Cerita Ubat Stapler

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Saya sekeluarga singgah di kedai alat tulis tadi atas permintaan anak ke 3 saya Irsyad yang mahu membeli alatulis yang sudah rosak. Kemudiannya datang si kecil Isyraf, 6 tahun meminta izin mahu membeli ubat stapler (saya tak begitu pasti betulkah ‘ubat stapler’ dalam bahasa malaysia ;) ). Saya bertanya Isyraf, ” adik nak buat apa dengan ubat stapler? Kan adik tak guna stapler “. Jawab Isyraf, ” tadi kat sekolah Cikgu tak boleh stapler kertas sebab ubat stapler dah habis. Nak belikan untuk cikgu. Buleh dak ibu?”. Allahurabbi. Malunya saya. Hampir saya berkata tidak tadi kerana yang saya fikirkan Isyraf hanya nak membeli untuk suka-suka. Tulusnya hati anak-anak. Apa yang kita lihat tak seperti apa yang kita fikirkan! – masih ingat tak coretan saya tentang tajuk ini?

Setelah saya memberi keizinan, Isyraf terus menyambar 2 kotak comel ubat stapler dan membayarnya. Baki duit dikembalikan kepada saya. Dang! sekali lagi saya malu sendiri, tiada benda lain yang dibelinya, hanya ubat stapler itu sahaja. Sekali lagi saya berprasangka negatif pada anak saya sendiri. Saya awal-awal lagi memberi RM10.00 kerana pada firasat saya Isyraf akan mengambil benda-benda lain lagi seperti gula-gula atau mainan.

Masuk sahaja dalam kereta saya bertanya, ” Kenapa adik nak beli untuk cikgu? Cikgu boleh beli sendiri kan?”. Jawab Isyraf, ” Hari tu ibu beli teh halia kat maktok masa maktok demam. Maktok pun buleh pi beli sendiri. Ibu beli jugak. Kami tengok maktok senyum masa kami bagi. Kami pun nak beli jugak kat cikgu. Nak bagi cikgu senyum”.

Ah! sekali lagi saya tersentak. Bagai dipukul-pukul. Setiap gerak geri kita sebagai ibu sebenarnya penuh makna untuk anak-anak. Takut pun ada bila difikirkan kerana kita manusia bergelar wanita kebiasaannya dikawal perasaan lebih dari akal. Letih, tekanan kerja dan sebagainya. Tambah lagi ibu bekerja, berbisnes macam saya. Nauzubillah. Didoakan agar kita semua para suri berjawatan IBU akan terus beristiqomah dalam menjadi contoh terbaik buat anak-anak selama 24 jam x 7 hari, tanpa cuti.

Sekian coretan pendek saya. Didoakan ada manfaatnya.

Wassalam.