Berbeza Itu OK!

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

FB_IMG_1427388118643

Irfan dengan tangan satunya mengendalikan kuda di pusat latihan milik Cikgu Faizal .

Semalam dalam dok transfer gambar dari handphone ke laptop terpandang gambar anak-anak dan kuda. Ada cerita di sebalik hadirnya 2 ekor kuda padi di rumah kami, Adam dan Salehuddin.

Sewaktu mula berpindah ke Kelantan pada Disember 2013, rumah yang kami duduki sekarang belum siap. Kemudian Kelantan dilanda musibah banjir kuning pula. Jadinya pembinaan rumah lewat dari jadual asal kerana kontraktor yang dilantik juga diuji dengan musibah banjir, kami menyewa dahulu selama setahun. Saya dan suami hanya berjaya mendapat rumah sewa berhampiran bandar Machang ketika itu, maka anak-anak pun bersekolah sahaja di sekolah berhampiran sementara rumah di Pulai Chondong ini siap.

Anak-anak saya sewaktu di Kedah aktif di sekolah samada dalam bidang akademik, sukan dan juga ko-kurikulum, termasuklah Irfan. Waktu di sekolah baru ini Irfan daftarkan diri dalam salah satu pasukan beruniform. Setiap kali ambil Irfan dari sesi ko-kurikulum saya perhatikan Irfan senyap dan kurang gembira.

“Awat Irfan? Ibu perati sokmo lagu ni balik dari koku.”

“Tak dak apa aih Ibu.”

“Takkan tak dak apa. Habaq la.”

“Hmmm…orang bosan lah Ibu. Setiap kali nak kawad Cikgu suruh orang dok tepi. Cikgu kata takut susahkan orang dan nanti takut rosak atau tercabut tangan palsu. Tapi Cikgu tak marah. Cikgu cakap baik-baik ja dengan orang. Cuma orang cemuih.”

“Ibu tau dak. Sebenaqnya masa saringan merentas desa untuk pemilihan wakil daerah orang dapat nombor 12. Sekolah nak pilih top 24.”

“Wah! Irfan terpilih la?”

“Dak Ibu. Cikgu takut satgi jadi apa-apa kat orang waktu bertanding. Kenapa semua orang macam ni Ibu? Kenapa kat sekolah Hwa Min dulu Cikgu sampai hantaq orang masuk Kem Robotik wakil sekolah, masuk pertandingan badminton, olahraga….kenapa sekarang macam ni. Tapi Cikgu cakap baik-baik la. Cikgu risau keselamatan dan kesihatan orang ja. Niat dia baik. Tapi orang frust la jugak Ibu.”

Ibu macam biasa…kontrol ayaq mata dari jatuh depan anak. Kontrol macho. Sampai rumah teriak dalam bilik ayaq. Keluaq bilik senyum.

“Tak pa la Irfan. Bukan rezeki Irfan lagi tu. Cikgu risau tu sebab nak jaga Irfan. Cikgu risau nanti kalau jadi apa-apa Cikgu kena bertanggungjawab. Satu lagi tak semestinya kita aktif kat sekolah saja. Betui dak?”

Irfan pun sengih.

“Jadi ka nak beli kuda Ibu?”

Ayoyo…hahaha…mai dah soalan killer dari Irfan.

Waktu di Kedah memang selalu berangan bab kuda kudi ni tapi nak masuk kelas kena join kelab dulu. Fees dia al-pengsan. Tak mampu la rakyat marhaen macam kami. Tetapi di Kelantan lain. Sukan berkuda adalah sukan sunnah yang sangat popular dan membela kuda di belakang rumah adalah perkara biasa.

Itulah antara titik mula kehadiran Adam dan Salehuddin sebagai ahli keluarga baru kami. Anak-anak pula berjodoh dengan guru sukan berkuda yang sangat baik budi dan tidak pernah membezakan Irfan ini ada tangan satu atau dua.

Cikgu Faizal, jasa Cikgu takkan kami sekeluarga lupa. Cikgu benar-benar membantu membina kembali keyakinan diri anak-anak khasnya Irfan, dikala orang lain pandang dengan penuh skeptikal.

Irfan dengan kuda kesayangan Cikgu Faizal, Baja King.

Irfan dengan kuda kesayangan Cikgu Faizal, Baja King. Irfan dilatih menunggang kuda sebagaimana penunggang kuda polo oleh kerana Irfan hanya ada satu tangan. Penunggang kuda polo mengemudi kuda dengan sebelah tangan dan sebelah lagi memegang kayu polo.

MasyaAllah. Sesungguhnya Allah swt Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Allah swt hanya sekadar mahu menunjukkan pelbagai sisi berbeza hati budi manusia kepada kami sekeluarga. Pada Januari 2015 anak-anak saya berpindah ke Sekolah Kebangsaan Pulai Chondong dan Sekolah Menengah Abdul Samad kerana rumah kami dijangka hampir siap. Alhamdulillah, suasana di kedua-dua sekolah ini sangat berbeza. Irfan tidak sama sekali dilayan seperti anak kelainan upaya. Peluang diberi sama rata dan saya boleh lihat Irfan sangat gembira dengan persekitaran baru ini.

Terima kasih Allah swt. Terima kasih guru-guru budiman dan rakan-rakan Irfan yang banyak memberi sokongan.

Anak istimewa mengajar ke dua ibubapa tentang tiada istilah mustahil dan putus asa. Yang penting kita yakin dan percaya dengan apa yang kita lakukan. Seperti yang pernah saya sebut dalam artikel sebelum ini, anak istimewa ibarat mesin pengesan hati budi manusia. Melalui mereka Allah SWT tunjukkan pelbagai karektor manusia, baik, buruk, tulus, ikhlas, pura-pura dan bermacam-macam lagi.

Didoakan ada manfaatnya.

Salam kasih sayang untuk semua ibu bapa kepada anak kelainan upaya di seluruh Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia yang sudi membaca tulisan saya yang tidak seberapa ini.

Di bawah ini saya kongsikan gambar Irfan dan Irsyad baru pulang dari memancing dengan menunggang kuda (Salehuddin) untuk tatapan kalian. Macam ni lah kami di kampung, antara pemandangan biasa yang boleh anda lihat di kampung-kampung di Kelantan. Ala-ala Robin Hood pi berburu…hehehe.

Jpeg Jpeg Jpeg Jpeg Jpeg Jpeg Jpeg

#berbezaituok
#anakkutangan1hadiahdarisyurga
#yesvocket