Berbeza Itu Ok!

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

berbeza itu ok

Sebenarnya saya nak kongsi perkara ini dari awal tahun lagi.
Tetapi asyik bertangguh dan tidak tahu bagaimana mahu menyusun kata.
“Ibu, tahun ni orang rasa orang tak mau dah pakai tangan palsu. Bukan membantu orang pun, ganggu lagi ada lah orang nak lasak-lasak di sekolah.”

Apa lagi, ibu masuk bilik teruih teriak, lap ayaq mata.
Terharu, bangga semua ada tetapi tetap kena kontrol ayu.
Ianya memerlukan keyakinan diri yang sangat tinggi.

Di usia remaja, 16 tahun, ke sekolah dengan tangan sebelah bukan satu perkara yang mudah jika emosi ke laut.
Mengurus persepsi sendiri dan persepsi persekitaran sememangnya maha mencabar, apatah lagi di Malaysia.
Peranan kita sebagai ibubapa kepada anak kelainan upaya ini untuk menyuntik keyakinan diri di dalam diri anak seawal usia bayi adalah sangat kritikal.

Sewaktu pendaftaran ke darjah satu Irfan dicadangkan ke kelas khas supaya boleh belajar kemahiran.
Sebagai ibu bapa usah kita melatah dan marah kerana pandangan mereka berdasarkan persepsi serta pemahaman umum tentang golongan OKU yang sinonim dengan membuat bakul, mengurut, telefonis dan sebagainya.
Jadi kita sendiri perlu tegas dengan apa yang mahu kita corakkan di kanvas putih anak syurga kita.
Irfan baru-baru ini mendapat 7A2B1D di dalam peperiksaan PT3.

Berada di kelas aliran perdana/biasa seperti anak-anak normal lain dan merupakan ketua kelas.
Irfan juga melibatkan diri dalam pertandingan pidato sekolah, taekwondo dan silat bersama anak-anak lain.
Memancing dan menunggang kuda antara aktiviti yang Irfan gemar lakukan.
Di dalam gambar ini anda boleh melihat bagaimana Irfan mengikat tali pancing sendiri, menggunakan sebelah tangan, kaki dan mulut.

Waktu Irfan kecil dahulu mak saya selalu menangis kerana pada pandangan mak saya terlalu keras dengan anak saya.
Saya belikan badminton pun mak menangis kerana mak rasakan saya tak alert yang anak saya hanya ada tangan sebelah, bagaiman mahu bermain badminton.
Nah! Sewaktu di sekolah rendah, SJKC Hwa Min, Lunas, Kedah, Irfan pernah menang tempat ke 2 badminton regu lelaki.
Kepada ibubapa anak OKU di luar sana, usah kalah dengan persekitaran dan persepsi masyarakat.

Semuanya di tangan kita!

‪#‎berbezaituok‬
‪#‎yesvocket‬