Kembali Bermula…Berblog

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah. Segala pujian bagi Allah swt, Tuhan Sekelian Alam. Selawat dan salam buat Rasul Junjungan Nabi Muhammad sallallahu ‘Alaihi Wassalam, keluarga dan sahabat baginda.

Salam perkenalan bagi yang belum pernah bersua muka dan berkenalan di alam maya ini. Saya Nor Azura Abdullah, kelahiran Kedah, bersuamikan orang Pulai Chondong, Kelantan. Mempunyai 4 cahaya mata hebat, 3 lelaki dan seorang perempuan. 


Jantung hati saya.


Kerjaya saya bermula di sebuah syarikat multinasional setelah saya tamat pengajian di Universiti Teknologi Malaysia dalam bidang Diploma Kejuruteraan Elektrik. Setelah beberapa tahun bekerja saya menerajui sekumpulan jurulatih teknikal dan memerlukan skil pengurusan. Saya kemudiannya menyambung pengajian secara sambilan dalam bidang pengurusan, Advanced Diploma in Business Administration untuk menambah ilmu pengurusan saya. Kemudiannya setelah membuka perniagaan sambilan, saya beralih arah di alam pekerjaan dengan menjadi “individual contributor” – saya kini Jurutera Alam Sekitar, Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan. Saya baru sahaja tamat pengajian secara hujung minggu dengan mengambil kursus Sijil Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan (Occupational Safety & Health) untuk menguatkan lagi asas kerjaya saya. Menuntut ilmu tiada noktahnya!

Ini merupakan entri pertama untuk saya kembali bermula di alam penulisan blog setelah sekian lama saya meninggalkan blog catatan harian saya yang lama iaitu www.comeybelako.blogspot.com. Saya telah tutup blog lama ini. Moga saya dapat beristiqamah dan terus menulis dengan penuh hemah.

Terima kasih kepada mentor saya Puan Masayu Ahmad, bekas wartawan dan penulis Karangkraf yang kini bekerja sepenuh masa dari rumah. Beliau punyai kuasa seperti magnet menarik magnet lain yang berlawanan kutub. Kami dari dua dunia berbeza. Puan Masayu dengan dunia penulisan tegarnya dan hebat. Manakala saya dengan dunia teknikal di syarikat multinasional dan dalam masa yang sama punyai bisnes online dan offline. Moga kombinasi perkongsian ilmu dan pengalaman berbeza ini memberi manfaat kepada semua.

Bukan lah mudah melayari bahtera pekerjaan dan dalam masa yang sama punyai bisnes. Tambahan lagi bagi wanita para isteri dan ibu. Sememangnya bukan mudah tetapi tidak mustahil.

InsyaAllah. Saya akan berkongsi pada entri seterusnya. Nantikan!

Wassalam dan moga terus ceria.