5 Pengajaran Dari Cerita Heart of Taiko

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Heart of Taiko

Minggu lepas saya berpeluang  menonton rancangan ‘Heart of Taiko’. Sebuah cerita hiburan yang kelihatan biasa-biasa sahaja pada permulaannya. Kebetulan saya sedang minum petang bersama keluarga waktu itu. Saya terdorong untuk menonton kerana melihat anak-anak saya begitu teruja.

Heart of Taiko_2

Cerita ini mengisahkan 3 remaja dari Malaysia yang datang ke Jepun dalam misi membuat persembahan alat muzik gendang Jepun yang dipanggil Taiko. Mereka bertiga yang tidak punya kemahiran bermain alat muzik ini hanya diberikan 3 hari untuk belajar dan seterusnya membuat persembahan di hadapan pelajar-pelajar dan profesional gendang Taiko. Ketiga-tiga mereka menghadiri kelas teori dan praktikal. Pada hari pertama guru mereka memberi beberapa buah majalah dan mengarahkan mereka membalut majalah tersebut dengan pita pelekat dengan kemas. Sekali sekala mereka diarahkan memukul majalah berbalut pita pelekat tersebut menggantikan gendang Taiko.

Heart of Taiko_3

Keesokan harinya guru mereka mengarahkan ketiga-tiga remaja tersebut membuat demonstrasi pukulan gendang. Setiap orang tidak dikecualikan. Guru mereka amat kecewa kerana persembahan mereka jauh dari apa yang beliau harapkan. Menitis airmata kekecewaan beliau. Kemudian beliau mengarahkan ketiga-tiga pelajar ini menunjukkan kepada beliau majalah berbalut pita pelekat yang diberi pada hari pertama kelas. Sekali lagi guru muda ini menyatakan kekecewaan beliau apabila melihatnya. Majalah berbalut pita pelekat itu langsung tidak terjejas. Kemudian dimintanya setiap pelajar tersebut meunjukkan tapak tangan masing-masing pula. Sekali lagi beliau menitis airmata. Kemudian guru ini berkata kepada mereka, “Bagaimana kamu boleh katakan yang kamu sudah cukup berusaha sedangkan tiada kesan langsung di majalah berbalut pita pelekat. Lihak tapak tangan kamu yang halus, saya jangkakan kamu datang dengan tapak tangan melecet tetapi tidak!”.

Heart of Taiko_1

Pada petang harinya pelajar-pelajar ini dibawa ke tepi pantai untuk berlatih. Tetapi mereka hanya dibenarkan membawa kayu pemukul. Kemudian mereka diarahkan memukul gendang sepenuh hati seolah-olah gendang Taiko berada di hadapan mereka. Beberapa ketika ada yang tewas kerana keletihan. Balik sahaja ke kelas guru mereka berkongsi maksud tersirat di sebalik latihan di tepi pantai tadi. Berlatih di tepian pantai dengan hanya berimaginasikan gendang Taiko di depan mata, ditambah pula dengan deruan angin yang kuat mengganggu stabiliti kaki mencengkam pasir ketika memukul gendang. Setelah mereka mendengar perkongsian dari guru mereka barulah mereka faham dan masing-masing menangis kerana sekali lagi mengecewakan guru mereka.

Heart of Taiko_4

Akhir sekali mereka dibawa menonton pertunjukan gendang Taiko oleh sekumpulan anak muda yang rata-ratanya muda dari mereka. Ketiga-tiga mereka sangat teruja melihat betapa bersemangatnya mereka ini bermain dengan penuh perasaan seolah-olah lupa mereka berada di dunia. Mereka memukul gendang Taiko dengan semangat berpasukan, penuh perasaan, dengan bahasa badan yang membuatkan kita bangkit semangat dan meremang bulu roma. Balik sahaja ke bilik mereka berlatih bersama-sama dengan semangat berpasukan, masing-masing membantu memberi pendapat dan memantau kualiti bunyi antara satu sama lain. Kali ini mereka berasa sangat puas dan yakin. Masing-masing kembali ke kamar tidur dengan senyuman dan penuh harapan agar persembahan esok paginya di hadapan pelajar-pelajar dan professional gendang Taiko berjalan lancer serta membanggakan guru mereka.

Heart of Taiko_5

5 pengajaran utama dari kisah ‘Heart of Taiko’ ini ialah:

  1. Kejayaan kita bergantung kepada imaginasi dan persepsi kita terhadap kemampuan diri kita sendiri. Seawal imaginasi dan persepsi kita sudah merasakan tidak boleh maka otak dan badan akan menerima arahan yang sama.
  2.  Belajar perlu berguru supaya ilmu yang kita dapat bukan sahaja ilmu secara teoritikal yang hanya menurut persepsi kita sahaja, tetapi kombinasi hebat ilmu teori, praktikal dan pengalaman guru yang terlebih dahulu melaluinya.
  3. Bergerak secara berpasukan dapat mempercepatkan proses pembelajaran dan seterusnya mencapai tangga kejayaan.
  4. Hanya usaha yang luar biasa dan konsisten dapat membawa hasil luar biasa.
  5. Lihat sesuatu perkara dengan mata hati apa pengajaran dan tujuan di sebaliknya, tiada perkara berlaku secara percuma.

Keesokan harinya, awal-awal pagi lagi mereka bertiga buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke auditorium tempat mereka bakal mencipta sejarah dan mengharumkan nama Malaysia. 3 hari sesi pembelajaran dan terus membuat persembahan gaya professional. Mereka berjaya melakukannya di hadapan ribuan penonton dan mendapat tepukan gemuruh. Kali ini guru mereka menitiskan airmata kegembiraan. Bangga dengan anak didiknya.

Didoakan perkongsian ini member inspirasi kepada pembaca sekelian.

Wassalam.