Jalan-Jalan Masuk Kampung Kuala Krai 19 Jan, 2014 – Moh Kito Pahlawan Merah!

Teks: Azura Abdullah
Sumber Teks: Tuan Burhanuldin Mohamad (Ketua NGO Wargakilang Chapter Kelantan) & www.mysusis.com
Sumber Foto: Tuan Burhanuldin Mohamad (Ketua NGO Wargakilang Chapter Kelantan)

salam maulidur rasul

Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, Nabi dan Rasul utusan akhir zaman. Sedikit refleksi menambah kecintaan kita kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, Nabi dan Rasul utusan akhir zaman adalah dengan meneladani akhlak Nabi Muhammad SAW itu sendiri. Apakah sifat-sifat yang dimiliki baginda?

1. Siddiq, yang bererti jujur.Nabi dan rasul selalu jujur dalam perkataan dan perilakunya dan mustahil akan berbuat yang sebaliknya, yakni berdusta, munafik, dan yang sewaktu dengannya. Meneladani Nabi Muhammad Saw dalam Kehidupan Sehari-hari .
2. Amanah, yang bererti dapat dipercayai dalam kata dan perbuatannya. Nabi dan Rasul selalu amanah dalam segala tindakannya, seperti menghakimi, memutuskan perkara, menerima dan menyampaikan wahyu, serta mustahil akan berperilaku yang sebaliknya.
3. Tabligh, yang bererti menyampaikan. Nabi dan rasul selalu menyampaikan apa saja yang diterimanya dari Allah (wahyu) kepada umat manusia dan mustahil Nabi dan Rasul menyembunyikan wahyu yang diterimanya.
4. Fathanah, yang bererti cerdas atau pandai. Semua Nabi dan Rasul cerdas dan selalu mampu berfikir jernih sehingga dapat mengatasi semua permasalahan yang dihadapinya. Tidak ada satu pun Nabi dan Rasul yang bodoh, mengingat tugasnya yang begitu berat dan penuh tentangan.

Di samping empat sifat di atas, Nabi dan Rasul tidak pernah berbuat dosa atau maksiat kepada Allah swt (ma’sum). Sebagai manusia, boleh saja Nabi berbuat salah dan lupa, namun lupa dan kesalahannya selalu mendapat teguran dari Allah swt sehingga akhirnya dapat berjalan sesuai dengan kehendak Allah swt. Di samping memiliki sifat-sifat seperti di atas, Nabi Muhammad Saw  juga dikenali dengan sebutan Al-Amin, yang bererti selalu dapat dipercayai. Gelaran ini diperolehi Nabi Muhammad SAW sejak masih usia belia.

Moga peringatan tentang 4 sifat baginda tadi dapat mengingatkan kita sejauh mana pembawakan diri kita selama bertapak di bumi Allah swt ini.

Kelangsungan dari meneladani sifat-sifat terpuji baginda tadi, saya ingin mewar-warkan di sini tentang program Jalan-Jalan Masuk Kampung Anjuran NGO Wargakilang pada 19hb Januari, 2014 untuk menyantuni masyarakat Daerah Kuala Krai yang memerlukan perhatian kita yang diberi lebihan rezeki olehNya. Berkongsi kita bersama mereka walaupun hanya dengan secubit beras. Terutamanya bagi Pahlawan Merah. Itu sudah mampu memberi senyuman kepada mereka pastinya. Ditambah lagi di musim tengkujuh begini. Mencabar sekali menjemput rezeki bagi mereka.

Agenda Jalan-Jalan Masuk Kampung Kuala Krai 19 Jan, 2014 – Moh Kite Pahlawan Merah!:

  • 8am – 9am : Berkumpul di Masjid Jauhar, Simpang 3 Kuala Krai-Kota Bharu-Gua Musang
  • 4.30pm      : Bersurai
  • Nota:
    1. sumbangan barang makanan, keperluan harian dewasa & kanak-kanak (diapers etc), alat tulis (beg sekolah, pensil etc), mainan boleh di bawa pada 19hb Januari, 2014.
    2. Bagi yang tidak dapat hadir tetapi ingin menyumbang boleh hubungi saya.

Berikut saya kongsikan sedikit coretan dari Ketua Chapter Kelantan NGO Wargakilang, Tuan Burhanuldin Mohamad mengenai keluarga-keluarga yag bakal kita santuni. Perkongsian ini adalah secara rawak dan tidak mengikut turutan agenda keluarga mana satu yang kita akan santuni dahulu dan kemudian nantinya. Juga pada 19hb Januari nanti agihan sumbangan akan dibuat kepada 30 keluarga. Saya hanya dapat berkongsi beberapa sahaja di sini. Mahunya 30 mukasurat jika saya tulis untuk semua keluarga ;) .

Keluarga #1:

 

keluarga 1

En Mahadi, 57 tahun mengidap stroke, sakit jantung dan lelah manakala isterinya sakit kencing manis dgn sebahagian kaki telah dipotong. Kedua-duanya tidak mampu lagi bekerja. Hidup dalam serba kekurangan dgn bergantung semata-mata atas bantuan JKM sebanyak RM400 sebulan. Apa yg mengagumkan saya, anak-anak mereka seramai 6 orang kesemuanya cemerlang dalam pelajaran hasil kesedaran yg tinggi akan pentingnya tahap pendidikan.

Anak pertama baru tamat ijazah Business IT dari Kolej Politek Mara, sedang mencari kerja.
Anak ke-2 baru tamat diploma Kejuruteraan Awam dari Uitm Arau, juga sedang mencari kerja.
Anak ke-3 di tahun 2 Diploma Ukur Bangunan di Uitm Seri Iskandar.
Anak ke-4 tingkatan 5 di SMK Mengkebang, Kuala Krai.
Anak ke-5 tingkatan 2 Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya.
Anak ke-6 darjah 4 di SK Kampung Tengah, Kuala Krai.

Selain dari bantuan PTPTN, sebarang keperluan kewangan tambahan di tampung dgn wang JKM RM400 itulah, juga dengan sedikit sebanyak bantuan jiran-jiran sekampung. Saya tak pasti bagaimana mereka berjimat cermat selama ini dalam keadaan ekonomi sekarang seperti yg kita semua tahu.

Keluarga #2:

*Tiada Gambar*

Kisah seorang anak sulung dari 8 beradik, anak penoreh yg sehingga ke hari ni (tingkatan 5-2014) belum mengambil sijil PMR dan SMU hanya kerana tidak menjelaskan beberapa ratus ringgit yuran sekolah. UPSR 5A, PMR 4A,3B,2C dan SMU 9 mumtaz adalah sangat cemerlang bagi seorang anak penoreh miskin yg tinggal jauh di pendalaman. Saya juga dimaklumkan, ayahnya dari masa ke semasa berusaha membayar hutang itu secara berdikit-dikit sejak sekian lama dan setakat hari ni hutang yg berbaki hanya tinggal RM108. Ucapan terima kasih kpd guru-guru perihatin yg sudi memaklumkan keputusan secara lisan.

Selain dari itu, yuran tahun 2014 untuk pelajar ini dan 7 adiknya yg lain juga belum dibayar kerana hasil menoreh ayah mereka (dimusim hujan yg masih belum berakhir) hanya cukup untuk makan dan membeli sebahagian buku-buku tulis.

Keluarga #3:

keluarga 2

 

Cerita ibu tunggal…

“Apa punca pendapatan puan”
“Buat kueh, letak kat kedai-kedai kopi sekitar kampung ni”
“Berapa dapat untung sehari”
“Kalau habis, dapatlah 8-10 ringgit”
“Kenapa tak menoreh”
“Anak-anak takde orang nak jaga, yg sulung tu asma agak teruk, selalu kena ulang alik klinik, kalau ubat spital kerajaan macam tak berkesan tak tahu kenapa, kena ubat klinik jugak, baru ok”
“Keperluan sekolah anak-anak dah beli”
dia senyum ….”Beli dah buku-buku separuh, beli sikit-sikit lah, nanti ada duit boleh beli lagi”
“Beras ada?”
dia diam….”ada lagi sikit, boleh la untuk dua tiga kali masak buat kami 4 beranak”
“selepas dua tiga kali masak nanti, ada duit ke untuk beli beras lain”
“tunggu dapat duit kueh, boleh lah beli sikit-sikit, kami dah biasa macam tu”
“ok lah puan, hari ni saya cuma bawak kain baju, nanti sehari dua lagi saya datang bawak sedikit barang makanan dan pada 19hb nanti saya akan datang semula dgn kawan-kawan untuk bawakan bantuan lain…insyaAllah”

Keluarga #4:

keluarga 3

 

Pn Esah 44 tahun, yg mendiami kawasan setinggan bandar Kuala Krai. 3 anak di kolej, 7 anak di sek menengah dan sek rendah, sorang 2 tahun dan yg ke-12 coming soon….insyaallah anytime. Produktif sungguh, suami tukang rumah. Bila ditanya pasal belanja sekolah anak-anak, biasa jer, berjimat cermat, dahulukan mana yg patut…tapi alhamdulillah setakat ni belum pernah ‘putus’ makan untuk mereka sekeluarga…rezeki anak-anak…

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak membuka hati dan minda rakan-rakan pembaca di sini untuk sama-sama berkongsi rezeki dengan 30 keluarga kurang bernasib baik ini.

Hanya Allah swt yang dapat membalas jasa baik kalian semua para dermawan.

Wassalam.

Salam kasih sayang dari saya!