Merancang Sambil Melangkah

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

                         

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Kini saya bersiaran dari Hotel Grand Crystal, Alor Star yang menemukan saya dan suami dengan sepasang suami isteri muda yang telah merancang jauh masa depan mereka. Baru di awal fasa perkahwinan saya kira. Pasangan ini punya pekerjaan makan gaji yang agak selesa, kini keduanya sedang menyambung pengajian demi meningkatkan lagi modal sosial mereka. Dalam masa yang sama mereka berdua telah pun membeli rumah yang selesa di kampung halaman untuk disewakan. Kini mereka tinggal di rumah sendiri juga, rumah yang comel di Kuala Kumpur. Menurut sang suami isterinya kini juga berjinak-jinak melakukan bisnes sambilan. Mereka berdua telah pun meletakkan sasaran pada usia berapa mereka akan kembali ke kampung halaman tanpa sebarang hutang dan tanpa makan gaji.

Pasangan ini benar-benar merupakan refleksi saya dan suami. Suaminya orang Kedah dan isterinya orang Kelantan. Dikala orang lain sibuk membuat pembiayaan semula (refinance) rumah dan kereta, sibuk membuat pinjaman peribadi, sibuk menggores kad kredit untuk membesarkan rumah, membeli kereta mewah, bercuti ke luar negara dan berbagai lagi simbol palsu kejayaan/kekayaan kami berdua hanya diam memandang. Kami berdua terus kayuh keras mengikut peta jalan yang telah dilukis awalnya. InsyaAllah beberapa bulan lagi kami akan mencapai sasaran sebagaimana pasangan muda tadi. Rancang dan jalan. Rancang dan jalan. Rancang dan jalan. Sepanjang perjalanan kita boleh ubah, tukar arah dan sebagainya bergantung kepada cuaca. Tetapi jangan ditunggu sehingga semuanya bulat sempurna kerana kita tak tahu bilakah masanya bulat sempurna itu akan tiba. Mungkin bila tiba masanya ianya sudah terlewat.

Saya pernah menyentuh tentang simbol palsu kejayaan dalam salah satu artikel saya sebelum ini.
Tetapkan sasaran. Lupakan simbol palsu kejayaan dan kekayaan. Sampai satu tahap kita akan terasa sangat penat. Bekerja hanya untuk membayar hutang. Bekerja hanya untuk bank dan agensi kewangan. Dapat gaji tolak hutang. Dapat gaji tolak hutang. Itulah saja kitaran hidup kita. Sampai bercucu-cicit belum tentu kita mampu menoktahkannya.

Bagi suri sepenuh masa dan suri bermajikan yang ingin bersama saya ke destinasi yang sama boleh email kepada saya. Akademi Bekerja Di Rumah boleh memberi gerak mula.

Bersambung lagi!

Wassalam