Berbeza Itu Ok!: Percayalah Dengan Keyakinan Yang Ada Pada Diri Anak-Anak

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah



Irfan sangat suka membaca dan buku-bukunya berat-berat belaka.
Saya pun kadang-kadang tak mampu nak mengikut rentak Irfan.


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya sambung sedikit lagi ya tentang Berbeza Itu Ok!. Masih terbayang-bayang bibir comel Irfan bertanya saya 7 tahun yang lalu. 

Irfan:  ”Ibu, nanti darjah satu orang sekolah kat mana?”. 
Saya:  ”Sekolah Kebangsaan XXX lah Irfan”.
Irfan: “Orang tak boleh sekolah kat situ Ibu”. 
Saya: “Kenapa pulak Irfan?”.
Irfan: “Sebabnya kawan-kawan orang yang kat dalam van dan kawan baik orang kat tadika pi sekolah cina. Orang nak pi sekolah cina ibu. Nanti orang pandai cakap cina best tau ibu”.
Saya: “Betul ka ni Irfan?”
Irfan: “Betul la ibu”.
Saya: “Kalau macam tu ibu kena bincang dengan abah dulu ok”.
Irfan: “Sayang ibu” (sambil memeluk saya).

Ramai yang bertanya saya apa pencetusnya saya menghantar anak-anak saya ke sekolah jenis kebangsaan cina. Jawapannya ialah Irfan. Jawapannya ialah soalan-soalan dari bibir comel di atas. Setelah berbincang dengan suami dan Irfan sendiri kami bertanya kepada diri sendiri apakah yang akan kami rugi jika mengikut cadangan Irfan. Kami cuba mencari kekurangan. Nampaknya saya suami isteri tidak menemui sebarang kekurangan dengan cadangan Irfan itu. Irfan melonjak gembira kerana dapat bersama kawan-kawan baiknya nanti yang kebanyakannya berbangsa tionghua.

Misi bermula. Saya ke Sekolah Kebangsaan XXX iaitu sekolah di mana Irfan didaftarkan awalnya untuk menguruskan pertukaran sekolah. Tidak saya jangka sekali respon yang saya terima sangat negatif dari kerani yang bertugas. Saya terpaksa mendengar ceramah panjang dari kerani tersebut. Saya dikatakan tidak peka dengan hal halal dan haram pemakanan. Saya dikatakan nantinya anak-anak saya akan kurang ilmu agama. Saya diam seribu bahasa. Di dalam hati saya hanya mendoakan supaya saya mampu kekal diam dan tidak memberi tindakbalas kepada provokasi seperti itu. Alhamdulillah. Allah swt makbulkan doa saya. Saya hanya diam sepanjang menunggu proses meyiapkan dokumen pertukaran sekolah selesai.

Saya sangkakan habis di situ saja. Selesai saja urusan di Sekolah Kebangsaan XXX saya terus bergegas ke Sekolah Jenis Kebangsaan YYY. “Ini budak tak tau cakap Mandarin. Tak sekolah tadika cina. Tak boleh. Nanti susah dia. Cikgu pun susah”. Dang! Kena lagi saya. Saya diam sahaj memberi peluang kerani yang agak berumur itu menghabiskan hujahnya. Kemudian dengan sopan saya memohon agar memberi saya tempoh 3 bulan sahaja dari tarikh hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan YYY tersebut. Jika anak saya tidak mampu mengikut arus, makanya saya jamin saya akan keluarkan anak saya dari sekolah tersebut. Sempat juga saya bertanya kerani tersebut samada dia tahu yang kanak-kanak dilahirkan dengan 100 billion sel otak. Saya katakan juga bahawa saya yakin dengan kemampuan anak saya. Akhirnya kerani tersebut mengalah dan daftarkan Irfan untuk kemasukan ke darjah satu di sekolah tersebut. 

Dalam kereta Irfan peluk saya. Saya bertanya kenapa. Irfan cakap, “tak ada apa-apa, tapi orang bangga dengan ibu”. Laju sahaja airmata saya turun. Si kecil 6 tahun memahami segalanya. 

Sekarang Irfan sangat fasih berbahasa Mandarin dan menjadi tutor kepada adik-adiknya. Kami sekeluarga pasti mendapat layanan dan harga istimewa jika berkunjung ke kedai-kedai yang pemiliknya berbangsa tionghua.

Alhamdulillah. Percayalah dengan keyakinan yang ada pada diri anak-anak. Hidup ini bukan hanya tentang diri kita sahaja.

Bersambung lagi!

Wassalam.