Sederhana Itu Ok

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

image

Saya tertarik dengan apa yang dikongsi seorang rakan fb saya (lelaki), juga bekas jurutera yang kini bekerja dari rumah mengusahakan ladang sayur.
Kata beliau, “Hidup saya kini best dan mesra walaupun duit tak banyak macam waktu makan gaji.”

Macam tu lah juga saya sekeluarga, tambahan pula sekarang saya mengikut suami berhijrah ke kampung halamannya di sini (Kelantan). Sebagaimana saya nyatakan di dalam buku saya, saya tidak mewah harta. Pelaburan masa saya sewaktu saya bekerja sebelum ini dengan berniaga kecil-kecilan adalah untuk ‘membeli masa’ sekarang.

Saya berhenti kerja tanpa apa-apa wang pampasan dari syarikat. 3 kali saya mohon vss, semuanya ditolak. Akhirnya saya berhenti juga, ok lah kan berhenti sebelum umur 40. Chewah!

Saya sudah jual butik saya di Kedah dan kini saya bekerja sepenuh masa dari rumah dan fokus kepada kerja-kerja ‘softskills’ yang tidak memerlukan saya keluar rumah. Pengalaman saya yang lalu sangat berharga untuk kerja-kerja penulisan saya kini kerana itu ilmu praktikal dan bukan berdasarkan sumber pembacaan semata-mata, kombinasi teori dan praktikal. Sewaktu saya menghadiri Konvensyen Penulisan 2014, Ustaz Pahrol Juoi ada berkata bahawa, “Penulis yang tidak turun padang adalah penulis yang muflis.”

image

Di sini kami bina sebuah rumah kecil di kelilingi sawah padi, rumah di sini lebih kecil dari rumah di Kedah. Tak kisahlah kan kecil pun, yang penting tak perlu bayar hutang lagi, kami suami isteri pun kerja sendiri sahaja, pendapatan pun ada pasang surut.
“Biar tak bergaya, asal tak pening kepala.”
Gitu…hehehe.

image

Anak-anak ada membela 2 ekor kuda di belakang rumah. Balik sekolah dan hujung minggu itulah aktiviti mereka. Di pekan kecil ni mana lah ada aktiviti hiburan macam dulu. Tapi kami ok sebab memang kami sekeluarga orang kampung pun.

Kad kredit memang tak ada, dari 2003 ke 2004 kot kami suami isteri berhenti guna. Ada duit guna, ada duit pergi berjalan makan angin, tak ada duit duduk diam-diam. Macam tu lah.

Kereta, kami sudah jual Estima dan hanya pakai pickup dan proton saga. Hidup kami biasa-biasa sahaja, tiada apa yang luar biasa dan boleh dibangga.
Cumanya hidup sekarang best dan ada lebih masa dan mesra (pinjam ayat kawan saya :) ).

“Biar tak bergaya, asal tak pening kepala.”
(Best pula tagline ni :) ).

Salam Kasih Sayang Untuk Semua.

Sila beli buku saya….hahaha ;)

Azura Abdullah
Penulis yang dok teringat nasik kandaq di Kulim.

image