Darah Saya Merah

Apabila saya lihat kekalutan perihal Dr.Zakir Naik teringat saya pada sahabat baik saya ini.

Beliau seorang penganut Kristian yang patuh, ibunya berbangsa Tionghua, bapanya berketurunan India.
Ada juga rakan-rakan India yang lain pada mulanya menggelarnya India sombong sebab tak cakap Tamil langsung di pejabat.
Sebenarnya bukan tak nak cakap Tamil, tapi tak tahu cakap Tamil pun. Muka saja comey macam heroin Tamil.
Kawan saya ini hanya pandai bertutur dalam Bahasa Cina Hokkien.
Mandarin pun rasanya Irfan lagi terer….kekeke. Jangan marah kawan!

Kami berdua selalu berkongsi kisah suka duka, keluar makan tengahari bersama jika ada kelapangan.
Berebut nak belanja sesama sendiri.
Kalau stress apa-apa hal boleh bermesej berjela-jela melalui whatsapp.

Paling saya sedih dan terharu ketika suami saya terlantar di hospital (stroke) dan saya terbeban dengan pelbagai tanggungjawab di pejabat dan di rumah, saya terima mesej di luar jangkaan dari beliau.
Sahabat saya ini telah selesai aturkan upacara sembahyang dan doa untuk suami saya dengan Paderi Besar Gereja St.Anne Bukit Mertajam.
Saya menangis membacanya.
Itu cara beliau tunjukkan rasa kasih beliau dan ambil berat sebagai seorang sahabat terhadap saya.

Cikgu-cikgu berbangsa Tionghua dari sekolah anak-anak saya pula ketika itu (anak-anak di SJKC) membantu hantarkan anak-anak saya ke rumah pengasuh selepas waktu persekolahan.
Kadang-kadang anak-anak saya menumpang di rumah mereka hingga malam.
Cikgu-cikgu ini sampai tahap bawa anak-anak saya ke pasaraya dan beli pinggan mangkuk serta periuk khas untuk kegunaan anak-anak saya supaya anak-anak saya boleh makan dan minum dengan yakin di rumah mereka, tanpa saya minta.
Terkejut saya apabila anak-anak bercerita.
Periuk tu untuk masak maggi.

Rakan-rakan saya dari pelbagai bangsa dan agama memberi sokongan tidak berbelah bagi di saat sukar saya.
Tidak kurang Islam saya dan anak-anak dengan apa yang mereka lakukan sebagai tanda sokongan terhadap kami sekeluarga.

Islam itu indah.
Islam itu ukhuwah.

Polemik keagamaan yang timbul kebiasaannya datang dari mereka yang mempunyai kepentingan @ ‘conflict of interest’ dalam setiap gerak geri mereka.
Dan kita yang jenis komen dan taip tak hubungkan jari dengan otak serta hati ini memang mudahlah termakan provokasi.
Lompat bintanglah golongan yang mahu mengambil kesempatan dan mahu menangguk di air yang keruh itu.

Rakyat biasa ini waima bangsa atau agama apa pun majoritinya  masih waras dalam mempraktikkan agama.
Saling hormat menghormati.
Tiada agama yang mengajar penganutnya kepada keburukan.

Semoga kes Dr.Zakir Naik ini dapat ditangani dengan baik bagai menarik rambut dari dalam tepung.

Azura Abdullah
Darah Saya Berwarna Merah

#telegramdarilangit
#catatanmekzurots