih cekap dalam mengingati wajah (contoh), bermakna hubungan antara bahagian-bahagian otak berbeza adalah lebih baik berbanding lelaki.

Diharap artikel pendek ini dapat membantu anda menukar persepsi anda terhadap pasangan masing-masing. Sesungguhnya kejadian Allah swt itu untuk kita saling melengkapi antara kelebihan dan kekurangan sesama kita.

Hidup ini singkat sahaja. Kenapa mahu beremeh dengan hal-hal sebegini. Jika di pejabat anda boleh berkompromi dengan majikan dan rakan…kenapa dengan pasangan sendiri anda mahu berkira-kira dengan setiap perkara.

RAIKAN PERBEZAAN!

Anda pasti hidup dengan gembira.

Sekian dahulu. Hingga lain entri.

Wassalam.