Cerita Pengajaran : Pisang Benci

Teks      : Azura Abdullah
Sumber : Facebook
Foto       : Carian Google



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera


Hari ini saya terbaca satu cerita yang sangat menarik hati saya di facebook. Penuh dengan pengajaran. Walaubagaimanapun saya tidak tahu siapa empunya cerita ini kerana hanya di ‘copy paste’ oleh kawan-kawan melalui facebook. Ianya sangat terkesan. Saya print dan berikan pada anak-anak saya dan mereka sangat tertarik dengan cerita tersebut. Setiap kali bergaduh mereka akan tiba-tiba tersenyum dan berkata “pisang benci!pisang benci!”. Masing-masing faham maksud tersirat dari cerita tersebut. Kongsilah dengan anak-anak jika punya kelapangan.


Ini ceritanya:


Maryam, guru kelas Tadika menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama
orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu 
dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci. Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastic berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci.

“Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama 
seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya” beritahu Cikgu Maryam. Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg.Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk . Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan. Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Maryam sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa.

“Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?” 
tanya Cikgu Maryam. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk.

“Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. 
 Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita  pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu,  cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu” beritahu Cikgu Maryam.



Terima kasih pada tuan empunya cerita. Mohon maaf kerana saya tidak dapat memohon izin sebelum berkongsi di tapak saya ini. Didoakan Allah swt memberkati anda.



Wassalam.