“Candy Crush” Kehidupan

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Candy Crush Kehidupan

Aahh!! Bermain permainan seperti “Candy Crush” ini seronok rupanya. Saya sudah terjebak dengan kegilaan ini juga akhirnya setelah sekian lama menahan diri. Bermula dengan “Level 1” saya bermain, bila berjaya selesaikan menjadi ketagihan pula untuk meneruskan permainan ini dari satu “level” ke satu “level”. Bila ada kejayaan kecil terasa semakin bersemangat mahu teruskan permainan dan mencipta lebih banyak kejayaan supaya kita boleh menjejak “level” yang lebih tinggi yang kemudiannya menjadi kejayaan besar.

Itulah dia realiti kehidupan. Banyak yang dapat kita pelajari dari permainan “Candy Crush” ini sebenarnya. Ambil semangat ketika bermain dan adaptasi secara positif dalam kehidupan. Antaranya:

1.    Hidup ada pasang surutnya, kadang-kadang susah, kadang-kadang senang.

Sebagaimana kita bermain tadinya ada ketika semuanya baik-baik sahaja. Ada ketika kebanyakan perkara seakan-akan tidak menjadi. Apa yang penting kita hadapinya dengan hati terbuka sebagai satu pelajaran untuk menjadi lebih baik hari esoknya.

 2.    Sabar itu kunci mencipta kejayaan.

Putus asa itu sahabat kecewa. Ingat kembali bagaimana kita dengan sabarnya mengutip ilmu kegagalan dan kekecewaan pada “level” sebelumnya dan terus menyusun strategi bagi “level” berikutnya. Sabar di atas kegagalan demi kegagalan sebenarnya memberi kita peluang untuk menggilap bakat dan mengutip ilmu untuk menjadi lebih mahir. Lebih dari mereka yang lancar jalannya.

 3.   Usah menyerah sebelum berjuang.

Jika di dalam permainan “candy crush” ini kita pastinya takkan menyerah kalah sewenang-wenangnya sebelum mencuba walaupun makin tinggi “level” kita sudah tahu ianya semakin sukar. Apa kata kita aplikasikan konsep ini juga dalam kehidupan kita sebagai seorang pelajar untuk mencipta kejayaan kecil demi kejayaan kecil yang seterusnya membawa kepada kejayaan besar. Kejayaan yang memberi senyuman kepada kedua ibubapa, guru-guru dan mereka yang telah banyak memberi pengorbanan dan sokongan kepada kita.

 4.  Terus Bereksperimentasi – setiap detik pasti ada jalan dan idea baru yang menarik.

Bereksperimentasi tanpa jemu di dalam permainan “Candy Crush” ini dengan penuh keseronokan adalah satu kemestian. Apa salahnya jika kita juga membawa elemen suka dan gembira untuk bereksperimentasi secara positif dalam melengkapkan tugasan kita sebagai pelajar.

5.   Ubah Cara Pandang – lihat sesuatu perkara dari pelbagai sudut.

Melihat sesuatu perkara dari sisi positif sangat membantu kita untuk meneruskan kehidupan harian dengan penuh makna. Jika hanya perkara negatif yang kita cari makanya kita takkan jumpa perkara baik walau sebesar zarah pun. Contohnya jika guru menegur, semat di dalam hati bahawa itu tandanya kita di dalam perhatian guru. Boleh sahaja guru pejam sebelah mata dan abaikan sahaja apa yang kita lakukan. Kenapa beliau mahu bersusah payah memikirkan hal kita walhal bukannya ada pertalian darah pun. Jika cermin kita kotor maka pandangan kita pun akan turut kotor. Jika cermin bersih, maka pandangan yang menembusi cermin juga terang dan jelas!

6.   Saling Tolong Menolong – hari ini hari saya, esok hari saudara.

Bina hubungan yang baik dengan rakan-rakan, amalkan sikap saling bantu membantu-bantu dalam kehidupan harian samada di sekolah atau di rumah. Emosi kita akan menjadi kuat dan ceria jika kita punya rangkaian rakan-rakan yang positif lagi menggembirakan. Barulah wujud semangat mahu ke sekolah, tempat kerja dan sebagainya lalu mencipta kejayaan bersama-sama.

 

Itu lah dia …pentingnya mencipta kejayaan kecil dalam kehidupan dari hari ke hari sebagaimana yang kita amalkan di dalam permainan “ Candy Crush”.

Kejayaan KECIL pemangkin kejayaan BESAR.

Tiada misi yang mustahil jika kita percaya!