Berbeza Itu OK

Teks: Azura Abdullah
Foto: Abdullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
image

Berbeza Itu OK!

“Risau orang ibu dengan result subjek add math, fizik dan kimia orang yang semuanya semput-semput ni ibu. Haih…”

“Tak pa la. Pelan-pelan. Baru ujian pertama. Pulun lagi. Ada banyak masa lagi. Cuma subjek macam ni kalau ada benda tak faham jangan bertangguh. Kena cepat-cepat solve dan fahamkan. Sat lagi dia bersangkut-sangkut. Lagi kacau jadinya.”

“Tu lah. Macam mana lah Stephen Hawking yang tak boleh gerak dok ataih wheel chair saja tu terer sangat. Heran betui orang. Kagum sungguh dengan semangat dia. Kalau orang dok tempat dia tak tau lah lagu mana.”

Omakaih…beratnya tajuk dengan Irfan hari ni.

“Irfan tau dak computer based communication system yang Stephen Hawking pakai tu company ibu keja dulu, Intel la design dan sponsor untuk dia. Dia hanya perlu guna gerakan pipi untuk pilih perkataan di screen, lepaih tu akan communicate dengan speech synthesiser pulak.”

image

“Ha…tu la orang dok baca. Baguih noh Intel. Intel ada sponsor satu group engineer untuk upgrade lagi komputer tu. Hebat betui lah Stephen Hawking ni ibu. Fizik lagi, Math lagi. Kosmologi lagi. Pasai black hole semua tu dia la jugak. Orang ada baca masa kecik-kecik dulu mak dia rajin bagi buku astronomi.”

Ibu terus pasang telinga.

“Tu la orang dok tengok. Sesetengah kawan orang yang OKU tu sebenaqnya tak perlu pun dok kelas pendidikan khas ibu. Kesian pulak kat depa. Ada sorang dua tu minor ja macam orang. Buleh sangat belajaq macam biasa. Orang sedih jugak tengok depa. Tapi nak buat macam mana. Apa-apa pun kena dari awai kan ibu.”

Dari kaca mata seorang anak yang melalui sendiri tahun ke 16 sebagai OKU.

Mesejnya di sini sebagai ibu bapa OKU tidak dapat tidak, kita perlu memainkan peranan besar. Anak kecil hanya mengikut laluan yang kita sediakan. Kita acuannya. Sejak dari awal kita perlu alert tentang kemampuan anak kita dan sediakan mereka dari segi fizikal serta mental mengikut kesesuaian. Usaha dan perhatian kita sebagai ibu dan bapa kepada anak OKU perlu 2 kali ganda daripada ibu bapa lain.

Saya akan ulang dan terus ulang 3 PERKARA ASAS dan WAJIB ada pada kita ibu bapa anak OKU untuk KEKAL POSITIF:

Asas #1 – Keluar dari ‘denial stage’ secepat mungkin. Terima kenyataan, ‘Ya, anak aku istimewa dan kelainan upaya’.

Asas #2 – Tewaskan diri sendiri sebelum anda mahu menewaskan orang lain. Kalau anda masih ada rasa ragu, malu dan sebagainya dengan kurniaan Allah SWT yang maha hebat ini makanya masih banyak tugasan hati yang perlu anda lakukan. Jadinya usah bermimpi anda boleh kebal dengan persekitaran negatif jika kurang kukuh asas ke dua ini.

Asas #3 – Usah bezakan anak OKU dan tidak OKU. Ini cara membaja motivasi dan membina keyakinan dalam diri anak samada yang istimewa atau normal.

Nota:
* Gambar bertopi tu sewaktu Misi Jalan2 Masuk Kampung. Irfan mengikat beg plastik yang diisi barang-barang sumbangan. Ikat tali kasut sekolah pun tak ada hal. Mula-mula dulu waktu sekolah rendah ibu Irfan sokmo sentimental, lap ayaq mata tengok bersusah payahnya anakku ikat tali kasut. La ni ok dah. Bereh! Darah Cik Siti Wang Kembang masuk dah. Hehehe.
* Gambar ke dua tu gambar design item Irfan sewaktu Pertandingan Rekacipta Bahan Kitar Semula, Irfan design power boat.

#berbezaituok
#anakkutangan1hadiahdarisyurga