Menghargai Ketika Memiliki

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Assalamualaikum dan Sejahtera,

image

Saya berada di Cameron Highland baru-baru ini mengikut suami atas urusan kerja.
Ini pula gambar yang sempat saya ambil selepas melihat anak-anak saya teruja mencubanya.
Di Ladang Strawberry Al-Manshoor jika tidak salah saya.

“Irfan, tengok ni…depa tak payah beli pun. Buat sendiri saja. Kita balik buat jom. Kita kena beli batang paip besi hat kuat”, kata Irsyad penuh semangat.

“Ibu, kami nak buat buleh dak? Simen tak dak lagi di rumah lagu mana nak buat. Abah wajib beli Abah”, Isyraf pula menambah.

Saya pun malu juga sebenarnya dengan pekerja ladang strawberry dan sayur ini.
Saya kira Mynmar atau Bangladesh berdasarkan uniform dalam gambar ini.
Kagum betul saya dengan semangat mereka untuk bersenam walau dalam keadaan serba kekurangan dan kekangan masa.

Saya ini ada segala macam alat di rumah; mesin treadmill, basikal senaman dan ab-trimmer. Irfan pula tambah lagi dengan dumbbell jenis kecil besar dan punching bag.
Dah boleh buat mini gym dah rumah saya.
Irfan rajin exercise tapi ibu Irfan ke laut.

Macam tu lah sikap kita manusia yang lemah ini.
APABILA KITA MEMILIKI, KITA TIDAK MENGHARGAI.

Kita ada ibu dan ayah yang tua di kampung.
Kita hanya telefon dan bertanya khabar apabila kita ada masa.
Tetapi dalam sejuta enam group whatsapp dan telegram yang kita jadi ahli kita sempat pula update dan bergurau senda setiap hari. Eh! Setiap masa.
Walaupun kita ini sudah beranak pinak dah ada rambut putih, kita tetap anak ibu dan ayah, mereka rindukan senda gurauan kita.

Dengan suami atau isteri waima adik beradik silap sedikit sahaja atau berbeza pendapat sahaja dah bertelagah.
Tetapi di pejabat dengan bukan darah daging kita, kita masih boleh pula beri senyuman lebar sampai ke telinga walau hati pedih.

Begitu juga dalam beragama, kita yang dilahirkan secara keturunan Islam ini amboi! makan angin sungguh.
Ada masa baru baca Al-Quran. Terjemahan dan tafsir tak payah cakap.
Tunggu tahun 2020 apabila ada masa lapang nanti kita baca.
Sayalah tu salah seorangnya.
Tetapi tengoklah…mereka yang mencari agama, apa yang mereka lakukan?
Mereka yang kembali ke fikrah ini rata-ratanya kenali Al-Quran dengan hati, bersungguh-sungguh.
Bukan seperti kita yang mewarisi agama ini.

Sekadar contoh dan saja nak kongsi.

Salah satu sebabnya kerana saya sedih mengenangkan baru-baru ini saya disapa seorang makcik tua yang cuba menjual sesikat pisang dan seplastik kecil buah belimbing buluh, RM5 sahaja mahunya untuk semua itu.
Untuk membeli makanan.

Macam tu lah kitakan.
Apabila kita memiliki, kita tidak menghargai.

Azura Abdullah
Nak Senaman, Lompat Bintanglah Dulu

#telegramdarilangit
#catatanmekzurots