Membudayakan Ilmu…Usah Berkira

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Antara intipati perbualan santai rakan-rakan pejabat yang sering kedengaran di kafeteria ialah dilema para ibubapa yang mana anak-anak mereka tidak minat membaca. Berdasarkan pengalaman saya sendiri bersama 3 orang putera dan seorang puteri, apa yang paling penting bagi kita sebagai ibubapa ialah perlu “walk the talk” atau “lakukan apa yang kita katakan” atau  “cakap serupa bikin”. Jika tidak apa yang kita cuba tanamkan dalam diri anak-anak hanya sia-sia atau sekadar leteran masuk telinga kiri dan keluar  telinga kanan.

Rutin biasa saya dan suami setelah gaji masuk di hujung bulan ialah kami akan membawa anak-anak membeli buku-buku kegemaran masing-masing di kedai buku. Kami berdua juga turut membeli bahan bacaan untuk kami. Kepimpinan melalui teladan bukan.

Jika kita benar-benar mengamati bahan bacaan pilihan anak-anak, kita dapat melihat setiap anak mempunyai kecenderungan atau minat yang berbeza. Semua ini sebenarnya banyak membantu kita sebagai ibubapa dalam berkomunikasi dengan anak-anak kerana kita tahu kecenderungan mereka. Irfan anak sulong saya contohnya selalunya memilih bahan bacaan dari genre peperangan Islam dan teknologi manakala anak ke dua saya Irdina meminati bahan bacaan berunsur motivasi dan ceria. Irsyad anak saya yang ke tiga selalunya memilih cerita kanak-kanak dari sejarah Islam dan Al-Quran. Manakala si kecil 6 tahun pada tahap ini gemarkan bahan bacaan interaktif yang membolehkannya membaca sambil menulis, melukis, mewarna dan melekat stiker.

Minat membaca perlu dipupuk sedari kecil dan yang paling penting ialah penglibatan kita sebagai individu yang paling rapat dengan anak-anak. Juga jangan sekali-kali berkira untuk membeli bahan bacaan untuk anak-anak. Para suri terutamanya, jika kita boleh membeli baju atau tudung setiap bulan, kenapa tidak buku?

Sekian catatan pengalaman saya dalam mengharungi kehidupan sebagai isteri, ibu, anak dan pekerja. Didoakan perkongsian ini membawa manfaat.

Hingga ketemu lagi!