Menjadi Manusia Yang Memberi Manfaat

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

image

Semalam sewaktu saya key-in senarai nama 30 keluarga asnaf bagi pihak Tuan Bob…saya lap ayaq mata saja kerjanya.
Teruk betul sentimentel saya ni.
Kawan-kawan sekolah gelar saya Neng Yatimah. Sabaq Mek Zurots!
Kalau masa zaman Intel dulu, buat program CSR santuni golongan kurang bernasib baik saja, mesti saya kena sound dengan Tuan Aznee Othman.
“Hang nak timba ka?”
Huh! Tak bagi can langsung.

Beberapa keluarga ibu tunggal dan ibu tinggal yang mempunyai anak dari 4 hingga ke 10 orang akan kita santuni.
Satu keluarga pula suaminya lumpuh dan si isteri menyara keluarga dengan menjual kuih, anak sulong baru berumur 16 tahun tidak tahan melihat kepayahan ibu, menggadaikan pelajarannya berhenti sekolah dan bekerja di kedai hardware.
Ada nenek berumur 70 tahun menyara 5 orang cucu yatim piatu yang kesemuanya masih bersekolah dengan berbekalkan bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan.
Allah!
Macam mana makan minum seharian dan belanja sekolah anak-anak?
Tak tercapai akal saya.
Saya dengan anak 4 orang pun sudah kalut.
Dan berbagai lagi cerita perit yang akan diziarah pada 26hb.Mac nanti.
Jika berkelapangan jemputlah bersama kami nanti. Saya mungkin akan join selepas zohor kerana ada urusan di sekolah anak di sebelah paginya.

JJMK @ Jalan2 Masuk Kampung Kuala Krai
===================================
●Tarikh: 26.3.2016, Sabtu
●Waktu berkumpul: 8.30 pagi
●Lokasi berkumpul : Masjid Jauhar depan Caltex Guchil, simpang 3 Kuala Krai-KB-G.Musang.

Saya ada berbual panjang dengan Kak Rosminah Mohd Yusoff waktu misi yang lepas sewaktu saya menjadi driver Kak Ros menjelajah Pantai Kundur dan Pantai Mek Mas.
Seronok bersembang dengan Kak Ros yang lemah lembut, banyak pengalaman tetapi tunduk sentiasa.

Saya simpulkan sahaja ya. Saya pun dah hampir lupa.

Apapun keadaan kita, jika AGAMA berada di nombor satu insyaAllah kesusahan itu dapat kita hadapi dengan baik. Dalam misi ziarah kami setiap bulan, selalunya dapat dilihat melalui rumah yang kemas dan bersih walau kehidupan dihimpit kewangan. Waima rumah uzur tetapi tetap ada sinar dan rasa tenang. Anak-anak yang menjadi dari segi akhlak dan pelajaran. Kita takkan boleh menipu hati dan naluri.

Didik anak-anak untuk menjadi MANUSIA YANG MEMBERI MANFAAT. Ibubapa zaman sekarang terlalu mengejar anak-anak berjaya di dalam peperiksaan. Ibubapa bangga dengan kejayaan anak-anak dalam peperiksaan, bangga anak-anak dengan jawatan besar, kaya dan berjaya di dunia. Tetapi itu semua hanya di waktu kita masih muda, masih ada kudrat. Rata-rata kes yang diziarah memang luluh hati dan sukar untuk diterima. Anak ramai tetapi di usia usang masing-masing punya sejuta alasan untuk mengelak. Di mana keputusan peperiksaan dan jawatan besar tadi. Akhirnya yang biasa-biasa sahaja juga yang menjadi tempat ibubapa usia usang ini berpaut.

Anak-anak juga dari kecil biar tahu ERTI KESUSAHAN dan BERPIJAK DI BUMI NYATA. Lagi parah apabila kita dari keluarga susah tetapi tidak sedar kita ini susah. Kadang-kadang susah untuk diterima akal, makan minum mak bapak dan adik-adik pun tidak lepas, kita pula masih ada hati mahu belajar di kolej swasta dan sebagainya. Banyak peluang dengan kos minima yang ada serta tidak membebankan ibu bapa ada tersedia. Kadang-kadang handphone anak-anak yang kita katakan asnaf itu lebih canggih dari kami para posmen.

Terima kasih Kak Ros sudi berkongsi dari hati. Masih jauh perjalanan saya ini. Anak-anak kecil lagi. Didoakan anak-anak saya dan kawan-kawan di sini menjadi insan yang memberi manfaat, bukan sekadar di atas kertas dan jawatan dunia. Amin Ya Rabbal A’lamin.

Azura Abdullah
Posmen Wargakilang

#catatanmekzurots
#jjmk
#jjmkkualakrai
#wargakilang
#telegram dari langit

Nota:
Gambar ialah arwah Pok Soh dan isteri Mak Doh sewaktu Misi Jalan2 Masuk Kampung Jeli Nov 2015. Al-Fatihah untuk arwah Pok Soh yang telah dijemput Ilahi .