Hobi – Jangan DiPandang Sipi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Teks : Azura Abdullah
Foto : Azura Abdullah

Bertemu lagi. Sebagaimana yang dijanjikan pada entri sebelum ini saya ingin menyentuh serba sedikit tentang hobi.

Pada tahun 2004 saya bermula dengan hobi membuat barangan kemas dan tasbih dari kristal, mutiara dan manik untuk anak perempuan dan juga diri saya sendiri. Apabila rakan-rakan di pejabat melihat hasil kerjatangan saya ada yang minta saya hasilkan khas untuk mereka. Permintaan semakin bertambah dan saya mula bersemangat mendalami ilmu membuat barangan kemas. Saya boleh saja lupakan dan kekalkan ia sebagai hobi. Tetapi tidak untuk saya. Kebetulan saya mempunyai blog catatan harian dan pengalaman, maka setiap hasil kerjatangan saya terus saja saya kongsi di blog saya. Di situlah bermulanya permintaan secara maya. Saya semakin seronok. Seronok saya bukan kerana wang ringgit yang diperolehi tetapi kerana kepuasan dari titik peluh sendiri membuahkan hasil diluar jangkaan. Saya percaya itulah perasaan kebanyakan para usahawan dan kenapa mereka berbisnes. 


Hasil kerja amatur sewaktu mula-mula saya terlibat 
dalam handmade jewelries. Malas nak godek gambar-gambar 
lama. Ini sahaja yang ada di facebook ;)


Saya perlu berterima kasih pada mak dan abah. Sedari kecil di sekolah rendah saya telah didedahkan dengan bisnes. Saya bangun seawal jam 4 pagi membantu mak membuat kuih cara untuk abah hantar ke gerai di simpang kampung. Ianya tidak terhenti di situ sahaja. Balik dari sekolah saya terus bergegas membantu mak siapkan bekalan jualan buah nangka dicucuk lidi seperti satay, sengkuang disapu rojak ditabur kacang dan juga aiskrim malaysia pelbagai perisa diisi di dalam plastik panjang comel. Saya tolong mak jual sebelum masuk ke kelas KAFA petang. Saya hanya mengayuh basikal mini usang dengan adik perempuan saya membonceng di belakang dan bekalan jualan di bakul hadapan. Kayuhan 20 minit dari kampung ke masjid memberi pulangan lumayan juga untuk mak nantinya. Masih terbayang di ingatan ada seorang ustazah KAFA di situ tak begitu menyenangi saya dan adik, kononnya kami menyebabkan bisnes kacangnya terjejas. Terima kasih mak dan abah yang telah berjaya memupuk minat berniaga di dalam diri saya sewaktu masih rebung. Waktu itu memang terasa pahit dan perit, di kala kanak-kanak lain hanya tahu bersukaria saya sebaliknya. Tapi kini saya sangat bersyukur dapat merasai pengalaman tak ternilai itu dan saya sedikit-sedikit telah membudayakannya kepada anak-anak saya sendiri. Terima kasih mak! Terima kasih abah!


Mak dan Abah saya yang saya kasihi.


Jadi jika anda punyai hobi, jangan dipandang sebelah mata, jangan ingat tiada potensi. Peluang boleh dijana. Minat boleh dipupuk. Peluang takkan jatuh seketul di depan mata seperti tahi bintang. Minat takkan hadir sepintas lalu. Ianya boleh dibaja dan disiram untuk menzahirkan kecintaan terhadap sesuatu perkara. Sepertimana mak dan abah tanamkan dalam diri saya dahulunya…walaupun agak berat hati untuk membantu, tapi atas dasar tanggungjawab sebagai anak dan kakak sulong yang perlu meringankan beban keluarga, saya tekadkan juga. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Akhirnya minat berniaga itu dengan sendirinya berjaya dipupuk dalam diri saya.

Yang perlu kita lakukan ialah melihat sesuatu perkara diluar pandangan mata kasar. Lihatlah dengan mata hati walaupun hanya berlandaskan hobi. Anda akan kagum dengan kemampuan anda sendiri nantinya. PERCAYALAH!

Hingga ke temu lagi. Wassalam.