Sedut Ilmu : Kosongkan Gelas

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

 

kosongkan gelas

 

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Mahu berkongsi khabar gembira bersama pembaca di luar sana. Alhamdulillah minggu lepas tanpa disangka mendapat email menceriakan yang mana saya terpilih untuk menyertai satu program anjuran NGO antarabangsa Yayasan Cherie Blair iaitu “Women’s Mentoring Women in Business Programme” secara percuma selama setahun. Esok pagi saya akan ke Petaling Jaya menghadiri kursus selama seminggu dan kemudiannya disusuli mentoring secara online selama setahun. Semuanya ditanggung Yayasan Cherie Blair dan dikelolakan oleh Yayasan Pembangunan & Vokasional Wanita Malaysia.

Cherie Blair

Terima kasih Allah swt atas rezeki yang tak disangka-sangka dan melimpah ruah sejak bergelar Suri Bekerja Di Rumah (WAHM) ini. Rezeki bukan sahaja wang ringgit. Ilmu juga rezeki. Alhamdulillah. Nanti saya akan kongsikan dari masa ke semasa tentang program ini dengan pembaca sekalian. Mana tahu rezeki kalian pula.

Sesetengah pihak mungkin merasakan langkah saya menerima tawaran ini sebagai hanya membazir masa waima saya sendiri telah agak lama bermain dengan dunia niaga kecil-kecilan dan juga mengajar secara online. Itulah dia…ILMU itu hiasannya ADAB. Usah kita terjebak dalam RIAK ILMU. Setiap detik itu ada saja ilmu yang perlu dan boleh direbut tetapi pastinya bersyarat. Apakah syaratnya? Mudah sahaja – KOSONGKAN GELAS kita. Jika tidak sia-sia sahaja. Masuk mana-mana majlis ilmu, membaca apa sahaja yang boleh dijadikan ilmu, terlibat dengan perbincangan yang boleh dijadikan ilmu dengan gelas sedia penuh adalah misi sia-sia…air dituang tumpah begitu sahaja. Untuk menerima dan menyedut ilmu, langkah pertama ialah kita perlu re-set minda dan hati kita, kita perlu berlapang dada dan berfikiran terbuka. Jika awal-awal lagi sindrom riak ilmu telah ada, misi kita adalah misi sia-sia kerana kita hanya akan mahu mendengar, membaca atau berbincang tentang perkara yang kita suka sahaja. Sebenarnya awal-awal lagi kita sudah tutup pintu ilmu.

Cukup dulu. Didoakan analogi ringkas ini sedikit sebanyak membantu.

Doakan misi saya berjalan lancar. 5 hari perlu tinggalkan 3 putera dan 1 puteri saya di bawah jagaan suami yang amat memahami di Kelantan. Alhamdulillah.

Wassalam.