Konvensyen Penulisan 2014 – Menukar Pengalaman Menjadi Perkataan

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Konvensyen Penulisan 2014

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah dengan izinNya dapat juga saya menghadiri Konvensyen Penulisan 2014. Saya pernah mendaftar untuk konvensyen sebelum ini ketika masih bekerja sebagai jurutera tetapi atas kekangan masa terpaksa saya batalkan. Kali ini saya tidak menoleh ke belakang lagi. Saya tidak mahu lagi peluang yang sememangnya sudah di depan mata saya kuis begitu sahaja.

konvensyen penulisan 2014

Terpandang sahaja pengumuman dari Tuan Zamri Mohamad, Pengasas Bersama Konvensyen Penulisan, terus saya periksa jadual kapal terbang dari Pengkalan Chepa ke Kuala Lumpur. Tak sampai hati saya mahu bermalam di sana. Beberapa bulan lepas baru sahaja saya tinggalkan anak-anak bersama suami selama seminggu. Terima kasih tak terhingga juga pada encik suami yang sangat memahami. Alhamdulillah berkat restu beliau dapat saya tempeh tiket penerbangan pagi dan pulangnya di sebelah malam. Tak perlu saya tinggalkan keluarga lama-lama. Ianya meletihkan tetapi sangat berbaloi bagi saya.

Konvensyen Penulisan 2014

Suasana di MOOT Court, AIKOL, UIA. Sampai lewat duduk di belakang lah jawabnya.

Pakcik pemandu teksi tekun mentelaah peta yang disediakan tim secretariat Konvensyen Penulisan 2014.

Pakcik pemandu teksi tekun mentelaah peta yang disediakan tim secretariat Konvensyen Penulisan 2014.

Saya mengambil penerbangan jam 8 pagi pada 21hb.Jun, 2014 dan tiba di KLIA2 pada jam 8.50 pagi. Sampai sahaja terus bergegas ke kaunter teksi berkupon. Aduh! hajat di hati tidak mahu berlengah, mahu segera sampai ke Moot Court, Kolej Undang-Undang Ahmad Ibrahim di Universiti Islam Antarabangsa. Pemandu teksi itu pemandu baru rupanya. Baru sebulan membawa teksi. UIA pun tak pernah didengarnya. Pemandu berbangsa Tionghua. Lambat lah saya jadinya. Dipandunya teksi perlahan-lahan sambil membuat panggilan ke sana sini minta pandu arah. Saya pula tidak biasa sampai ke UIA. Pukul 11.00 pagi baru saya menjejakkan kaki di UIA. Alhamdulillah. Sampai juga saya walaupun ada sedikit rasa kecewa kerana sudah terlepas beberapa sessi.

Konvensyen Penulisan 2014

Buku Karya Kita Hak Kita hasil tulisan Puan Nisah Haron yang wajib dimiliki semua penulis.

Sewaktu saya sampai Puan Nisah Haron seorang penulis yang merupakan bekas peguambela dan peguamcara berkongsi tentang kepentingan kita mengetahui tentang hak karya kita. Saya ada membeli buku ‘Hak Kita Karya Kita’ tulisan beliau. Saya masih membaca buku ini sekarang. Buku ini sangat berbaloi untuk dimiliki oleh semua penulis terutama penulis baru. Tidak kira apa pun medium tulisan anda samada buku, ebook, blog dan sebagainya bacalah buku ini untuk mengetahui hak kita keatas karya kita dari perspektif perundangan. Ianya sangat penting kerana karya kita adalah hak kita dan harta intelektual kita yang boleh diwarisi kepada anak cucu kita. Gaya penyampaian Puan Nisah Haron di atas pentas sangat bersahaja dan mudah difahami. Begitulah juga cara penyampaian beliau di dalam bukunya. Saya suka! Antara informasi yang sangat baru bagi saya ialah jika ada sebarang karya terbit selepas kematian penulis, maka tempoh hak cipta karya tersebut ialah 50 tahun melalui kalendar tahun yang berikutnya dan royalti yang diterima boleh diwarisi oleh anak cucu. Karya penulisan itu harta!

Konvensyen Penulisan 2014

Puan Sa’adiah dari Alaf 21 dan Tuan Haji Zakaria Sungib dari Galeri Ilmu sewaktu diskusi panel yang dikelolakan oleh Tuan Zamri Mohamad.

Puan Sa’adiah Mohamad dari Alaf 21 juga berkongsi ilmu mahal yang tak dapat kita kutip dari buku. Saya tersentuh dengan cara penyampaian dan intipati penyampaian beliau. Lemah lembut melekat di hati. Tidak perlukan vokal garang mahu menarik perhatian audien. Beliau yang bermula dari bawah sebagai pembaca pruf melihat pelbagai kerenah penulis dan berkongsi tips bagaimana mahu menghasilkan manuskrip yang bagus serta bagaimana menjadi penulis yang baik. Saya kongsikan di sini khasnya bagi rakan bakal penulis. Tips menjadi penulis yang baik yang ditekankan oleh Puan Sa’adiah ialah:

i.        Seorang penulis perlu memiliki kamus tak kira kamus dalam bentuk buku atau digital. Ini untuk membantu meminimakan kesilapan ejaan, masalah tatabahasa, tanda baca dan sebagainya.

     ii.        Mengkaji pasaran buku semasa dengan mengambil tahu dan mengambil kira cerita bagaimana yang dikehendaki pembaca/pembeli dan bukan sekadar menulis apa yang penulis mahu.

    iii.        Aktif dan rajin mempromosi di laman sosial – punya inisiatif mengambil peluang pesatnya tumpuan di laman social seperti Facebook, Blog, Twitter, Instagram dan sebagainya.  

    iv.        Penulis adalah rakan bisnes penerbit – saling memerlukan.

     v.        Penulis yang kreatif – ligat berfikir dan sentiasa belajar menambah ilmu penulisan.

   vi.        Penulis yang tidak lupa diri

   vii.        Penulis yang setia dan sanggup bersusah payah dengan penerbit.

Konvensyen Penulisan 2014

Cenderamata sempena Konvensyen Penulisan 2014

Jadual yang disusun sungguh padat tak disia-siakan walau seminit. Saya tidak rasa ralat membayar hampir RM500 untuk yuran konvensyen dan tiket penerbangan untuk hadir ke acara penuh bermakna ini. Sewaktu saya bekerja di syarikat multinasional dan menerajui jabatan pembangunan dan latihan berbagai program telah saya  atur bersama tim saya dan usah bermimpi mampu mendapat program seharian dengan panel hebat sebegini dengan harga kurang dari RM200. Jangankan mimpi, terfikir pun tidak!

Konvensyen Penulisan 2014

Buku-buku terbitan Jootawan Sdn.Bhd.

Konvensyen Penulisan 2014

Antara booth penerbit yang hadir untuk sessi match-making penulis vs penerbit.

Waktu rehat juga terisi sepenuhnya. Ruang legar Moot Court, AIKOL penuh dengan  gerai buku, cenderamata dan kaunter-kaunter penerbit buku yang datang. Para peserta yang punya manuskrip cadangan boleh terus sahaja membawa manuskrip mereka kepada penerbit-penerbit buku yang bersesuaian dengan niche penulisan mereka untuk dipertimbangkan samada sesuai atau tidak untuk diterbitkan. Di mana lagi mahu cari acara sebegini? Sudahlah barisan panel-panel hebat membarisi acara sepanjang hari, ditambah pula dengan penerbit-penerbit sudah menunggu di depan mata. Rugilah sesiapa yang hadir tetapi tidak mengambil peluang emas ini.

Antara panel yang menyentuh hati ialah Ustaz Pahrol Mohamad Juoi. Tutur katanya yang lembut setiap kali disulam dengan sebutan ‘Subhanallah’ memang melekat di minda. Banyak pesanan Ustaz yang dapat kita buat panduan untuk menulis dan juga panduan hidup. Antaranya:

  • ‘Tulisan yang lahir dari hati akan turun ke hati’.
  • ‘Hanya keyakinan membentuk keyakinan’.
  • ‘Tulisan itu bernyawa’.
  • ‘Tulisan yang baik datang dari fikiran yang baik’.
  • ‘Penulis ialah ahli fikir’.
  • ‘Penulis yang kurang membaca adalah penulis yang muflis’.
  • ‘Kita adalah apa yang kita baca’.
Konvensyen Penulisan 2014

Ustaz Pahrol Mohamad Juoi sedang beraksi dengan tenang sekali.

Ustaz Pahrol Mohamad Juoi juga menyentuh tentang penulis ini sebenarnya adalah pendakwah, pendidik dan pemimpin. Sebagai pendakwah, penulis perlu tahu satu demi satu, setiap inci perkara yang ditulis. Berjiwa dae’i dan sama-sama bermujahadah dan bukan memberi serta menjatuh hukum. Sebaliknya mendekati dan memahami, barulah kita sendiri sebagai penulis dapat difahami.  Penulis sebagai pendidik – Ustaz menekankan jiwa pendidik itu bukan mengajar tetapi mengajak melalui teladan danmemindahkan rasa untuk mudah kita mendekati dan didekati. Antara contoh yang diberikan Ustaz ialah bagaimana poster kempen menutup aurat yang rata-ratanya lebih kepada kempen menjatuh hukum. Dari aspek seorang pemimpin pula menurut Ustaz, penulis mampu mempengaruhi serta meyakinkan dan bukan sekadar memberi maklumat atau ilmu. Ini adalah kerana ‘penulis ialah pemimpin marhaen’. Tujuan hidup penulis juga perlu telus iaitu menjadi hamba Allah swt yang baik melalui penulisan. Tujuan hidup penulis juga tidak terbatas untuk diri snediri menjadi baik, tetapi penulis membantu orang lain menjadi hamba Allah swt menjadi baik. Hala tuju penulisan setiap penulis juga perlu berlandaskan akidah, syariah dan akhlak Islam. Menjadi penulis yang menyebabkan pembaca faham, ingat dan beramal.

Perkongsian dari Puan Norhayati Razali dari Kota Buku dan Puan Maslina Yusoff juga sangat menarik. Tetapi biarlah saya simpan sahaja. Jika ikutkan hati semuanya mahu saya rakamkan di sini. Tak tertaip. Jika ada lagi Konvensyen Penulisan di masa akan datang, saya pasti tidak akan lepaskan peluang. Saya cadangkan rakan-rakan yang ingin berjinak-jinak dalam bidang penulisan rajin-rajinlah melihat pengumuman dari Tuan Zamri Mohamad dan Puan Azzah Abdul Rahman.

Konvensyen Penulisan 2014

Dari kiri: Penulis, Jaja dan Puan Faeeza Fadel.

Sebelum saya mengundur diri, Konvensyen Penulisan 2014 juga menemukan saya dengan rakan maya ABS Puan Faeeza Fadel dari Melaka dan juga rakan sekampung suami yang ada bau-bau bachang dengan suami yang keluarganya sudah lama berhijrah ke Kuala Lumpur. Kami duduk semeja waktu makan tengahari dan sambil kenal mengenal rupa-rupanya bersaudara. Hebat penangan Konvensyen Penulisan 2014. Ukhuwah ditaut erat. Namanya Jaja, Pensyarah Universiti Antarabangsa Inti di Nilai. Bersusah payah Jaja meredah kesesakan jalan raya menghantar saya ke KLIA2. Terima kasih Jaja! Terima kasih Konvensyen Penulisan 2014.

Salam kasih sayang dari saya.

Wassalam.