Ilmu Kemahiran Hidup

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah dan Carian Google

Ilmu tanpa amal, ibarat pohon tanpa buah.  Sia-sia bukan.

Ilmu tanpa amal, ibarat pohon tanpa buah. Sia-sia bukan.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

“Assalamualaikum Ibu! Assalamualaikum Abah! Mintak maaf Ibu! Mintak Maaf Abah! Babai Ibu! Babai Abah!”, itu lah skrip sama anak-anak saya setiap malam sebelum tidur. “Kenapa nak cakap tu kat mak abah kau?” . ” Esok pagi mana tau kita hidup ke tak. Aku takut aku mati dalam tidur je”, jawab Irsyad.

Tersentuh pula hati saya mendengar perbualan Irsyad dan sepupunya Firdaus baru-baru ini di rumah mertua di Kelantan. Skrip yang seakan-akan sama sewaktu saya kecil dengan mak saya. Dengan abah saya tak berani. Abah garang dulunya. Garang abah dicampur kelembutan mak lah yang buat saya punya skil kehidupan yang tinggi. Terima kasih mak dan abah!

Setiap helaian episod saya di waktu kecil dahulu bila disingkap kembali semuanya ada makna tersendiri. Ada ilmu yang mak dan abah terapkan sebenarnya dalam setiap langkah. Ibarat Dre-Parker yang pada mulanya memberontak tidak puas hati dengan cara Master Liu mengajarnya dalam Filem The Karate Kids. Muncung juga dulu saya bila perlu bangun awal pagi membantu mak siapkan kuih cara untuk abah letak di kedai-kedai makan nantinya. Muncung juga saya bila pergi mengaji kelas agama perlu bawa asikrim Malaysia, satay nangka dan sengkuang sapu rojak. Ustazah kelas agama pula tak sukakan saya dan adik sebab jualan kami laku keras berbanding jualan kacang dan keropoknya. Muncung juga saya bila balik kelas agama terus ke petak sawah tolong abah dan mak menyemai. Kalau tak ke sawah saya ke kebun sayur menyiram pokok. Sekali sekala lari juga saya pergi bermain dengan kawan-kawan. Muncung juga saya bila nak tengok televisyen mak akan longgokkan kain anak tudung – mak ambil upah jahit, saya kena tolong. Tapi saya seronok bila hari mak abah beri upah, budak kecil mana tak seronok dapat duit! Saya juga sangat seronok terutamanya bila jualan di kelas agama habis dan mak senyum terharu dan peluk kami di saat saya dan adik serahkan duit jualan. Kini anak-anak saya ibarat salinan fotokopi saya. Ada sahaja barang nak dijualnya pada kawan-kawan sekolah dan mengaji. Bekalan ke sekolah pun kadang-kadang saya perlu buat lebih sebab ada sahaja kawan-kawan mereka pesan. Tapi duitnya tak sampai ke ibu , masuk tabung sendiri ;) .

 

Anak-anak saya membuka meja jualan barang-barang lat tulis di depan rumah ;)

Anak-anak saya membuka meja jualan barang-barang alat tulis di depan rumah ;)

Alat tulis kegermaran anak kecil, Angry Bird

Alat tulis kegermaran anak kecil, Angry Bird

Ini semua ilmu kemahiran hidup yang tak dapat secara percuma dari buku. Saya praktikal dahulu di waktu kecil dan baru baca teorinya bila dah dewasa. Semua ilmu kemahiran hidup itu berjangkit pula sewaktu saya di universiti. Ada sahaja apa-apa acara universiti saya mengajak kawan-kawan menyewa tapak. Kami berjumpa pakcik pasar malam yang jual satay, kami jual di gerai yang kami sewa. Sewa tapak pun sebenarnya pakcik satay pasar malam yang bayarkan, saya dan kawan-kawan dapat komisen jualan. Modal kami hanya sorakan, “mai beli satay mai! mai beli satay cek mai!”.  Laku keras juga. Saya seronok lagi! Teringat mak dan abah waktu ini. Di tahun ke tiga universiti saya tak dapat tempat di hostel. Mana la nak cari duit lebih ni. Nak minta lebih pada mak dan abah tak tergamak saya. Saya bukan dari keluarga senang. Abah hanya ada sebuah motosikal usang sahaja waktu itu. Ilmu kemahiran hidup mak dan abah beri menjadi lagi. Saya dan kawan-kawan rumah sewa mendapat kontrak dari sebuah syarikat untuk memasukkan data. Kemudahan komputer semuanya dihantar ke rumah sewa kami. Seronoknya, lepaslah setakat nak bayar bil telefon, api dan air rumah sewa. Tak perlu ganggu mak dan abah. Hujung minggu pula dapat makan free sebabnya ada kawan serumah bekerja dengan syarikat katering, dapat makan nasi kenduri tiap-tiap minggu! Saya pula di hujung minggu bekerja di syarikat saham komoditi di Plaza Yow Chuan waktu itu. Lepas lah belanja makan-minum saya di rumah sewa waktu itu. Sedikit sebanyak dapatlah saya ringankan beban mak dan abah. Dapat juga saya kumpul wang poket sendiri.

Bila masuk saja alam pekerjaan saya sebagai jurutera saya masih seperti dulu, masih seperti anak kecil mak dan abah. Saya tak pandai duduk sahaja-sahaja begitu. Saya cepat bosan bila terlampau tenang.  Saya berniaga sambil bekerja. Waktu lapang saya buat barang kemas sendiri untuk anak dan diri saya. Saya pakai ke pejabat, ada rakan berminat, saya jual. Saya ada blog, saya kongsi hasil kerjatangan saya di blog, ada pembaca berminat, saya mula jual online. Itulah titik tolak saya mula serius dengan perniagaan online hingga saya membuka butik offline juga. Jadinya jangan dipandang remeh blog-blog yang anda baca sekali dua itu. Mereka sebenarnya sedang membina modal sosial dan membina kepercayaan. Ada pembaca setia. Bila kepercayaan terpateri, pembaca ini bakal menjadi pelanggan anda nantinya. Itu antara pengalaman saya sendiri.

Jika ada teori perniagaan setinggi Kinabalu pun tidak membawa makna jika kita hanya perap sahaja. Saya suka jeling-jeling, pandang-pandang, belek-belek dan kemudian cuba. Tak ada ruginya!

 

Bersambung lagi!