Kasihnya Ibu

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Kasih Ibu

Mak dan Abah dah nak balik malam ni. Sekejap sahaja 1 minggu. Malam ni drama airmata oleh cucu-cucu Mak Tok dan Tok Ayah pasti akan berulang lagi di stesen bas Tanah Merah.

Kalau boleh nak saja suruh Mak dan Abah tinggal dengan kami di sini. Tetapi orang tua manakan mahu. Teringat rumah, kambing, ayam dan sayur-sayuran yang ditanam di belakang rumah di kampung.

Baru-baru ini kami menerima kunjungan dari rakan tinggal di Kuala Lumpur. Beliau tidak habis-habis berpesan jangan berkira masa yang ada dengan ibubapa ketika mereka masih hidup.

Rajin-rajin telefon dan berbual.

Rajin-rajin balik kampung dan berbual.

Ibubapa bukan mahu wang ringgit kita, hanya mahu masa bersama kita.

Itu sahaja, ambil sedikit dari masa kita bermain facebook, whatsapp dan telegram dengan segala macam group yang kita ada.

Takkan tak boleh?

Takkan group-group tu lebih penting dari ibubapa kita yang besarkan kita dari tapak kaki sebesar ibu jari.

Dang! Kena batang hidung sendiri.

Allah swt benar-benar menghantar rakan saya ini sebagai loceng amaran.

Beliau menyambung cerita lagi…

Sewaktu arwah bondanya masih hidup beliau rajin telefon dan bersembang dengan maknya di kampung. Beliau jugalah tukang topup kredit handphone. Tetapi yang hairannya sekejap saja habis. Apalah yang mak dok buat dengan topup ni.

Hari yang sangat ditakuti pun tiba, bonda beliau dijemput Ilahi. MasyaAllah, ramai sungguh orang datang menziarah jenazah mak. Siapa mereka ini?

“Makcik sedara mak k?

“Makcik sedara mak k?

“Makcik sedara mak k?

Jenuh diputar soalan tersebut kepada yang hadir. Rata-rata wajah yang tidak beliau kenali hanya berstatus kenalan mak beliau sahaja.

“Mak kamulah tempat kami berkongsi cerita, meluah rasa. Anak-anak kami sibuk dengan kerja. Mak kamulah yang akan telefon kami semula. Sedekah untuk kami dengan cara tersendiri kerana kami bukan berduit sangat nak topup banyak-banyak.”

Rakan saya ini bercerita dalam nada menahan sebak.

Tambah beliau lagi, sewaktu arwah Mak beliau masih hidup beliau pernah bertanya kenapa Mak tidak mahu duduk dengan anak-anak? Anak-anak tinggal jauh belaka, kerja, nak balik kerap-kerap pun susah nak dapat cuti.

“Mak tak mahu anak-anak Mak dapat dosa jika Mak tinggal dengan anak-anak dan anak-anak berkecil hati dengan Mak. Mak takut anak-anak tak bau syurga.”

Sedih sungguh beliau apabila mendengar jawapan arwah Maknya. Sejauh itu kasih seorang mak pada anak.

Sekadar berkongsi.

Wassalam.

Azura Abdullah
Anak Mak dan Abah