Bisnes Itu Satu Permainan

Teks : Azura Abdullah
Foto : Carian Google

Seterusnya saya ingin berkongsi pengalaman saya tentang bisnes dan ilmu. Di blog saya ini, saya hanya ingin berkongsi kisah benar suka duka saya sebagai seorang wanita, isteri, ibu dan pekerja dalam menempuh tugas pelbagai (multi-tasking) di samping berbisnes. Jika anda mencari teori-teori bisnes, di sini bukan tempatnya kerana hal itu saya serahkan pada ilmuwan bisnes. Saya bukanlah ilmuwan dan ahli akademik yang mengkaji perihal bisnes. Tetapi saya adalah seorang wanita bekerjaya yang terjun dalam dunia bisnes tanpa ilmu formal yang cukup dalam bisnes. Itu yang saya mahu kongsikan diblog saya.

“Saya perlu menghadiri pelbagai kursus bisnes secukupnya baru lah saya benar-benar yakin dan bersedia untuk berbisnes”. Ini antara ayat biasa yang selalu kita dengar. Atau berdasarkan pengalaman saya sendiri, lebih tepat lagi saya katakan itulah alasan saya lewat serius memulakan bisnes. Saya sering menjadikan alasan tak cukup lagi ilmu bisnes untuk memulakan bisnes dan ianya merupakan antara faktor utama saya lewat memulakan langkah. Alangkah bertuahnya jika saya dapat putarkan masa, pasti saya akan serius memulakan bisnes dikala saya masih belajar. Terus menerus mencari ilmu tanpa amal pastinya pencarian yang sia-sia.

Ada yang bertanya, bukankah amat berisiko tinggi berbisnes tanpa ilmu bisnes penuh di dada? Persoalannya di sini sampai tahap manakah kita katakan ilmu anda cukup dan telah bersedia untuk memulakan bisnes? Kita tiada alat pengukur cukupnya atau tidak ilmu bisnes itu. Kita juga tidak mahu alasan mencari ilmu bisnes sendiri yang menjadi kekangan kita memulakan bisnes. Makanya untuk meminimumkan risiko dalam berbisnes (berdasarkan pengalaman sendiri), cukup dengan ilmu asas bisnes dan kita terus memulakan langkah pertama. Dalam masa yang sama terus menimba ilmu berdasarkan perit jerit permainan bisnes skala kecil yang kita lalui. Waktu ini  jugalah anda mampu untuk bereksperimentasi teknik permainan bisnes anda kerana anda masih dalam zon selesa, punya pekerjaan dan pendapatan tetap.

Itu belum lagi tentang hebatnya cabaran dunia bisnes. Bagaimana anda dapat menempatkan diri di arena bisnes. Menangani kerenah mereka yang tak senang duduk melihat anda meniti tangga jaya juga hebat cabarannya. Semua ini hanya melalui pengalaman yang perlu anda kutip bukan dalam sekelip mata. Anda takkan mendapatnya di dalam kelas formal. Banyak nilai jaya dan nilai gagal yang amat berharga dapat diperolehi sepanjang permainan ini untuk dijadikan panduan dan pedoman.

Jadi wahai para suri, mulakanlah langkah pertama. Ada perkara yang boleh diatur  dan dilakukan satu persatu persis memasak mengikut resepi. Tapi dalam bisnes kita perlu merebut peluang dan masa. Jika kita mampu melakukan pelbagai perkara dalam satu masa, apa salahnya. Itu adalah satu kelebihan yang tidak semua orang mampu sebenarnya. Menuntut ilmu dahulu kemudian berbisnes atau menuntut ilmu sambil berbisnes – tiada salah kedua-duanya. Sesetengah kita dilahirkan dengan bakat semulajadi. Sesetengahnya dengan bakat terpendam yang perlu digilap. Semuanya terserah pada diri kita sendiri samada mahu memanfaatkan potensi diri atau tidak dalam permainan bisnes ini. Ada kala anda menang, ada kala mungkin kalah atau seri. Semua itu adat di dalam permainan bisnes. Namun sepertimana saya tekankan diawal entri tadi dengan bermula awal atau berbisnes sebelum memulakan bisnes dapat mengurangkan impak fizikal dan spiritual jika permainan berakhir tidak seperti yang kita hajatkan.

Sudahkah anda mengambil langkah pertama?

Hingga ketemu lagi!