Merdeka Sang Suri

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang ke 56.

Para suri sekalian, merdekakah kita sebagai suri hati suami dan anak-anak yang dikasihi? Sebelum kita bercakap tentang konsep merdeka secara nasional, kita perlu langsaikan belenggu kemerdekaan lokal dahulu. Iaitu “memerdekakan diri sendiri”.

Kebanyakan kita para suri sedar atau tidak,  majoriti dari kita hidup untuk memuaskan hati orang lain. Orang lain? Ya, orang lain. Bukan diri sendiri, suami atau anak2. Tetapi orang lain. Siapa orang lain? Orang lain itu ialah mereka yang hadir dalam hidup kita seperti angin lalu. Mungkin dalam watak sebagai ipar duai, jiran tetangga,  rakan pejabat dsb. Tapi mereka inilah yang sangat kita risaukan dan ambil kira sekali secara sedar atau tidak sedar.

Di pejabat,  kenapa kita masih boleh berkompromi dengan rakan sejawat yang melakukan kesilapan terhadap kita? Masih boleh tersenyum. “Ah…dia bukan sengaja”. Kata hati kita. Tetapi di rumah, anak kecil seusia tadika tertumpah air pun kita bertukar watak menjadi sang singa. Oh merdekanya kita!

Di pejabat, si ketua aka bos mahukan sedulang hati nyamuk pun cuba kita usahakan tanpa rungutan. Kembali di rumah mengadap rutin harian sebagai isteri dan ibu, mulalah segala macam benda bersarang di hati memprotes. Keletihan. Kununnya suami dan anak-anak tak memahami. Sebenarnya kita sendiri tidak boleh berkompromi. Dengan anak dan suami “expectation” kita sangat tinggi hingga ke tahap sempurna. Semua tak kena, kita mudah terasa. Dengan orang lain kita boleh pejam mata. Merdekanya kita!

Tidak tahu arah tuju hidup. Hidup berajakan hutang. Jiran, rakan atau ipar duai berkereta besar,  kita pun hendak juga. Jiran,  rakan atau ipar duai berumah besar,  kita hendak juga. Jiran,  rakan atau ipar duai bergaya sakan dengan pakaian berjenama dan mahal,  kita hendak juga. Akhirnya kita kepenatan dijajah fikiran dan tindakan oleh orang luar tanpa kita sedar yang ianya sebenarnya di luar kemampuan kita.

Jika kita mampu memerdekakan diri kita dari penjajahan ini maka mudahlah kita untuk membawa negara keluarga kita ke mana saja dengan jaya dan gembira. InsyaAllah. Renung-renungkan. Tiada yang lebih penting dari menggembirakan keluarga sendiri.

Semoga ketemu lagi!