Berbeza Itu Ok!: Tewaskan Diri Sendiri Sebelum Menewaskan Orang Lain

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah


Irfan hensem dengan tangan robotnya.
Nanti di lain entri saya kongsi cabaran mendapatkan tangan robot ni.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Sambung lagi ya. Cabaran sebenar di luar kini bermula selepas Irfan dibenarkan keluar dari hospital. Sebagai ibu muda yang tak punya pengalaman mengharungi waktu pantang setelah mendapat anak istimewa merupakan satu perkara yang bukan mudah. Kita menjadi terlalu sensitif. Bila ada rakan atau jiran tetangga datang melawat dan mereka bercakap-cakap sesama sendiri, kita terasa seolah-olah mereka bercakap tentang kita. Walhal belum tentu dan mungkin tidak pun. Kita sendiri yang mengadakan masalah yang sebenarnya tidak ada. Kalau ada pun sebenarnya terlalu minima impaknya kepada diri kita. Paling teruk saya fikir bagaimana Irfan akan meneruskan kehidupan bila saya tiada nanti dengan fizikalnya itu, walhal Irfan belum pun berumur satu bulan. Hebat sungguh imaginasi ibu.

Setelah sebulan akhirnya saya tersedar dari lamunan. “Apalah yang aku merepek ni? Kenapalah nak biarkan benda-benda tak elok bersarang dalam fikiran ni? Dah tak de kerja sangatkah?”. Akhirnya dengan sokongan suami, mak abah, adik beradik dan sahabat-sahabat terdekat saya bangkit dan tersenyum sendiri mengenangkan emosi saya yang ke laut sepanjang sebulan itu. 

Saya mula melakukan kajian tentang anak istimewa, cara membesarkan anak istimewa dan cabarannya. Saya juga melibatkan diri dengan kumpulan ibubapa yang mempunyai anak-anak istimewa di dalam dan di luar negara. Saya juga cuba mencari peluang perubatan dan teknologi kalau-kalau ada peluang untuk Irfan. Saya pernah menghubungi Hospital Selayang untuk mencari peluang mendapatkan penderma tangan dan peluang untuk menyambung tangan Irfan dengan tangan penderma. Misi tersebut memang nyata misi mustahil hingga kini. Kemudiannya saya menghubungi beberapa doktor pakar di Arab Saudi setelah terbaca tentang teknologi mencambah pertumbuhan tulang. Juga misi mustahil kerana masalah jarak dan juga kosnya yang amat mustahil bagi saya dan belum tentu sukses. Selepas itu saya ada berinteraksi dengan pakar tangan palsu robotik di Denver, Amerika Syaikat berdasarkan kajian saya melalui internet. Kosnya sahaja sebanyak RM250,000. Belum lagi kos untuk saya ke sana ke mari kerana perlukan beberapa kali sesi terapi setiap tahun dan sebagainya. Ditambah lagi jika dibuat waktu Irfan masih bayi ianya mungkin mengganggu pergerakan Irfan kerana bayi belum lagi pandai mengawal. Juga tangannya akan cepat membesar dan perlu ditukar dengan kerap. Kemudiannya saya berjodoh dengan seorang pakar tangan palsu tempatan, kami berjumpa beberapa kali dan beliau memantau keadaan Irfan, percuma, tanpa sebarang bayaran. Konsultansi percuma. Terima kasih Uncle Raymond! Beliau mencadangkan Irfan hanya memakai tangan palsu ketika tumbesaran tangan mencapai tahap stabil lagipun Irfan sendiri seorang yang sangat berkeyakinan tinggi. Ianya lebih kepada soal kosmetik. Kami mencapai kata sepakat. Kini fokus lebih kepada kekuatan emosi Irfan. Sebut lah apa sahaja, telah saya cuba. Biarlah Irfan melihat sendiri bagaimana ibunya cuba mengadakan yang terbaik untuknya.

Bercakap tentang kekuatan emosi, sebagai ibu kepada anak istimewa, sebelum kita menyalahkan orang lain bercakap negatif tentang kita dan anak kita, tanya diri kita sendiri dahulu, “jika perkara itu tidak relevan dan tidak memberi apa-apa impak kepada kita, kenapa kita kisah?”. Setiap kali berlaku apa-apa insiden yang agak sukar saya terima secara emosi, saya akan bertanya soalan dari akal ini kepada diri saya sendiri. Saya akan lega selepas itu. Memang susah, tetapi itulah yang kita perlu kita lakukan untuk melatih emosi menjadi kental.

Antara senario-senario biasa bagi saya dan suami sepanjang membesarkan Irfan; membawa Irfan bermain di taman permainan kanak-kanak bermain bersama anak-anak kecil yang lain kemudiannya ibubapa anak-anak tersebut terpandang keadaan fizikal Irfan, cepat-cepat ditarik anak-anaknya jauh dari Irfan; makan di tempat awam dan ibu mengandung datang hendak duduk berdekatan kami kemudiannya ternampak fizikal Irfan, dengan pantas berpindah tempat duduk. Itu belum lagi dikira ejekan anak-anak kecil kepada Irfan seperti “tangan kudung” dan sebagainya. Kami sekeluarga sudah biasa dan kebiasaan itu menjadikan kami kuat di dalamnya.

Antara senario yang buat saya menitis air mata ialah ketika hari pertama Irfan di darjah satu. Di depan mata saya ketika cikgu mengarahkan murid-murid beratur, anak kecil di belakang Irfan menendang Irfan kerana tak benarkan Irfan beratur di depannya. Mujurlah saya ada, terus saya bercakap dengan baik dengan anak kecil tersebut dan kemudiannya memohon bantuan guru kelas tengok-tengokkan Irfan.

Satu lagi peristiwa yang tak dapat saya lupa ketika kami sekeluarga naik bot ke Pulau Aman. Pulau Aman terkenal dengan destinasi memancing dan juga mee udang di restoran terapung yang terdapat di situ. Bot yang kami sekeluarga naiki sarat dengan penumpang. Kedudukan kerusi bot tersebut ialah menghadap antara satu sama lain. Di hadapan kami sekeluarga adalah satu keluarga berbangsa cina. Tiba-tiba tanpa saya sangka anak perempuan saya dengan kuat berkata, ” Ibu, ibu! Auntie baju kuning ni cakap dia geli tengok tangan Irfan”. Saya hanya membalas,” Tak pa kakak”. Anak perempuan saya Irdina bercakap dengan penuh perasaan dan kuat hingga mencuri perhatian semua penumpang bot. Dengan pantas perempuan berbaju kuning tersebut mengangkat suratkhabar yang dibacanya tinggi menutupi mukanya. Walaubagaimanapun si suami wanita tersebut pantas menundukkan muka tepat kepada saya diiringi senyum pahit tanda mohon maaf saya rasakan. Anak-anak saya semuanya fasih berbahasa cina :) .

Mesej yang saya cuba saya sampaikan di sini ialah, sebelum kita menyalahkan orang lain atas sebab itu dan ini kita perlu tewaskan ego dan emosi negatif kita dahulu. Jika kita mampu lakukan yang satu ini, datanglah apa sahaja, InsyaAllah tiada apa yang boleh mengganggu-gugat diri kita. Kita ibarat berada di dalam bola kristal yang cantik, unsur-unsur negatif hanya mampu melihat tetapi tidak mampu menyentuh kita.

Tewaskan Diri Sendiri Sebelum Menewaskan Orang Lain!

Hingga bertemu lagi.

Wassalam.