Langit Tak Selalunya Cerah

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah sekali lagi saya diberi peluang menulis entri ke-2. Idea datang mencurah-curah di tepian Timah Tasoh Lake Resort. Saya datang ke sini melayan kehendak suami dan anak-anak yang merupakan kaki pancing. Di temani angin sepoi-sepoi bahasa dan sekali sekala lucu sekali melihat gelagat anak-anak yang sangat teruja melihat segerombolan kerbau bermandi-manda di tepi tasik. Indahnya alam ciptaan Yang Esa.


Tasik Timah Tasoh, Perlis


Kali ini saya ingin berkongsi serba sedikit pengalaman saya. Soalan pertama saya, bila waktu yang sesuai untuk memulakan perniagaan? Modal tak ada, asas perniagaan tak ada, ilmu bisnes tak ada, masih bekerja, masa tak ada, nak berniaga apa pun tak tahu. Seribu satu macam alasan yang kita boleh berikan. Alasan-alasan inilah jika kena caranya boleh ditukar kepada satu peluang yang maha  hebat. Jangan diambil mudah dan biarkan saja soalan ini berlalu ditelan masa tanpa apa-apa tindakan kerana masa takkan menunggu sesiapa dan akan terus berlalu. Lakukan sesuatu! Kita perlu bermula. From Zero to Hero!

Saya terfikir apalah nasib kami sekeluarga kini jika saya dan suami tidak terjebak dalam bisnes di kala kami masih bekerja dan diulit rasa selesa beberapa tahun dahulu. Pedapatan bulanan kami suami isteri sebagai jurutera lebih dari cukup. Hidup di utara tanahair, kami sekeluarga pula jenis yang hidup sederhana. Tetapi langit tak selalunya cerah. 2 tahun yang lepas suami saya diserang penyakit strok (angin ahmar), hilang upaya percakapan. Alhamdulillah setelah setahun berusaha, suami kembali bekerja seperti biasa. Kami sangkakan panas hingga ke petang. Baru sebulan suami kembali memikul tugas, sekali lagi suami saya diserang strok. Saya terpaksa berhempas pulas sekali lagi, bermula dari kosong untuk memulihkan suami. Penyakit strok bukanlah satu penyakit yang boleh sembuh sehari dua, seminggu dua. Dengan izin Allah swt dan usaha tanpa jemu dan penuh konsisten, suami kembali pulih. 


Doa dari anak-anak untuk abah. Terima kasih anak-anak ibu yang tak
pernah jemu menemani abah dan ibu dihospital.


Masih teringat saat-saat sukar kami sekeluarga berulang-alik ke hospital di Pulau Pinang dari Kedah. Bukan sesuatu yang mudah, belanja yang diperlukan bukannya sedikit. Dengan anak-anak kecil yang masih bersekolah, hanya Allah swt sahaja yang tahu betapa sukarnya saya waktu itu. Setelah berbincang dengan mendalam, kami suami isteri sepakat untuk sama-sama serius dan fokus dalam bisnes sambilan butik offline/online kami yang sedia ada. Tak sanggup lagi untuk saya korbankan kesihatan suami. Health is Wealth! Apalah guna wang ringgit tanpa kesihatan. Ianya perlu seiring. Suami saya kini tunjang utama perniagaan kami. Saya masih bekerja. Terima kasih pada bisnes sambilan! Bayangkan apa akan terjadi jika kami perlu bermula dari kosong di saat-saat sukar…dari 2 punca pendapatan kepada satu. Kini bisnes sambilan itulah penyelamat…pembuka jalan dikala kami hampir hilang arah.

Mesej saya di sini…bermulalah dengan sesuatu…berniagalah walau sekecil mana sekalipun. Kerana kita tak pernah tahu apa yang bakal menunggu kita di hadapan. Yang perlu kita tahu ialah…Kita Perlu Bersedia Setiap Masa Walau Apa Pun Yang Datang! Kerana semuanya bukan tentang diri kita sendiri sahaja. Ianya tentang kita sebagai nakhoda kapal yang membawa banyak lagi penumpang bersama-sama kita. Kita akan mengheret mereka bersama jika kita tidak bersedia.

Hingga ketemu lagi…saya akan sentuh serba sedikit tentang hobi pada entri akan datang.

Selamat berhari minggu!