Berbisnes Sebelum Memulakan Bisnes

Teks: Azura Abdullah
Foto: Carian Google

Tajuk yang agak pelik bukan? Maksud saya di sini, mulakanlah bisnes walau sekecil mana sekalipun sebelum anda membuat keputusan untuk memberi 100% masa anda kepada bisnes, yakni meninggalkan alam pekerjaan. Saya belum punya pengalaman terjun 100% dalam bidang bisnes kerana masih bekerja sambil berbisnes. Namun pengalaman suami terutamanya dan rakan-rakan terdekat memberi banyak pengajaran.

Berbisnes di kala anda masih berkerjaya boleh saya kategorikan sebagai sesi warm-up dalam dunia bisnes. Sekurang-kurangnya bermula dahulu pada skala kecil kita dapat memahami akar umbi bisnes yang kita usahakan. Dalam bisnes butik misalnya, penting untuk kita memahami kehendak pasaran, mempunyai senarai pembekal sendiri – jika anda menghadiri kursus borong ke mana-mana negara seperti ke China, Vietnam atau Indonesia sekalipun, anda perlu membuat analisa sendiri mengenai pemborong-pemborong yang boleh menawarkan harga win-win. Tiada yang datang percuma seperti bulan jatuh ke riba. Pengusaha atau syarikat yang mengusahakan kursus borong ini selalunya akan bawa anda ke tempat-tempat borong contohnya di Indonesia ialah Tanah Abang, seterusnya andalah yang perlu meneroka pemborong mana yang menawarkan harga yang berpatutan. Anda perlu punya list pembekal sendiri. Ini semua mengambil masa. Alangkah bagusnya dikala anda bersedia untuk 100% menumpukan perhatian kepada bisnes anda telah pun punyai segala maklumat ini kerana anda telah berbisnes sebelum memulakan bisnes.

Melalui fasa warm-up ini juga anda akan dapat mengenalpasti di mana kecenderungan pasaran, kecenderugan anda sendiri dalam menangani bisnes – bahagian mana yang anda handal dan bahagian mana yang perlukan penambahbaikan. Juga anda dapat memahami kategori pelanggan dan cara untuk menghadapi pelbagai generasi pelanggan khasnya bagi peniaga online.

Saya mempunyai saudara dan sahabat rapat yang tidak pernah berbisnes tetapi mengambil keputusan untuk terus meninggalkan alam pekerjaan, mengambil pinjaman berskala besar dan memulakan perniagaan juga pada skala besar. Tiada sesi warm-up, tidak memulakan bisnes sebelum berbisnes. Perlukan pecutan pada tahap maksima kerana hutang berjalan dan perlu dibayar. Tetapi hendak memecut pula sukar kerana tidak cukup persediaan ilmu, skil, network dan pengalaman.  Berbisnes ibarat maraton, tubuh anda takkan mampu untuk memecut tanpa persediaan yang rapi sebelumnya. Apatah lagi dunia perniagaan. Akibatnya gulung tikar, tetapi hutang tetap perlu dibayar. Sukar. Sukarnya menjadi bertambah sukar jika punya tanggungan yang akan kita heret bersama kita ke kancah kekusutan kewangan.

Jadi para suri di luar sana. Berbisneslah sebelum memulakan bisnes. Biar bermodalkan hobi tetapi anda sudah memulakan langkah.

Hingga ketemu lagi.

Wassalam