Berbeza Itu Ok

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

image

“Payoh budak tu nok berlari dengan tange sebelah. Nok mengepak pun tak buleh.”

Anak-anak kecil ni dia tak tahu apa-apa. Cakapnya jujur dari hati, tak pakai penapis takut orang terasa atau nak fikir apa orang kata.
Apa yang ada dalam kepala, itulah yang diluahkannya.

image

Dan kita sebagai mak mak anak kelainan upaya ni tak perlu nak emosi tahap dewa dewi.
Kalau kita ini emosi sendiri pun ke laut, tak boleh urus, sensitif sokmo, macam mana mahu urus emosi anak kelainan upaya kita supaya kental.
Bukan setiap masa kita boleh jadi bodyguard anak kita.

image

Anak kelainan upaya perlu diberi peluang hidup di alam realiti sedari kecil kerana kita tidak akan menongkat langit.
Satu masa nanti kita akan pergi.
Beri peluang mereka dengar sendiri cakap-cakap dan skeptikal masyarakat kepada golongan kelainan upaya kerana itulah yang mereka akan hadapi apabila kita tiada di sisi.
Beri peluang mereka belajar bagaimana mahu menghadapinya.

Sebagai ibu bapa anak kelainan upaya kita perlu cepat terima hakikat.
Ya! Anak aku kelainan upaya.
Sedih sat sat sudah. Dah kita ini manusia bukan hulk.
Terus buat persediaan yang sesuai dengan kelainan upaya anak kita.
Usah tunggu lama dan buang masa.

Kita tak ada masa untuk malu, untuk kasihankan diri sendiri, kasihankan anak (selalunya tak bertempat), rasa bersalah, terlalu protective dan berbagai lagi kerana masa berlalu sangat pantas.
Nak tunggu sampai kita bersedia sedar-sedar anak dah jadi buluh betung.
Tak boleh buat apa dah.

Waktu rebung sangat kritikal bagi anak-anak kelainan upaya dan ketika inilah kita sebagai ibu bapa perlu mengambil segala kesempatan yang ada untuk membina foundation yang kukuh.

Irfan dapat tempat ke tiga acara Larian 200 meter tadi di Majlis Sukan Daerah Machang.

Terkejut juga budak yang komen tadi.

Esok Irfan ada acara 800 meter pula.

Ibu menyibuk lapik tikar tepi padang, tak dijemput pun. Hanya kontinjen sekolah sekolah seluruh daerah Machang sahaja hadir.

Berbeza Itu Ok!

Azura Abdullah
AJK Mak Mak Tegas Seluruh Malaysia

#berbezaituok
#anakkutangan1hadiahdarisyurga