Cerita Batu Maung, Pulau Pinang

Teks: Azura Abdullah
Foto: Saudara Wahab Isa, NGO WargaKilang
Sumber: Saudara Wahab Isa, NGO WargaKilang



Anak istimewa keluarga malang tersebut.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Saya tidak boleh menahan diri dari tidak menulis dan mewar-warkan tentang Cerita Batu Maung, Pulau Pinang ini. Sangat menyentuh hati dengan keadaan keluarga malang yang tinggal di flat Batu Maung, Pulau Pinang. Lagi malang bila anak istimewa (OKU) mereka pula dicabul/diambil kesempatan oleh lelaki berumur 53 tahun hingga mengalami kecederaan serius. Beliau kini beransur-ansur pulih. Allahurabbi. Pedihnya sisi keibuan saya yang juga punya anak perempuan yang lebih kurang sebaya mendengar cerita malang yang dua tiga kali malang ini. Saya doakan kejadian ini tidak berulang lagi. Ya Allah Ya Rabbi, lindungilah anak-anak kami!

Bantuan segera amat diperlukan bagi keluarga ini. Bantuan dalam bentuk wang ringgit bagi tujuan penyambungan semula talian elektrik dan air dengan kos RM800. Juga bantuan makanan keperluan harian untuk mereka sekeluarga amat dialu-alukan. Keluarga ini terdiri dari 5 anggota keluarga; si bapa berumur 73 tahun, ibu 32 tahun, anak perempuan OKU 10 tahun dan 2 anak lelaki 7 tahun dan 1 tahun setengah.

Si bapa bekerja dengan warga bangladesh menjual pakaian terpakai di Rope Walk, Pulau Pinang. Pendapatan tak menentu sekitar RM20 – RM30 sehari, gaji harian. Ada kerja ada gaji, tiada kerja tiada gaji. Si ibu adalah surirumah sepenuh masa. Anak bongsu masih memerlukan susu formula dan lampin pakai buang. Apalah sangat RM20-RM30 sehari itu…tak boleh saya banyangkan. Menetap di Pulau Pinang pula. Kosnya berlipat ganda dari saya yang di Kedah ini. Saya kalau ke kedai, kurang-kurang perlu ada RM50 di tangan. Itu pun apalah sangat yang kita dapat dengan RM50.

Maklumat terkini yang saya dapat dari sahabat saya Saudara Ir. Wahab Isa, setelah kita selesai dengan bantuan kecemasan ini, pihak NGO WargaKilang akan teruskan fasa kedua iaitu Projek 7pound yang merupakan konsep memberi joran bagi meningkatkan taraf hidup dan berdikari mengikut kepakaran yang dimiliki. Untuk suaminya akan disediakan kelengkapan kenderaan untuk menjual barangan bundle termasuklah modal perniagaan. Manakala isterinya akan diberikan gerai dan kelengkapan menjual pulut udang. Si suami akan berniaga dari pagi hingga pukul 2 petang dan dari pukul 3 petang hingga 7malam giliran si isteri pula berniaga. Jadi dapatlah mereka sama-sama memikul tugas mencari rezeki tanpa mengabaikan penjagaan anak-anak. Mereka dapat bergilir-gilir. Kita tidak mahu masalah wang ringgit selesai tetapi masalah penjagaan anak-anak terabai hingga berulangnya kes anak OKU mereka. Nauzubillah.

Akhir sekali, dengan rendah diri saya mohon rakan-rakan di luar sana untuk menghulur sekadar termampu. Paling kurang RM10 pun tidak mengapa. Bayangkan jika 100 orang menghulur RM10, kita sudah mampu memberi sinar cahaya dan air bersih kepada keluarga ini. 

Hubungi sahabat saya Saudara Ir. Wahab Isa dari NGO WargaKilang untuk saluran bantuan dan maklumat lanjut di talian berikut.

  • Handphone: 019-4700759
  • Whatsapp: 019-4740759


Hanya Allah swt yang dapat membalas jasa baik rakan-rakan pembaca semua.


Wassalam.