Berbeza Itu OK!: Datinglah Ibu!

Teks: Azura Abdullah
Foto: Carian Google
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
“Ibu pi la dating. Orang dok di rumah dengan adik-adik”, pantas saja Irfan anak sulong saya memberi cadangan di kala saya dan suami mengajak keluar makan malam. Ini sebenarnya cerita beberapa tahun lalu. “Jom lah keluar sama-sama”, saya memujuk. “Takpalah ibu. Kami nak bagi peluang ibu dengan abah berdua-duaan. Selalu dengan kami saja. Ibu pi la. Kami bagi ibu dan abah cuti malam ni. Ibu dengan abah pi dating ok”. Alahai anak! Tak terkata ibu dan abah. Menitis air mata tanpa saya sedar. Sampai begitu sekali prihatinnya anak-anak ibu dan abah. Luarannya lasak persis tak peduli apa-apa dan hanya tahu bersuka. “Sebenarnya orang nak ucap terima kasih kat ibu pasal tengahari tadi”. Saya membalas dengan senyuman.

Itulah anak anugerah Yang Maha Pengasih Dan Maha Penyayang. Bersih putih. Memerhati menyerap. Mendengar menyimpan.

Beberapa tahun yang lalu ketika Irfan masih di sekolah rendah ada satu ketika selama beberapa hari Irfan menjadi pendiam dan kurang ceria seperti selalu. Saya hanya memerhati. Tiba hari yang ke 3 saya menunggu Irfan di pagar sekolah selepas habis kelas kokurikulim, badminton atau catur saya kurang pasti. Kebiasaannya Irfan menaiki van ke rumah pengasuh lepas sekolah. Tetapi hari itu saya pulang kerja awal dan mengambil Irfan. Tersenyum dia bila nampak kelibat saya. Kami terus ke kereta. Saya kemudiannya membawa Irfan minum petang bersama-sama hanya berdua. Kami bercakap tentang hal-hal biasa ibu dan anak. Akhirnya perlahan-lahan Irfan ceritakan kepada saya kenapa dia agak pendiam kebelakangan ini tanpa saya pinta. Memang itulah tujuan saya sebenarnya. Alhamdulillah berjaya juga saya buatkan Irfan bercerita dengan sendirinya tanpa memaksa.
Rupa-rupanya ada seorang pelajar nakal cuba kenakan anak istimewa saya. Irfan dilahirkan istimewa bertangan hanya paras siku di sebelah kiri. Ada satu hari di dalam van ada satu pelajar yang duduk di belakang Irfan mengambil beg plastik dan menutup seluruh kepala Irfan dengan beg plastik tersebut.  Kawan-kawan tidak berani membantu kerana pelajar tersebut terkenal dengan kenakalannya. Irfan hampir lemas di dalam beg plastik tersebut. Sepantas kilat Irfan mencapai kepala tali pinggang keledar dan memukul tangan yang mencekup kepalanya dengan beg plastik tersebut dengan sekuat hati. Luka jugalah pelajar tersebut. Barulah pelajar tersebut lepaskan dan pemandu van pun memberhentikan van untuk melihat apa yang berlaku.
Irfan memberitahu saya yang bapa pelajar tersebut telah pergi ke kelas mereka di sekolah dan memarahinya di depan pelajar lain. Saya ucapkan terima kasih pada Irfan kerana percayakan saya ibunya dan berjanji akan membantu. Rupanya Irfan takut sekali untuk ke sekolah selepas dimarahi bapa pelajar tersebut. Selesai saja minum petang Irfan kemudiannya tersenyum puas dan kelihatan semua rasa bimbang lenyap begitu sahaja dari dalam dirinya. Malamnya saya cuba mendapatkan cerita sebenar dari pemandu van. Bukan saya tidak percayakan Irfan tetapi adalah penting untuk saya mendapatkan gambaran dari pihak ke tiga. Alhamdulillah ceritanya sepadan.
Keesokan harinya saya bertemu pelajar tersebut dan bapanya selepas sekolah. Saya bawa sekali Irfan bersama. Pertamanya saya mohon maaf kerana campur tangan. Kemudiannya saya kenalkan Irfan kepada bapa pelajar tersebut.  Kemudiannya di hadapan bapa pelajar tersebut saya mohon pelajar tersebut ceritakan apa sebenarnya yang berlaku. Alhamdulillah.  Cerita yang sebelum ini penuh dengan serbuk perasa telah berbalik ke resepi asal original. Bapa pelajar tersebut juga memohon maaf bagi pihak anaknya dan amat terkejut sekali melihat Irfan sebenarnya kanak-kanak istimewa. Sewaktu bapa pelajar tersebut memarahi Irfan di dalam kelas Irfan sedang duduk di meja dan tidak kelihatan apa-apa yang berbeza dengan pelajar-pelajar lain. Selepas kejadian tersebut pelajar nakal tersebut tidak lagi mengganggu Irfan.

Apa yang paling menyentuh hati saya ialah sewaktu dalam kereta selepas berjumpa pelajar tersebut dan bapanya. “Ibu, ibu memang macam superman lah! Ibu selamatkan orang. Terima kasih Ibu!”…kata-kata manis ini melekat dalam hati saya hingga sekarang. Sebagai wanita berjawatan ibu, usah dipandang sipi perilaku berbeza anak-anak. Mungkin ada yang tidak kena yang sebenarnya anak-anak perlukan perhatian dan pertolongan kita tetapi mereka enggan menyusahkan atau merisaukan kita. Luangkan sedikit masa. Sedikit masa yang memberi banyak impak dan manfaatnya. Percayalah!

Didoakan perkongsian ini memberi manfaatnya.

Saya juga berimpian menulis satu blog khas tentang membesarkan anak-anak istimewa dan cabarannya. Moga diberi kelapangan nantinya. InsyaAllah.

Wassalam.