Dropship – Mulakan Bisnes Tanpa Risiko

Teks: Azura Abdullah 

Foto: Azura Abdullah 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
 
Hujung minggu yang lepas saya berpeluang pulang ke kampung halaman suami di Pulai Chondong, Kelantan. Seperti biasa kami sekeluarga akan bertolak lewat malam dan selalunya akan sampai awal pagi. Rutin biasa kami sekeluarga setiap kali menjejak bumi Kelantan pastinya sebuah gerai ringkas di Kok Lanas yang telah bersedia menanti pelanggan dengan pelbagai juadah sarapan pagi seawal jam 5.30 pagi. Ribuan kuih muih dan ratusan nasi bungkus tersusun kemas di atas meja yang panjangnya lebih kurang 18 kaki di gerai tersebut. Menariknya pemilik gerai tidak memasak sebarang juadah jualan tersebut sebaliknya semua dimasak dan dihantar oleh surirumah sekitar Kok Lanas. Pemilik gerai hanya berperanan sebagai hub menjual kuih muih/nasi bungkus dan mengambil komisen semata-mata. Kos yang perlu ditanggung oleh pemilik gerai ini sangat minimum iaitu bekalan elektirk, air dan plastik pembungkus kuih muih serta nasi sahaja. 
 
Sedikit matematik ringkas tentang pendapatan harian gerai tersebut. Saya jangkakan gerai tersebut menjual lebih dari 1 ribu biji kuih dan 500 bungkus pelbagai jenis nasi sepagian jualan kerana kadang-kadang jika saya lewat sampai masih ada para suri menghantar kuih dan nasi bungkus untuk dijual di situ, bermakna terdapat beberapa fasa penghantaran dan penjualan berlaku bermula jam 5.30 pagi hingga 11.30 pagi (6 jam jualan). Katakan komisen atas sebiji kuih adalah 15 sen sebiji dan nasi bungkus 50 sen sebiji. Bermakna komisen harian kedua-duanya ialah RM400 sehari didarab 5 hari seminggu dan 4 minggu sebulan; bermakna pemilik gerai ini menjana pendapatan paling kurang RM9,600 sebulan. 
 

Inilah yang dinamakan konsep DROPSHIP para suri sekalian, cumanya dalam kes ini ia diaplikasikan secara offline. Bagi kita para suri yang celik IT dan berminat berniaga secara online, ramai peniaga-peniaga di luar sana menawarkan khidmat dropship bagi produk keluaran mereka. Konsep dropship merupakan konsep win-win yang perlu para suri yang baru mula berjinak-jinak berniaga ambil peluang kerana anda tak perlu keluarkan modal, sekadar ayat-ayat pukau menarik pembaca menjadi pembeli. Segala urusan pembungkusan dan pos semuanya dilakukan pemilik produk dropship tersebut. 

 
Di Akademi Bekerja Di Rumah sendiri, pihak akademi memberi peluang ahli akademi yang tiada produk dengan menyediakan beberapa produk pilihan, produk sunnah, buku, pakej ebook, ruang periklanan. Juga peluang sebagai pembantu kelas di akademi bekerja di rumah.
 
Bagi yang berminat boleh hubungi saya.
 
Bersambung lagi!
 
Wassalam.