Bersama-sama Untuk Bersama

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Saya menerima pertanyaan bagaimana saya yang siangnya bekerja makan gaji boleh menjalankan kerja-kerja bisnes online dan juga menulis pada masa yang sama tanpa mengetepikan anak-anak. Saya tiada magis atau tips hebat untuk dikongsikan. Apa yang saya lakukan hanyalah melibatkan anak-anak dalam setiap perkara yang saya lakukan. Jadinya tiada istilah anak-anak diketepikan di kala saya sibuk dengan pelbagai tugas yang saya pikul serentak.

Pada waktu siang saya bekerja makan gaji dan anak-anak juga dengan rutin mereka sebagai pelajar yang sibuk dengan sekolah, tusyen dan kelas agama. Jadi waktu bersama yang sebenarnya hanyalah di malam hari. Untuk bersama anak-anak saya pastikan setiap perkara yang saya lakukan adalah bersama anak-anak. Lupakan seketika privasi anda, usah menyendiri di dalam bilik pejabat anda untuk menyiapkan tugasan anda. Apa yang saya lakukan di waktu malam ialah saya pastikan saya bersama anak-anak duduk semeja di kala mereka menyiapkan kerja sekolah. Dalam masa yang sama saya dapat membantu mereka dan juga menyiapkan kerja-kerja bisnes online dan juga penulisan saya.

Cubalah usahakan agar rutin kerja kita dapat dilakukan bersama-sama anak-anak untuk mencari peluang bersama mereka.
Mudah bukan!

Didoakan ada manfaatnya.
Wassalam.